Menurut Syeikh Zarruq: “Antara perkara-perkara yang mendorong hamba kepada ketaatan ialah perasaan dukacita atas ketiadaan amalan taat dan luputnya waktu ketaatan. Begitupun, kadang-kadang perasaan itu adalah tidak berfaedah.”

Berhubung perkara itu, Syeikh Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari rhm., berkata dalam kitabnya: “Kesedihan atas ketiadaan taat (kepada Allah SWT) dalam keadaan tidak bangkit melakukan ketaatan merupakan salah satu tanda terpedaya dan tertipu.”

Rasa duka cita dan sedih hati dengan sebab hilang sesuatu yang disayangi atau ditimpa kesusahan adalah tanda seseorang itu masih kurang yakin dengan ketentuan qada dan qadar.

Mengambil contoh kisah seorang sufi bernama Rabi’ah al-Adawiyah yang mendengar seorang lelaki berkata: “Alangkah dukacitanya aku.” Lantas beliau menegurnya dengan berkata:

“Katakanlah, alangkah sedikitnya dukacitaku. Kalau kamu benar-benar dukacita pasti kami tidak dapat bernafas.”

Ibnu ‘Ajibah rhm., membahagikan dukacita kepada tiga jenis. Pertama, dukacita orang yang dusta. Ia merupakan dukacita yang tidak disertai dengan beramal soleh dan membaiki amalan yang telah luput.

Kedua, dukacita orang yang benar yang disertai kesungguhan, kesederhanaan dalam beramal soleh. Mereka mengambil kesempatan daripada masa yang masih berbaki untuk membaiki apa yang telah luput.

Hawa nafsu

Jenis terakhir adalah dukacita orang yang amat benar yang melalui jalan akhirat. Ia berasa amat berdukacita kerana luputnya masa dengan perkara yang sia-sia atau berlakunya sedikit kelalaian dan terjadi kecenderungan kepada habuan dunia serta hawa nafsu.

Allah SWT berfirman: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap mereka, dan mereka juga tidak akan bersedih.” (Surah Yunus 10:62)

Dalam hal ini, Abu Sulaiman ad-Darani rhm., pernah berkata: “Tangisan yang sebenar bukanlah dengan memerah mata (supaya keluar air mata) tetapi tangisan yang sebenar ialah kamu meninggalkan (dosa dan sebagainya) yang kerananya kami menangis.”

Sementara ulama Rabbaniyyun Rahimahumullah berkata: “Sesiapa yang takut kepada sesuatu, pasti akan melarikan diri daripadanya. Sebaliknya, sesiapa yang takut kepada Allah, pasti melarikan diri kepada-Nya.

Perkara ini selari dengan sabda Rasulullah SAW seperti diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah: “Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Nya.

“Iaitu seorang lelaki yang berzikir kepada Allah secara sembunyi (ketika bersendirian dan tidak dilihat orang lain) lalu mengalir air matanya.”

Justeru, janganlah kita sekadar bersedih apabila ketiadaan taat atau lalai kepada Allah.

Adalah lebih baik kita terus berusaha memperbaiki diri dan segera melakukan amal ibadah agar kesedihan kita itu tidak menjadi perkara yang sia-sia.

* Petikan kitab Syariah Al-Hikam tulisan al-Imam Ahmad Abul Fadhal