Jemaah tidak hanya perlu membuat persediaan berkaitan ibadah tetapi kesihatan fizikal dan kekuatan mental juga amat diperlukan bagi menjamin kesempurnaan amalan, sekali gus memperoleh haji yang mabrur.

Satu daripada persiapan utama sebelum menunaikan rukun Islam kelima itu ialah mendapatkan vaksinasi yang diperlukan.

Ini kerana kesesakan jemaah dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko dijangkiti meningitis berbahaya seperti meningokokal.

Perunding Penyakit Berjangkit dan Pakar Perubatan Am, Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka, Dr. Nor Hayati Shaharuddin berkata, meskipun kerajaan Malaysia mewajibkan pengambilan vaksin meningokokal, ada kemungkinan terdapat segelintir jemaah haji yang mengelak daripada mengambilnya disebabkan oleh faktor-faktor tertentu.

Kesan sampingan

Ada ketikanya, seseorang individu itu tidak mahu mengambil risiko kerana mereka menganggap bahawa akan ada kesan sampingan terhadap pengambilan vaksin.

“Terdapat kesan sampingan kecil terhadap pengambilan vaksin dalam beberapa kes seperti demam ringan atau bengkak, perkara ini banyak bergantung kepada tindak balas badan setiap individu.

“Sesetengah orang bimbang tentang sakit disebabkan jarum atau konstituen vaksin sedangkan kebaikan yang diperoleh melebihi risiko-risiko tersebut.

“Justeru, orang ramai harus mendapatkan nasihat doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meningokokal disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis. Ia sejenis penyakit berjangkit yang serius dan boleh membawa maut.

Kebiasaannya jangkitan itu mengakibatkan meningitis iaitu jangkitan selaput otak dan saraf tunjang serta meningokokal septicaemia yang melibatkan jangkitan dan keracunan darah oleh kuman tersebut.

Penyakit tersebut boleh tersebar melalui sentuhan dan pendedahan kepada rembesan pernafasan seperti air liur serta hingus daripada orang yang telah dijangkiti.

Secara umumnya, pergaulan yang rapat dan dalam tempoh waktu yang lama seperti duduk serumah atau berkongsi peralatan harian dengan orang yang telah dijangkiti meningkatkan risiko seseorang yang sihat untuk mendapat penyakit itu.

Jika tidak dirawat, meningitis boleh mengakibatkan pembengkakan otak dan kerosakan otak kekal. Keracunan darah disebabkan oleh jangkitan meningokokal yang tidak dirawat pula boleh mengakibatkan kegagalan fungsi organ, kejutan kepada organ dan kematian.

Jemaah haji perlu mengambil vaksin meningokokal tidak kurang daripada 10 hari sebelum berangkat ke Arab Saudi. Vaksin itu diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk memperoleh visa kemasukan ke sana. Vaksin itu boleh diperoleh di klinik-klinik kerajaan atau klinik dan hospital swasta.

Dalam pada itu, Nor Hayati berkata, virus influenza adalah satu lagi perkara yang tidak boleh diambil ringan oleh bakal jemaah.

Influenza dan jangkitan saluran pernafasan biasa adalah perkara yang berbeza. Namun, kerap kali masyarakat menggunakan label flu apabila mereka sebenarnya cuma mengalami jangkitan saluran pernafasan biasa.

Simptom influenza memang ada persamaan dengan jangkitan saluran pernafasan biasa dan menular melalui pernafasan serta sentuhan, sama seperti penularan jangkitan saluran pernafasan biasa.

Namun, influenza adalah jangkitan sistemik yang boleh mengganggu keseluruhan sistem badan serta mengakibatkan komplikasi yang serius seperti keradangan jantung, radang otak dan sebagainya.

Mencegah

“Sebaliknya, jangkitan saluran pernafasan biasa cuma melibatkan sistem pernafasan dan tidak mengganggu sistem badan kita yang lain.

“Kebiasaannya, influenza akan mengakibatkan demam yang lebih teruk berserta sakit tekak, sakit kepala, batuk dan kesukaran bernafas.

“Jangkitan saluran pernafasan biasa pula mempunyai simptom seperti demam pada kadar yang rendah, bersin, hidung tersumbat atau berair, batuk dan sakit tekak,” tuturnya.

Influenza disebabkan oleh virus influenza A atau B. Jangkitan saluran pernafasan biasa pula disebabkan oleh virus seperti human rhinoviruses, coronaviruses, parainfluenza viruses, adenoviruses dan sebagainya.

Pengambilan vaksin hanyalah sebahagian daripada kaedah mencegah jangkitan. Selain daripada mengambil vaksin untuk mencegah penularan jangkitan, para jemaah haji juga disarankan untuk mengambil langkah-langkah kawalan jangkitan.

Antara langkah kawalan jangkitan ialah mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul, kerap membasuh tangan selepas tangan tercemar dengan hingus dan air liur, tidak berkongsi alatan peribadi seperti kain telekung, kain sejadah dan tuala mandi.

Pemakaian topeng muka juga adalah perlu bagi jemaah yang mengalami jangkitan saluran pernafasan atau ketika cuaca berdebu, pastikan tubuh badan sentiasa dihidrat dengan mengambil air secukupnya dan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami masalah kesihatan.