Berumur 29 tahun, wanita yang satu ini memperlihatkan tenaga yang sukar dicabar oleh peserta-peserta larian jarak jauh atau maraton yang lain.

Bagi kebanyakan orang, nama Tahira pasti sangat asing, namun bagi peminat sukan larian jarak jauh, nama itu boleh menaikkan bulu roma mereka yang mendengarnya.

Manakan tidak, kudrat yang dimiliki Tahira Najmunisaa atau Tahira yang sudah mempunyai empat cahaya mata ini memang sukar ditandingi.

Kejohanan larian yang disertainya bukan mudah, malah mencabar fizikal dan minda kerana ada antaranya yang mencecah sehingga 175 kilometer, satu tugasan yang bukan semua manusia mampu melunaskannya.

Seperti kebanyakan legenda, tidak semuanya bermula dengan indah. Begitu juga yang terjadi dalam hidup wanita yang kini menetap di Tanjung Malim, Perak ini.

Katanya yang merupakan anak keenam dari 11 adik- beradik, ketika berumur 16 tahun, dia telah mengalami satu kemalangan jalan raya dan perkara itu mengakibatkan dirinya mengalami pendarahan pada bahagian otak.

“Ketika itu, saya sering berasa sakit dan agak sukar bagi saya untuk tidur pada waktu malam. Ia merupakan satu pengalaman pahit yang tidak boleh saya lupakan walaupun sudah hampir 13 tahun berlalu.

“Cubaan untuk menahan kesakitan itu dilakukan dengan saya mula berlari dan nyata ia dapat melegakan sakit saya buat seketika. Malah, masalah sukar tidur pada waktu malam juga selesai selepas berlari kerana sudah terlalu penat,” kongsinya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya lagi, lama- kelamaan aktiviti larian telah menjadi satu ketagihan buatnya dan dia kerap mencabar dirinya sendiri.

“Saya sentiasa ingin menjadi yang terbaik dan saya tahu, sukan larian adalah satu aktiviti di mana kita sebenarnya berlawan dengan diri sendiri dan apabila saya tamatkan setiap larian, bermaksud saya berjaya menewaskan pengalaman pahit saya,” katanya.

Postur

Kongsi Tahira, aktiviti larian baginya adalah satu seni di mana setiap orang mempunyai teknik larian yang berbeza. Namun begitu, asas larian itu tetap sama bagi kebanyakan mereka yang berlari secara profesional.

“Postur larian, hayunan kaki dan tangan serta kawalan nafas adalah satu perkara yang amat penting bagi larian jarak jauh. Jujurnya, masih banyak yang perlu saya pelajari.

“Bukan itu sahaja, tempoh pemulihan selepas berlari juga adalah sangat perlu bagi menjaga otot selain mendapatkan kembali tenaga yang telah digunakan,” jelasnya.

Berkongsi mengenai rahsianya dalam menjuarai beberapa kempen larian maraton, Tahira berkata, adalah amat penting bagi para atlet untuk menjaga pemakanan mereka sebagai persiapan sebelum menyertai sesebuah acara.

“Selain sayur-sayuran, saya banyak mengambil buah-buahan, kekacang, telur dan daging putih. Larian maraton mempunyai kaitan dengan stamina, jadi untuk menjaga stamina, saya perlu memberi tumpuan penuh terhadap makanan yang saya ambil.

“Saya juga jarang mengambil makanan berminyak dan paling penting, saya langsung tidak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat kerana ia boleh menjatuhkan prestasi saya untuk acara larian akan datang,” tegas Tahira.

Memasuki tahun ke-11 Tahira terlibat dengan larian secara profesional, dia kini ditaja oleh beberapa syarikat berkaitan sukan dan makanan kesihatan.

Sehingga kini, dia ditaja oleh jenama kasut sukan Hoka One One dan World of Sport Malaysia, manakala untuk snek tenaganya ditaja Marathon Baker. Kelab Eksplorasi 7 Benua pula menaja program latihan dan Puncak Ventures Sdn. Bhd. untuk slot dan sokongan acara sementara Apple Physiotheraphy bagi rawatan fisioterapi serta Malatra menguruskan larian ultra untuknya.