Rutin itu dilakukan sejak murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Subang Bestari, Shah Alam, Selangor itu berusia empat tahun.

Minat mendalam terhadap bola sepak turut mendorong usahawan perabot itu menubuhkan pasukan bola sepak cilik dikenali sebagai Tsunami FC di kawasan taman perumahannya kira-kira lima tahun lalu. Ia turut dianggotai dua pemain perempuan termasuk anaknya.

“Dari situ, minat anak saya terhadap bola sepak bercambah. Boleh dikatakan setiap petang selepas solat Asar, dia akan bermain bola sepak bersama rakan-rakannya.

“Saya akan pastikan anak memakai kasut bola dan pelindung kaki biarpun sekadar bermain untuk tujuan suka-suka. Apabila bersukan tumpuannya terhadap gajet turut dapat dialihkan,” ujarnya kepada Pesona ketika ditemui pada Klinik Juara Milo di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Aktif dalam sukan tersebut membuatkan anaknya yang turut menyertai pasukan Air Asia-PJ Rangers menjadi lebih berani dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Lebih manis, tahun lalu Asma Munajati yang mesra disapa Najat terpilih dalam kalangan 28 peserta klinik tersebut untuk mengikuti latihan di Akademi Bola Sepak Barcelona atau dikenali sebagai Camp Nou.

“Saya berharap dapat terpilih lagi tahun ini. Sesi latihan amat menyeronokkan dan saya gembira berkenalan dengan rakan-rakan baharu.

“Tahun lalu kami berpeluang berlatih bersama-sama kanak-kanak lain yang turut berada dalam program Milo di negara masing-masing antaranya Jamaica, Filipina dan Afrika Selatan,” ujar Najat.

Terima arahan

Bagi juruhebah radio, Haniff Hamzah, platform sukan amat baik untuk melatih anaknya, Tuah Kaliff, 8, menjadi lebih berdisiplin.

Malah, Tuah Kaliff akan mengemas sendiri barang-barang seperti botol air dan beg yang akan dibawanya untuk sesi latihan.

Setiap kali pulang dari padang, bapa kepada dua cahaya mata itu turut memastikan putera sulungnya membasuh kasut bolanya sendiri.

“Saya tidak memaksanya memilih sukan tertentu, tetapi saya menyedari dia mula menunjukkan minat terhadap bola sepak sejak berusia enam tahun.

“Lebih penting disiplin atas padang seperti menerima arahan daripada jurulatih merupakan suatu perkara yang saya tidak ajar dalam situasi biasa di rumah.

“Ini kerana, saya mempunyai peraturan tertentu di rumah seperti anak-anak perlu mengemas katil dan pinggannya sendiri dan mereka tidak dibenarkan menyentuh gajet, makan gula-gula atau coklat kecuali pada hari Sabtu,” kongsinya yang turut dididik secara tegas oleh bapanya, Hamzah Hassan.

Dalam pada itu, jurulatih Azman Adnan berkata, prestasi peserta klinik akan dinilai di setiap stesen latihan oleh jurulatih misalnya rutin menggelecek bola, berlari dengan bola, perlawanan lima sebelah, membuat tendangan sambil berlari dan menjaringkan gol.

“Kemuncaknya mereka yang disenarai pendek akan dikumpulkan untuk sesi pemilihan final setelah kami mendapat pengesahan kuota daripada pihak Camp Nou,” tutur bekas pemain kebangsaan berusia 48 tahun itu.