Muhammad Nabil Jafri sudah tidak sabar untuk menempuh pertandingan secara online paling popular, Mobile Legends (ML).

Dia bersama empat lagi rakannya yang membentuk kumpulan Yak Yak Yay akan menyertai pertandingan ML sempena Asia Comic Con 2018 (ACC) di Sunway, Selangor baru-baru ini.

“Kami merupakan kumpulan terbaik ML dari Pulau Pinang. Kami datang ke ACC hari ini semata-mata untuk menyertai pertandingan ML dan memenangi hadiah utama.

“Kami tidak kisah terpaksa melabur banyak untuk perbelanjaan perjalanan, makan dan penginapan untuk menyertai pertandingan ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

ACC adalah acara budaya pop menggabungkan filem, komik, animasi, permainan video dan cosplay.

Muhammad Nabil yang merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang berkata, ACC merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh kumpulannya.

Ini kerana acara tersebut mengumpulkan kumpulan-kumpulan ML terbaik dari seluruh negara.

“Saya difahamkan hari ini terdapat lapan pasukan ML dari seluruh negara. Mereka terdiri daripada juara-juara peringkat negeri.

“Situasi menjadikan pertandingan di ACC cukup istimewa selain popularitinya dalam kalangan peminat budaya pop di rantau ini,” jelasnya.

Penganjur dan Rakan Kerjasama di Malaysia, Tan Mong Chon berkata, ACC merupakan acara pop terbesar di Malaysia kerana mempunyai pengikut yang besar dari serata dunia.

Katanya, para pengunjung ACC berpeluang menyaksikan budaya-budaya pop terkenal dari serata dunia di bawah satu bumbung.

Selebriti

“Secara peribadi, saya merupakan salah seorang peminat budaya pop. Saya amat terharu diberi peluang mengumpulkan peminat-peminat adiwira, permainan video dan koleksi terhad di Malaysia.

“ACC mempunyai keunikannya tersendiri kerana peminatnya datang dari negara-negara antarabangsa dan Asia,” ujarnya pada ucapan perasmian acara berkenaan.

Turut hadir ialah Pengasas Serantau ACC, Krit Vitayasamrit. Acara selama tiga hari itu dimeriahkan dengan kehadiran selebriti Jepun, Mao dan NoB.

Menurut Mong Chon, dia mendapat idea membawa acara berkenaan ke negara ini selepas menyertai ACC pertama pada tahun lalu di Thailand.

Dia berterima kasih kepada rakan-rakan kongsi dan pembekal yang memberi sokongan dalam menjayakan acara berteraskan budaya pop itu.

“Saya berasa bangga melihat perkembangan acara ini yang pertama kali diadakan di Thailand pada tahun 2017 kemudian diteruskan di Malaysia pada 2018.

“Sokongan yang diterima daripada peminat sangat memberangsangkan. Kami menyediakan beberapa zon yang terdiri daripada komik, filem, rancangan bersiri, manga, animasi, permainan video, dan cosplay,” tambahnya.

Pelbagai barangan menarik dipamerkan dalam ACC seperti koleksi terhad, memorabilia dan pameran unik daripada filem-filem seperti Marvel, DC dan Star Wars.

Selain itu, pengunjung dapat mereka mencuba permainan Dungeons and Dragons atau Magic: The Gathering.

Sempena kehangatan Piala Dunia, pihak penganjur mengadakan Pertandingan Moh Skor E-Sports yang menampilkan FIFA Online 3, FIFA 18 dan ML.

“Penerimaan yang baik daripada peminat ACC di sini telah membuktikan kemampuan kami dari segi sumber dan pengurusan majlis yang berskala besar.

“Ia memberi kami lebih semangat untuk terus menganjurkan acara yang lebih hebat pada masa akan datang.

“Gabungan aktiviti dan penampilan khas oleh personaliti terkenal dalam satu acara mega seperti ini akan memberikan pengalaman menakjubkan kepada peminat,” ujar Mong Chon.

Jual lukisan

Salah seorang pempamer, Luqman Hakim Mohd. Khialdin, 25, berkata, ACC memberi peluang mempamer dan menjual hasil lukisannya.

Lelaki yang berasal dari Bangi, Selangor itu memaklumkan, lukisan-lukisan yang dihasilkannya berkisar mengenai watak-watak dalam filem, komik dan permainan video.

“Saya melukis menggunakan dakwat pen sebelum dicetak untuk dijual. Kebanyakan watak yang dilukis terdiri daripada adiwira seperti Batman, Superman dan Spiderman.

“Setiap lukisan sebesar 30 sentimeter persegi dijual pada harga RM35 sahaja. Sambutannya sangat menggalakkan terutama dalam kalangan peminat filem adiwira,” katanya.

Pelajar Universiti Multimedia menambah, para penggemar budaya pop tidak seharusnya melepaskan peluang datang ke ACC.

Katanya, ACC menawarkan pelbagai koleksi budaya pop terhad dan tidak dipamer atau dijual di tempat-tempat lain.