Sebagai umat Islam, mengerjakan solat Jumaat pada hari itu adalah satu perkara yang wajib dilakukan.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Sesiapa meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa adanya uzur (halangan yang dibenarkan secara syar’i), maka ditutuplah hatinya.”

Dalam sebuah riwayat daripada Anas bin Malik daripada Nabi Muhammad dikatakan bahawa sesungguhnya baginda pernah bersabda:

“Malaikat Jibril telah mendatangiku pada hari Jumaat dengan membawa sebuah kaca (cermin) berwarna putih. Ia berkata kepadaku: “Hari ini (Jumaat) telah ditetapkan oleh Tuhanmu bagimu dan bagi umatmu sebagai hari raya.”

Keutamaan

Nabi bertanya kepada malaikat Jibril:

“Keutamaan apa yang akan kami dapat pada hari ini (Jumaat)?”

Malaikat Jibril menjawab:

“Engkau dan umatmu akan mendapat sebaik-baik waktu, yang bagi siapa berdoa (memohon) kebaikan pada hari itu, nescaya ia akan mendapatnya.”

Dengan kata lain, Allah SWT pasti memberi kebaikan kepadanya.

Jika Allah tidak memberinya dalam waktu terdekat, maka akan disimpan untuknya dengan balasan yang lebih besar daripada yang ia minta (dilipatgandakan).

Perlu diketahui bahawa dalam kalangan kami (para malaikat), hari Jumaat merupakan hari yang paling utama.

Pada hari akhirat nanti, kami menyebut sebagai hari penambah kebaikan.

Nabi bertanya, kenapa?

Jibril menjawab: “Kerana sesungguhnya, Tuhanmu Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung telah menciptakan sebuah lembah di syurga, yang aromanya melebihi haruman aroma kesturi putih. Pada hari Jumaat Dia akan turun dari lliyyin iaitu salah satu tempat Allah bertakhta dalam kerajaan-Nya Yang Maha Mulia, lalu muncul di hadapan para hamba-Nya yang Dia redai, hingga mereka boleh memandang wajah-Nya Yang Maha Mulia.”

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya pelaksanaan solat Jumaat dianggap belum terwakili kecuali dengan dimakmumi oleh empat puluh orang lelaki yang sudah baligh, berstatus merdeka (bukan hamba atau tawanan) dan penduduk tempatan.

Sebaiknya, diusahakan tempat pelaksanaan solat Jumaat itu di sebuah masjid sahaja. Kecuali di kota-kota yang cukup besar, orang ramai tidak dapat berkumpul dalam sebuah masjid.

Khutbah

Jika ini yang terjadi, maka boleh dilakukan dua atau tiga solat Jumaat di masjid yang berbeza, sesuai dengan tuntutan keadaan.

Dua khutbah dalam solat Jumaat hukumnya wajib.

Demikian pula dengan berdirinya khatib selama berkhutbah serta duduknya antara kedua-dua khutbah, hukumnya juga wajib.

Dalam khutbah yang pertama, ada empat kewajipan yang harus dipenuhi oleh seorang khatib.

Pertama, mengucapkan taklimat tahmid (pujian kepada Allah) iaitu alhamdulillah. Kedua, membacakan selawat kepada Rasulullah. Ketiga, berwasiat kepada jemaah untuk selalu bertakwa kepada Allah. Keempat, minimum membaca satu ayat al-Quran.