Dia begitu berhati-hati melakukan dekorasi tersebut agar hasilnya menepati kehendaknya.

“Saya gembira mengikuti kursus ini kerana dapat mendalami ilmu menghasilkan dan mendekorasikan kek,” jelas Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman, 70.

Ia merupakan rutinnya dua kali sebulan dengan hadir ke Koperasi Anak Sains Mara Berhad (Asmara) yang terletak di Bangsar South, Kuala Lumpur itu bagi mengikuti kursus Diploma Profesional Kulinari Kreatif.

Jelas Siti Zaharah, beliau teruja dapat menggunakan masanya dengan bermanfaat kerana ingin mendapat ilmu baharu dalam bidang pastri dan kek.

“Saya menyertai kursus ini secara tidak sengaja. Pada mulanya saya dijemput oleh Asmara untuk buat pemerhatian terhadap kursus yang ditawarkan oleh mereka.

“Daripada pemerhatian itu, saya mula tertarik dan tergerak hati untuk turut serta dan akhirnya mengambil keputusan untuk menyertainya,” katanya yang juga merupakan Presiden Institut Kemajuan Wanita Malaysia (Ikwam).

Dalam kursus tersebut, para pelajar didedahkan dengan kemahiran menghasilkan kek premium.

Kek premium adalah kek berat dan berstruktur padat.

Bahan bermutu tinggi digunakan dalam menghasilkan kek premium.

Tegas Siti Zaharah, kemahiran menghasilkan dan mendekorasi kek premium ini adalah sesuatu yang baik untuk dipelajari.

“Nilai ilmu kemahiran ini sangat tinggi dan pembelajarannya disampaikan oleh mereka yang profesional. Kemahiran ini akan membantu seseorang menjadi usahawan.

“Permintaan terhadap kek premium ini boleh dikatakan amat baik,” jelasnya.

Cabang perniagaan

Dalam pada itu, Siti Zaharah menjelaskan, dengan menyertai kursus itu juga ia sedikit sebanyak dapat mengisi masa lapangnya.

“Selain dapat mengisi masa lapang, melalui kursus ini juga saya dapat mengenali dan merapatkan lagi hubungan dengan rakan-rakan lain yang turut serta dalam kursus ini.

“Mungkin bila habis kursus ini kelak, kami boleh bekerjasama untuk menjadikannya sebagai satu cabang perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, kursus Kulinari Kreatif itu juga telah menarik perhatian Ahmad Edry Ariff Ahmad Jazlan, 18, untuk menyertainya.

Jelas, Ahmad Edry Ariff, dia sememangnya amat berminat untuk mendalami bidang kulinari.

“Emak saya tahu saya berminat dalam bidang kulinari dan dia mendaftarkan saya ke Asmara ini.

“Jadi emak saya menghantar saya ke sini bagi mendalami ilmu dan kemahiran dalam bidang kulinari terutamanya dalam menghasilkan kek dengan lebih mendalam,” katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Pendidikan

Tambahnya, dia berhasrat untuk membuka sebuah kedai kek pada masa hadapan apabila telah menguasai kemahiran untuk menghasilkan kek-kek premium.

Dalam pada itu, Ahmad Edry Ariff menjelaskan, tenaga pengajar juga amat baik dan mereka tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

“Peserta-peserta kursus yang lain juga amat baik dan mereka banyak membantu saya di dalam kelas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Asmara, Atiqah Yaacob berkata, Asmara menganjurkan program-program pengajian di peringkat Diploma Lanjutan, Profesional dan peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA).

Jelasnya, Asmara membantu meningkatkan taraf pendidikan individu dengan tawaran kursus-kursus eksklusif bersesuaian dan pengambilannya terhad kepada yang berkelayakan.

“Asmara secara jelas memberi komitmen yang tinggi dalam menyumbang kepada pembangunan sektor pendidikan di Malaysia.

“Kami juga bekerjasama dengan universiti dalam dan luar negara dalam menawarkan kursus pengajian kepada para pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Atiqah menjelaskan, bagi kursus Diploma Profesional Kulinari Kreatif telah ditawarkan sejak penghujung tahun 2018 lagi.

Lebih 20 orang telah mengikuti program tersebut dan tempoh pembelajarannya adalah selama satu tahun.