Setiap hamba-Nya perlu sedar bahawa umur akan membawa mereka berjalan seperti belayarnya kapal berserta penumpangnya di lautan lepas.

Pada hakikatnya, manusia di dunia ini laksana pengembara. Tempat tinggal mereka yang pertama ialah rahim ibu dan terakhir di liang lahad.

Sementara tempat kembalinya adalah syurga atau neraka. Umur adalah jarak perjalanan. Bulan-bulan yang dilalui ialah fasa-fasanya dan hari-hari yang diharungi sebagai perlintasannya.

Justeru, penuhi masa-masa terluang dengan melakukan ibadat kepada Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya.

Allah berfirman dalam surah al-Muzzammil ayat 7 dan 8: “Sesungguhnya pada siang hari engkau mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu dan beribadah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.”

Allah juga berfirman dalam surah al-Insan ayat 25 dan 26: “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi serta petang. Dan pada sebahagian dari waktu malam, bersujudlah. Serta bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang pada malam hari.”

Jika engkau menginginkan kebahagiaan yang abadi, maka isilah seluruh siang dan malam mu dengan berbuat ketaatan.

Kesibukan bekerja (mencari nafkah) dan urusan-urusan duniawi lainnya buatlah dengan sekadar engkau memerlukannya sahaja.

Jalan akhirat

Selebihnya, engkau kerahkan waktu di jalan akhirat. Berusaha tidak meninggalkan solat sunat malam.

Sebagai sabda Rasulullah: “Sebaiknya jangan sesekali engkau tinggalkan solat sunat malam, walaupun lamanya hanya seperti memerah susu kambing.” (Hadis riwayat al-Munzi)

Jangan sesekali biarkan nafsumu mengajakmu untuk terus tidur di atas kasur empuk tetapi utamakan untuk melakukan solat sunat dan berzikir.

Walaupun setelahnya, engkau tertidur kerana rasa mengantuk yang mendera. Disebutkan dalam sebuah riwayat, bahawa Rasulullah pernah diberitahu mengenai seorang lelaki yang selalu tidur sepanjang malam sampai pagi.

Maka baginda berkata tentang lelaki tersebut: “Syaitan telah mengencingi telinga lelaki itu.”

Kemudian baginda bersabda: “Solat sunat dua rakaat yang dilakukan oleh seorang hamba di tengah malam lebih baik nilainya daripada dunia dan isinya.

“Seandainya hal itu tidak akan memberatkan bagi umatku, nescaya diwajibkan solat sunat malam atas mereka.” (Hadis riwayat al-Munziri)

Terdapat beberapa malam yang menjanjikan pahala berganda kepada mereka melakukan ibadah yakni malam ganjil pada 10 hari terakhir Ramadan dan pada hari ke-17 bulan sama.

Selain itu, malam pada keesokan harinya telah terjadi pertempuran yang sengit antara dua kekuatan, kaum Muslimin dan orang-orang musyrik dalam peperangan Badar.

Malam-malam lainnya ialah malam pertama pada bulan Muharam, malam Asyura, malam pertama bulan Rejab, malam pertengahan bulan Rejab atau malam terjadinya Israk Mikraj.

Sesungguhnya, Rasulullah pernah menjanjikan: “Bagi hamba yang beramal pada malam-malam tersebut, ia akan mendapat kebaikan setara dengan amalan selama seratus tahun.