Siti Kholijah Ismail sanggup berkayuh sejauh 10 kilometer (km) dalam suasana panas terik mentari pagi di sekitar Putrajaya.

Malah, sebaik melintasi garisan penamat, raut keletihan jelas kelihatan selain kulit wajahnya bertukar kemerah-merahan.

Kesanggupan dan kegigihan Siti Kholijah menyertai aktiviti tersebut adalah untuk meramaikan konvoi berbasikal yang diadakan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac itu.

“Ini kali kedua saya menyertai acara berbasikal seperti ini. Namun, program ini lebih santai.

“Saya juga teruja kerana dapat memeriahkan program ini sebagai tanda sokongan saya terhadap sambutan Hari Wanita Sedunia,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, KBW merupakan platform terbaik untuk menguji ketahanan fizikal ketika berkayuh.

Wanita berasal dari Lembah Klang itu menambah, laluan kayuhan agak mencabar dengan pendakian di beberapa kawasan.

Daya tahan

“Saya lihat semua peserta berjaya melepasi setiap rintangan. Ini membuktikan para wanita kini memiliki daya tahan fizikal yang tinggi,” katanya.

KBW 2018 dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Yayasan Kesejahteraan Bandar dan Biro Sukan UMNO Putrajaya.

Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Putrajaya, Datuk Anggraini Sentiyaki berkata, seramai 10,000 peserta yang terdiri daripada wanita menyertai KBW 2018.

Katanya, program itu diadakan bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan wanita khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Ini merupakan program anjuran kali kedua selepas kejayaan penganjuran KBW pada tahun lalu.

“Program ini adalah konvoi basikal dalam kalangan wanita yang terbesar di negara ini,” katanya yang turut menyertai kayuhan sejauh 10km.

KBW 2018 yang menggunakan tagline #inilahkuasawanita turut mendapat penyertaan daripada beberapa personaliti tanah air seperti Farah Wahida, Amber Chia dan Maria Tengku Sabri.

Menariknya, KBW menerima penyertaan daripada peserta perseorangan dan berkumpulan dari luar negara antaranya Indonesia, Thailand dan Singapura.

“KBW adalah satu aktiviti yang sihat, maka tidak hairanlah ia mampu menarik kedatangan golongan artis terutamanya mereka yang ingin cergas.

“Malah, konvoi ini turut menarik kedatangan pelancong dari luar negara yang ingin melihat kemeriahan KBW,” jelasnya.

Menurut Anggraini, Putrajaya dipilih sebagai venue konvoi pada tahun ini kerana keadaan infrastruktur yang kondusif dan lengkap.

Jelasnya, persekitaran yang mesra alam dan pengguna memberi jaminan daripada aspek keselamatan secara tidak langsung kepada peserta.

Risiko

“Kami memilih Putrajaya kerana ia mempunyai trek basikal khusus, sekali gus memudahkan perjalanan para peserta.

“Ia juga dapat mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan peserta,” katanya yang juga isteri kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

KBW 2018 dimeriahkan dengan aktiviti zumba, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan jualan basikal serta aksesori.

Para peserta berpeluang menyertai cabutan bertuah dan membawa pulang pelbagai hadiah lumayan termasuk sebuah kereta Proton Saga BLM.

Salah seorang peserta, Ria Zakaria berkata, program itu cukup unik kerana hanya melibatkan wanita.

Dia yang menyertai kayuhan sejauh 25km itu memaklumkan, KBW merupakan platform terbaik untuk menguji kekuatan kayuhan dalam kalangan wanita.

“Sebelum ini, kalau saya sertai program kayuhan, pasti ada golongan lelaki. Mereka semua laju-laju.

“Di sini saya dapat menguji kemampuan dengan peserta wanita yang rata-ratanya menjadikan aktiviti berbasikal sebagai hobi,” katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.