Adakalanya, atlet paralimpik yang berkecimpung dalam sukan tenis sejak tiga tahun lalu itu lebih selesa menunaikan solat terutamanya solat Jumaat di ruang legar masjid.

Begitupun, ketika menghadiri program I Love Clinic Solat 1.4 di Masjid Putra di Putrajaya baru-baru ini, pemuda berasal dari Bagan Serai, Perak itu berasa teruja apabila dihulurkan Kasoot Wheelchair iaitu sejenis pelapik khas untuk disarung pada tayar kerusi rodanya.

“Saya hanya ambil masa beberapa minit untuk turun dan pasang sendiri Kasoot Wheelchair pada kedua-dua belah roda. Secara peribadi, saya berasa lebih yakin untuk masuk ke dalam ruang solat utama yang biasanya beralaskan karpet.

“Saya akui, ada masjid yang menyediakan kerusi roda khusus untuk digunakan dalam masjid. Namun, memandangkan saya mengalami kecederaan tulang belakang akibat kemalangan jalan raya ketika berusia 16 tahun, saya hanya boleh menggunakan kerusi roda yang direka khas untuk keadaan tubuh saya.

“Justeru, Kasoot Wheelchair ini lebih praktikal untuk digunakan. Ia memudahkan golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti kami mengikuti kuliah agama atau program yang dianjurkan di dalam masjid,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! selepas program tersebut baru-baru ini.

Santai

Presiden Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia, Noorulhuda Mohamed Asli berkata, program yang diilhamkannya itu telah memasuki penganjuran kali keempat bagi kawasan Wilayah Persekutuan sejak diperkenalkan pada tahun 2013.

Kali ini, I Love Clinic Solat berjaya menarik seramai 300 peserta terdiri daripada warga OKU yang dijemput daripada beberapa buah institusi kebajikan di sekitar Selangor selain dibawa oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti.

“Pendekatan yang digunakan ialah secara santai bagi mendedahkan kepada golongan OKU bagaimana mengerjakan solat mengikut keadaan masing-masing secara mudah dan betul oleh Pegawai Masjid Putrajaya, Mohd. Zulrushdi Saleh.

“Apa yang cuba kami diterapkan kepada golongan sasar ialah OKU itu hebat apabila ibadah mereka hebat. Lebih istimewa apabila kami mengedarkan 100 pasang Kasoot Wheelchair kepada atlet daripada Majlis Paralimpik Malaysia.

“Tujuannya bukan untuk membeza-bezakan golongan berkerusi roda tetapi ia bagi memudahkan mereka beribadat di dalam masjid.

“Sementelah, mereka bukan orang terkecuali daripada mengerjakan solat,” tuturnya.

Bersetuju dengan pandangan Noorulhuda, seorang lagi atlet, Noor Aishah Arshad, 20, menganggap peluang mengikuti klinik itu sebagai ulang kaji untuk memperkemas rutin ibadat rukun Islam kedua itu.

Motivasi

“Program ini merupakan inisiatif yang baik untuk memantapkan ibadat solat golongan OKU, sekali gus memberi peringatan bahawa umat Islam perlu menunaikan solat fardu dalam apa keadaan sekalipun,” ungkapnya yang berkerusi roda sejak lebih setahun lalu akibat kanser tulang.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Baha Creative Consultants, Bahrom Abu Bakar yang mengisi slot motivasi bagi meningkatkan semangat juang golongan OKU dalam menempuh kehidupan.

“Setiap orang dikurniakan Allah dengan potensi tersendiri, begitu juga dengan OKU. Justeru, saya selalu mengingatkan mereka usah kecewa kalau mempunyai kekurangan fizikal sebaliknya cungkil kelebihan diri melalui dorongan hati yang kuat dan berfikiran positif.

“Ini kerana ada antara mereka seperti golongan cacat penglihatan mempunyai memori yang tajam dan boleh jadi lebih baik daripada orang normal.

“Selain itu, sekurang-kurangnya terdapat lapan cabang kebijaksanaan yang boleh diteroka antaranya seni, kekuatan fizikal untuk membolehkan mereka menjadi ahli sukan dan kebolehan refleksi yang boleh diterjemahkan dalam bentuk tulisan serta karya,” jelasnya.