Namun Kartini Mohd. Mustafa menerima keputusan suaminya untuk bersama-sama anak-anak mereka berpindah dan memulakan kehidupan baharu di Adelaide, Australia, sebagai sesuatu yang ditakdirkan dan yakin ada hikmahnya.

Sentiasa berperwatakan ceria dan bertutur dengan loghat kampung halamannya iaitu Pulau Pinang, Kartini mesra dengan panggilan Aunty Tini Bling Bling, kerana sentiasa mengenakan aksesori yang bergemerlapan seperti kerongsang, gelang dan cincin.

Penulis yang melancong ke bandar Selatan Australia ketika musim panas baru-baru ini sempat menemubual beliau yang sudah menetap di bumi Kanggaru ini sejak lebih 25 tahun lalu.

Walaupun sudah lama meninggalkan tanah air, jiwanya masih tebal dengan ciri-ciri kemelayuan dan mengharapkan anak-anaknya serta generasi Melayu di negara ini agar tidak lupa asal-usul mereka.

Duta tidak rasmi

Sebagai isteri dan suri rumah, ibu kepada 5 anak lelaki ini tidak menghadkan tanggungjawabnya di rumah sahaja malah giat berbakti kepada masyarakat setempat.

Melalui kesepakatan dan perbincangan, komuniti Melayu di Adelaide menubuhkan Adelaide-Malay Association Inc (AMAI) pada Mei 2018 khusus untuk menghimpunkan keturunan Melayu di bandar ini.

“AMAI ditubuhkan untuk menyatukan dan menjaga hal ehwal masyarakat Melayu di Adelaide.

“Antara aktiviti-aktiviti yang AMAI kendalikan termasuklah kelas Bahasa Melayu, demo masakan tradisi dan sukaneka rakyat,” katanya sambil menambah bahawa setakat ini AMAI mempunyai lebih 100 ahli termasuk Melayu Singapura.

AMAI juga ditubuhkan untuk menerapkan budaya Melayu dalam kalangan anak-anak masyarakat Melayu yang menetap dan membesar di Adelaide agar tidak melupakan jati diri bangsa mereka selain mempromosi budaya kehidupan masyarakat Melayu kepada penduduk setempat.

“Ini kerana sebagai ibu bapa, kami tidak mahu anak-anak mengikut gaya hidup ‘mat saleh’ disebabkan mereka jauh dari negara asal mereka.

“Sebagai contoh, AMAI fokus dengan kelas intensif Bahasa Melayu dan Jawi melalui program Adelaide Malay School yang dikendalikan oleh guru-guru berkelayakan,” jelas beliau.

Kartini yang merupakan Ketua Hal Ehwal Wanita AMAI berkata, persatuan itu juga berhasrat untuk menjadi ‘duta tidak rasmi Malaysia di Adelaide’ bagi membantu memberi informasi kepada mana-mana pelancong dari Malaysia yang mengunjungi bandar ini memandangkan Kedutaan Malaysia terletak jauh di Canberra.

Sukarelawan

Sebelum penubuhan AMAI, Kartini yang merupakan pemegang ijazah dalam bidang Sains daripada Univesity of Adelaide melibatkan diri secara aktif dengan organisasi bukan kerajaan yang dikenali sebagai Human Appeal International Australia (HAIA).

“Ini bermula kira-kira dua setengah tahun lalu, apabila saya mendapat tahu HAIA memerlukan sukarelawan untuk membuka kedai barang terpakai berhampiran kawasan rumah saya.

“Saya yang sememangnya sentiasa berminat untuk melakukan kerja-kerja amal dan sukarelawan pergi berjumpa Ketua Pengurus Besar HAIA untuk menawarkan diri sebagai sukarelawan,” katanya.

Selepas enam bulan berkhidmat di kedai berkenaan, Kartini ditawarkan jawatan sebagai Penolong Pengurus di Living & Giving Store iaitu satu inisiatif oleh HAIA untuk menjual barangan terpakai yang disumbangkan oleh masyarakat.

“Di sini saya bersama Pengurus Kedai, Julia Booker dan sukarelawan lain bersama-sama menguruskan kedai ini, bermula daripada menerima barangan yang di derma oleh orang awam, mencuci, membaiki dan seterusnya menjual barangan itu,” katanya.

Living & Giving Store menjual barangan terpakai dengan harga serendah A$0.50 (RM1.50) sehingga mencapai beberapa ratus dolar Australia yang meliputi pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, mainan kanak-kanak, kelengkapan rumah dan peralatan elektrik.

Kenduri

Hubungannya dengan rakyat dan pelajar Malaysia di sini juga sangat erat dan sudah menjadi kebiasaan untuk menganjurkan keramaian atau keraian di kediamannya.

“Saya memang mempunyai hubungan erat dengan pelajar Malaysia terutamanya daripada universiti di bandar Adelaide, malah menawarkan rumah saya sebagai tempat untuk majlis perkahwinan sepasang pengantin pelajar Malaysia di rumah saya,” katanya.

Kenduri perkahwinan itu dihadiri keluarga kedua-dua pengantin serta lebih 150 tetamu dan pelajar Malaysia yang bergotong-royong untuk melangsungkan majlis berkenaan.

Majlis itu adalah salah satu detik manis bagi Kartini dan keluarganya khusus untuk merasai suasana keramaian kenduri-kendara seperti di Malaysia. – Bernama