Sebelum itu, dia berjaya menawan puncak Gunung Datuk, Rembau dalam masa kira-kira dua jam biarpun baru menyertai aktiviti mendaki sejak akhir tahun lalu.

Selama sebulan dia berlatih untuk menguatkan stamina fizikal termasuk memanjat Bukit Saga, Ampang, Selangor sejak hujung tahun lalu.

Aktif mewakili sekolah dalam permainan bola tampar, siapa menyangka anak sulung dari tiga beradik itu pernah bertarung melawan leukemia selama tiga tahun.

“Saya berumur enam tahun ketika didiagnos menghidap penyakit itu. Saya telah melalui pelbagai tahap rawatan termasuk kemoterapi dan prosedur bone marrow aspiration atau penyedutan tisu sum-sum tulang.

Pelajar Sekolah Menengah Lembah Keramat, Selangor itu sering mengalami demam berlarutan ketika kecil. Wajahnya pucat membiru dan tubuhnya kian menyusut hari demi hari.

Apabila dirujuk di wad pediatrik, Pusat Perubatan Subang Jaya, doktor mengatakan ia mungkin petanda penyakit kanser darah atau leukemia.

“Saya pernah tidak boleh berjalan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda selama enam bulan. Tiga tahun kemudian saya sembuh dan begitu teruja ke sekolah dan mencuba pelbagai perkara baharu.

Pendorong

“Keluarga adalah pendorong kuat untuk saya meneruskan kehidupan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Hutan Simpan Sungai Menyala.

Dalam hal ini, aktiviti mendaki Gunung Datuk dan merentas Hutan Simpan Sungai Menyala berkenaan merupakan siri latihan anjuran Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (Cakne).

Ia merupakan sebahagian rangka program Cabaran Kinabalu Cakne 2019 yang melibatkan aktiviti mendaki di Bukit Melati, Gunung Berembun dan Gunung Angsi di Negeri Sembilan; Bukit Gasing, Selangor; Gunung Nuang, dan Gunung Irau di Pahang serta ujian ketahanan fizikal lain sebelum ke Gunung Kinabalu, Sabah.

Pendakian ke Gunung Kinabalu itu menyasarkan 10 peserta terdiri daripada bekas pesakit kanser, ahli keluarga dan ahli Cakne. Bagaimanapun, tarikh tetap pendakian itu masih belum diputuskan.

Seorang lagi survivor kanser, Rohaizad Roslan, 18, berkata, dia menyahut cabaran itu sebagai satu cara menghadapi mesej agar tidak berputus asa melawan penyakit yang dihadapi.

Pelajar Kelas Pelan Pembelajaran Khas Intergrasi, Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko, Selangor itu turut dikesan menghidap leukemia pada tahun 2007 dan disahkan bebas daripada penyakit itu selepas tiga tahun.

Keinginan

“Sebut sahaja rawatan, saya telah laluinya. Kemoterapi, radioterapi termasuk terpaksa bergantung kepada beberapa jenis ubat. Apa yang saya ingat saya mahu cepat sembuh. Semasa kecil dan sehingga kini, hospital saya tetap panggil sebagai hotel.

“Saya begitu teringin menjejakkan kaki ke Gunung Kinabalu kerana ingin mengikut jejak langkah kakak kelima yang pernah dua kali ke sana. Saya yakin boleh melakukannya,” ujarnya yang masih mengikuti rawatan susulan setiap enam bulan sekali.

Bagi Ahmad Ilham Rushdi Mohd Amin, 13, kegiatan tersebut meningkatkan keyakinan dirinya yang terlalu lama ‘terkurung’ sama ada di rumah atau hospital semasa tempoh rawatan.

Katanya, dia ingin melihat sejauh mana kekuatan dirinya selepas bebas daripada penyakit leukemia yang dideritainya dari usia tiga hingga enam tahun.

“Semua orang mesti mencabar diri melakukan pelbagai perkara termasuk mereka yang sakit kerana ia boleh membawa perubahan yang baik kepada mereka,” ujar pelajar Sekolah Menengah Al-Amin Gombak itu.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Noor Shamsiah Maarof berkata, projek itu tercetus daripada kegigihan arwah anaknya, Nurul Aqeelah Yaarop yang berjaya mendaki ke puncak Gunung Datuk sebanyak 14 kali sepanjang hayatnya.

Mengimbau momen nostalgik Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada 2016 ketika berusia 21 tahun, beliau menyifatkan anaknya seorang yang sentiasa berfikiran positif.

Bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Lubok Redan, Masjid Tanah, Melaka itu berkongsi, gadis ceria itu pernah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2000 dan 2008.

Namun, apabila dia diserang gelombang ketiga leukemia pada 2014, Noor Shamsiah tidak sanggup melihat anaknya menghadapi kesakitan kemoterapi sementelah tubuh puterinya lemah dengan berat sekitar 16 kilogram sahaja.

“Dia didiagnosis menghidap leukemia itu ketika berusia lima tahun. Apa yang saya katakan pada diri ialah penyakit itu daripada Allah jadi dengan kuasa Allah ia akan pulih. Sama ada cepat atau lambat dan saya reda.

“Sedih dan menangis itu lumrah, tetapi saya tidak merasakan dunia gelap kerana adik-beradik dan saudara-mara tidak putus-putus menghulur sokongan.

“Saya masih ingat dia meminta tiara, rambut palsu dan gaun berwarna merah jambu ketika berada di wad hospital ketika kecil. Ketika itu ramai rakan senasibnya turut mahu dipakaikan baju kegemaran mereka,” ujarnya.

Wanita cekal berusia 60 tahun itu begitu meminati aktiviti lasak dan pernah mendaki beberapa gunung termasuk Gunung Rinjani, Indonesia dan Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Gunung Annapurna, Nepal.

“Sekitar 2009 apabila Nurul Aqeelah mulai pulih saya mula mengajaknya mendaki Gunung Datuk dan kegiatan riadah yang lain seperti bersnorkel dan melancong.

“Selepas pemergian Nurul Aqeelah saya belajar sesuatu yang amat berharga darinya. Selama ini dia bukan survivor kanser tetapi seorang pejuang. Membaca diari-diari miliknya membuatkan seolah-olah semangatnya mengalir ke dalam diri saya.

“Saya teringat ada satu bait catatan diarinya tertulis leukemia sahabatku. Setiap kali dia akan memulakan coretan diarinya dengan menulis, Alhamdulillah Allah hidupkan saya lagi hari ini.

“Tetapi anak saya agak perahsia juga. Saya hanya membaca luahan hatinya setelah dia tiada lagi di dunia ini,” tuturnya dengan nada sebak.

Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia menyasarkan membawa 10 survivor kanser kanak-kanak mendaki Gunung Kinabalu pada tahun hadapan.