Ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, anaknya yang berusia sembilan tahun itu begitu gembira setelah menerima hadiah tersebut.

“Saya melihat semakin ramai masyarakat di negara ini meraikan ulang tahun kelahiran insan-insan tersayang dengan memberi jambangan belon yang disertakan bersama coklat.

“Oleh yang demikian, saya juga berbuat demikian bagi menghargai mereka pada hari-hari istimewa,” jelasnya.

Afiqah menambah, membuat kejutan seperti itu kepada insan tersayang bukanlah sesuatu yang sukar kerana banyak individu yang menyediakan perkhidmatan belon dekorasi.

Salah satu pengusaha yang menyediakan perkhidmatan belon dekorasi adalah XOXO Balloon.

Afiqah yang merupakan seorang ejen insurans di Pantai Dalam, Kuala Lumpur merupakan antara salah seorang pelanggan tetap XOXO Balloon.

“Selain memberi jambangan belon kepada ahli keluarga, saya juga memberikannya kepada para pelanggan saya sebagai salah satu cara untuk menghargai mereka yang setia menggunakan perkhidmatan yang saya sediakan.

“Rata-rata mereka amat gembira dan berpuas hati dengan hasil kerja tangan XOXO Ballon,” jelasnya.

Item sinonim

Dalam pada itu, Nurul Huda Jamaluddin, 31, yang merupakan salah seorang pelanggan XOXO Balloon menjelaskan, dia amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh pemilik kedai belon tersebut.

“Saya hanya mengetahui tentang kewujudan XOXO Balloon ini melalui laman sosial Instagram.

“Daripada situ, saya berhubung dengan pemiliknya untuk mendapatkan jambangan belon berserta dengan coklat untuk dihadiahkan kepada suami sempena ulang tahun kelahirannya,” jelasnya.

Nurul Huda bertambah, apa yang penting, XOXO Balloon juga turut menyediakan perkhidmatan penghantaran dalam setiap pesanan yang dibuat dan ia amat memudahkannya.

Umum mengetahui, belon kebiasaannya merupakan salah satu item yang sangat sinonim dengan kanak-kanak.

Namun, kini belon berfungsi sebagai penghias majlis-majlis tertentu.

Belon bukan sahaja dijadikan jambangan untuk dihadiahkan kepada seseorang individu bagi meraikan hari-hari istimewa tetapi berfungsi sebagai dekorasi penghias majlis untuk majlis sosial ataupun korporat.

Melihat kepada potensi perniagaan belon dekorasi ini semakin berkembang sejak akhir-akhir, Nurulashikin Ahmad Zubir, 32, terdorong untuk membuka XOXO Balloon.

Beroperasi di Bazaria Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, XOXO Balloon menawarkan perkhidmatan dekorasi belon untuk apa jua majlis sambutan.

Nurulashikin menjelaskan, perniagaan itu baru sahaja beroperasi pada awal Januari lalu.

“Kini, selepas hampir 10 bulan beroperasi, sambutan yang diterima sangat baik dan perniagaan itu menjadi punca utama pendapatannya.

“Sebelum memulakan perniagaan ini, saya adalah suri sepenuh masa. Namun, setelah anak semakin besar, saya mempunyai keinginan untuk mengusahakan perniagaan sendiri bagi membantu suami,” katanya.

Tambannya, selepas itu dia memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyewa kedai di Bazaria Pantai.

Setelah permohonan kedai itu diluluskan, Nurulashikin sendiri belum pasti tentang perniagaan apa yang perlu dilakukan.

Sejak itu, dia mula melakukan kajian tentang perniagaan apa yang tidak memerlukan kos terlalu tinggi dan mempunyai permintaan yang berterusan daripada pelanggan.

Tiada pengalaman

Akhirnya, Nurulashikin memilih untuk mengusahakan perniagaan dekorasi belon kerana ia semakin menjadi satu trend pada masa kini.

Baginya, peluang untuk perniagaan itu berkembang dengan pantas kerana sambutan hari jadi dan lain-lain majlis yang memerlukan belon sebagai hiasan berlaku pada setiap hari.

Sebelum ini, dia pernah bekerja sebagai pendandan rambut di salah sebuah salon.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan perhatian membesarkan dua cahaya mata.

Nurulashikin mengakui, dia langsung tiada pengalaman dalam mengusahakan perniagaan berasaskan belon.

“Saya mula pergi ke kedai-kedai yang membekalkan belon dan kemudian belajar untuk melakukan dekorasi melalui YouTube.

“Pada permulaan, ia memang sukar tetapi apabila kita mempunyai keinginan untuk belajar sesuatu yang baru, ia pasti akan membuahkan hasil jika tidak berputus asa.

“Disebabkan kekangan modal, barangan untuk menghasilkan belon ini dibeli sedikit demi sedikit.

“Namun, saya bersyukur pada bulan pertama perniagaan belon ini beroperasi, sambutan yang diterima amat baik sekali.

“Keuntungan pada bulan pertama itu saya digunakan untuk menambah sedikit demi sedikit barangan di dalam kedai,”jelasnya.

Tambahnya, dia menggunakan medium media sosial iaitu Facebook dan Instgram untuk memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan.

Dalam pada itu, Nurulashikin menjelaskan dia amat mementingkan kualiti bagi memberi kepuasan kepada para pelanggan.

Tegasnya, belon yang digunakan kesemuanya amat bermutu tinggi dan tahan lama.

“Pelanggan boleh meminta konsep yang mereka mahukan dan saya akan cuba menghasilkannya. Bagi jambangan belon untuk hari jadi misalnya, pelanggan boleh memilih untuk menggabungkannya bersama bunga dan coklat.

“Bagi dekorasi belon untuk sebarang majlis, pelanggan juga boleh memberitahu konsep yang mereka kehendaki dan saya akan cuba merealisasikannya,” jelasnya.

Harga yang ditawarkan oleh XOXO Balloon juga amat berpatutan sekali.

Harga untuk sebiji belon bermula pada harga RM3.50 dan dekorasi belon bersama bunga serta coklat untuk meraikan hari jadi harganya bermula RM100 hingga RM200.

Nurulashikin menjelaskan, dengan mengusahakan perniagaan belon ini, ia dapat meraih pendapatan bulanan sekitar RM6,000 sebulan.

Dalam pada itu, Nurulashikin menjelaskan, selain dapat menjana pendapatan, dia gembira kerana perniagaan yang diusahakan itu mampu memberi kegembiraan kepada orang lain.

“Saya berasa puas apabila melihat riak wajah gembira dan keterujaan mereka yang menerima hadiah seperti ini setelah diberi kejutan oleh pelanggan,” ujarnya.