Di peringkat global, kanser paru-paru ini kekal menjadi punca utama yang meragut lebih banyak nyawa setiap tahun berbanding kanser-kanser lain.

Pakar Kardiotorasik merangkap Presiden Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (JKPM), Dr. Anand Sachithanandan berkata, di Malaysia, majoriti pesakit disahkan mengalami penyakit ini pada peringkat lanjutan.

“Berdasarkan data kontemporari daripada Registri Kanser Kebangsaan mendapati, hampir 90 peratus kes kanser paru-paru ini disahkan pada tahap ketiga dan keempat.

“Diagnosis segera harus dilakukan dan kejayaan rawatan kanser paru-paru sering memerlukan pendekatan berbilang disiplin dan terapi berbilang kaedah.

“Matlamat kami di JKPM ialah untuk bersama-sama menentang kanser paru-paru dan menyediakan platform bagi pesakit, penjaga dan pengamal kesihatan profesional untuk mendapatkan maklumat sahih berkaitan masalah ini,” katanya ketika ditemui Pesona pada majlis pelancaran JKPM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, dia juga mahu penghidap penyakit tersebut serta doktor yang merawat dapat membuat keputusan wajar berlandaskan informasi yang diberikan oleh JKPM.

Atas usaha untuk membantu pesakit yang berhadapan dengan masalah tersebut serta menangani perangkaan yang membimbangkan, JKPM telah dilancarkan sempena sambutan Hari Kanser Paru-Paru Sedunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

JKPM ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan secara eksklusif untuk menangani segala aspek dan peringkat berkaitan kanser paru-paru di Malaysia.

Menerusi pertubuhan itu, ia akan membentuk satu jaringan terdiri daripada pengamal penjagaan kesihatan profesional dalam pelbagai kepakaran agar dapat memberi input untuk menambah baik keputusan rawatan pesakit menerusi sokongan, pendidikan dan kesedaran orang awam di negara ini.

Sempena pelancaran pertubuhan tersebut, JKPM turut memperkenalkan laman web yang menyediakan maklumat berguna termasuk strategi pencegahan, pemeriksaan individu berisiko tinggi, diagnosis penentuan peringkat dan juga rawatan penyembuhan.

Kandungan dalam laman web memberi maklumat yang berguna bagi setiap kumpulan sasaran.

Dalam pada itu, JKPM juga telah bekerjasama dengan sebuah syarikat farmasi, AstraZeneca untuk membangunkan dan berkongsi dua produk pendidikan.

Ia adalah sebuah panduan komprehensif serta alat kaunseling mengenai pesakit untuk pengamal penjagaan kesihatan profesional yang lengkap dengan maklumat dalam bentuk yang mudah difahami mengenai kanser paru-paru, diagnosis dan pilihan rawatan yang disediakan serta juga statistik penting mengenai penyakit tersebut.

Diagnosis awal

Pesakit dan pengamal penjagaan kesihatan profesional boleh mendapatkan risalah tentang penyakit itu dengan mudah menerusi kod QR atau laman web JKPM.

“Dengan pelancaran JKPM, kami berharap menerusi usaha bersama, kita akan dapat mendidik lebih ramai rakyat Malaysia yang menghidap kanser paru-paru supaya boleh didiagnosis pada peringkat lebih awal dan membolehkan mereka menerima rawatan yang lebih berkesan dan keputusan yang baik boleh dicapai,” kata Anand.

Sementara itu, Pakar Onkologi Klinikal yang juga Naib JKPM, Dr. Tho Lye Mun berkata, ramai beranggapan bahawa kanser ini hanya disebabkan oleh merokok sahaja.

Malah ujarnya, ramai juga yang mengandaikan bahawa mereka tidak berisiko untuk mendapat penyakit itu.

“Tanggapan seperti ini perlu diubah. Justeru, amat penting untuk kita melengkapkan pesakit dan pengamal penjagaan kesihatan profesional dengan maklumat yang tepat mengenai kanser paru-paru,” katanya.

Wawasan utama JKPM ialah untuk mengurangkan kadar kematian yang berpunca daripada penyakit kanser paru-paru di Malaysia dan meningkatkan kualiti dan ketahanan hidup bagi setiap pesakit.

JKPM juga berusaha membetulkan tanggapan kurang tepat berkaitan penyakit ini dan meningkatkan kefahaman dan empati masyarakat terhadap penghidap kanser paru-paru.

Sementara itu, Pakar Perubatan Respiratori di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur yang juga Ahli Jawatankuasa JKPM, Dr. Hilmi Lockman memberitahu, secara purata, kanser paru-paru telah menyebabkan hampir satu dalam lima kematian kanser di peringkat global.

“Masalah ini mewujudkan keperluan segera untuk menangani perkara tersebut.

“Berdasarkan perangkaan yang tinggi ini, kami berharap pengesanan awal dilakukan bagi membolehkan pesakit menerima rawatan yang lebih baik,” katanya.