Namun, rezeki yang melimpah-ruah itu mampu bertukar menjadi kemudaratan jika tidak diurus dengan betul. Apatah lagi, nafsu membeli yang tinggi pada bulan mulia itu seakan-akan ingin melunaskan dendam berlapar dan dahaga selama beberapa jam.

Wajar untuk diingatkan, jika mereka yang berpuasa bersahur atau berbuka secara semberono, ia boleh membahayakan badan sekali gus mensabotaj manfaat berpuasa pada bulan Ramadan.

Pensyarah Program Pemakanan dan Dietetik Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Hamid Jan Jan Mohamed berkata, kombinasi makanan untuk sahur dan berbuka harus mengikuti nisbah mikronutrisi dan makronutrisi yang seimbang.

Makanan ruji

Katanya, secara umumnya 40 peratus daripada tenaga yang diambil seharian adalah daripada karbohidrat, manakala 30 peratus adalah daripada protein dan baki 30 peratus lagi daripada lemak sihat seperti minyak omega 3.

“Bagi sahur, ramai yang tersalah anggap bahawa memakan nasi dapat mengurangkan rasa lapar semasa berpuasa, terutama kaum Melayu yang memang menjadikan nasi sebagai makanan ruji mereka.

“Ini ditambah pula dengan kurangnya pengambilan serat seperti sayur dan buah semasa bersahur,” katanya pada satu taklimat pemakanan seimbang anjuran Herbalife Nutrition di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan kekurangan mikronutrisi yang mengakibatkan peningkatan mendadak paras gula sebelum diturunkan dengan mendadak oleh insulin.

Situasi itu dipanggil sugar-crash yang mana otak akan menerima isyarat bahawa badan perlukan lebih banyak gula, secara langsung otak akan mengaktifkan hormon lapar.

Tambahnya, memasukkan protein dalam menu sahur juga digalakkan kerana ia membuatkan rasa kenyang yang lebih lama.

“Ini kerana protein tahan lebih lama dalam perut sebelum dicernakan,” jelasnya.

Hamid Jan berkata, puasa juga mengakibatkan dehidrasi dalam badan, oleh itu umat Islam dinasihatkan memulakan proses rehidrasi sejurus selepas berbuka puasa.

“Air boleh diminum secara berkala selepas berbuka sehinggalah waktu bersahur, bukannya meminum air dalam jumlah yang banyak pada waktu sahur yang singkat,” tambah Hamid Jan.

Bagi berbuka puasa pula, mengambil makanan yang banyak sekali harung juga mampu mensia-siakan manfaat puasa.

Kurma

“Untuk berbuka, dicadangkan untuk mengambil sebiji kurma besar atau tiga biji kurma kecil di samping satu gelas teh tanpa gula atau air kosong.

“Kemudian tunaikan solat Maghrib terlebih dahulu sebelum meneruskan berbuka puasa dengan menu normal dengan sedikit air diikuti dengan solat isyak dan tarawih sebelum mengambil sedikit makanan lagi,” jelas Hamid Jan.

Katanya, makan secara tanpa henti sehingga kenyang semasa berbuka turut meningkatkan paras insulin di dalam pembuluh darah dan mengakibatkan kemudaratan.

Sementara itu, menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, amalan yang baik ketika berbuka puasa adalah memulakannya dengan kurma kerana mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera.

Selain itu, buah kurma juga mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman untuk makanan yang dimakan seterusnya.

Tambahnya, pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketidakselesaan kepada perut kita pada siang hari.

“Semoga bulan Ramadan akan membentuk kita menjadi individu yang bijak memilih makanan yang sihat dan berkhasiat di samping menjalani ibadah puasa yang lebih berkualiti dan sempurna,” kata artikel itu dipetik.