Bagi anak kecil yang dikenali sebagai Abut itu, hari-harinya banyak dihabiskan untuk bermain dan bergembira.

Dia masih belum mengerti untuk mengungkap erti kesedihan walaupun nasib hidupnya berbeza berbanding kanak-kanak seusianya yang diberi kasih sayang sepenuhnya oleh ibu bapa masing-masing.

Pada seusia itu, Abut hanya mampu menumpang kasih sayang dengan insan-insan lain yang tinggal bersamanya di Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.

Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari adalah sebuah rumah kebajikan yang menempatkan anak yatim, anak fakir miskin dan anak asnaf zakat.

Abut memasuki pusat jagaan itu seawal usia tiga tahun bersama dua adiknya yang lain serta ibunya setelah ayahnya meninggal dunia.

Dia dan adiknya masih tinggal di pusat jagaan itu walaupun ibunya telah keluar dan berkahwin lain.

Walaupun masih kecil Abut seorang yang petah berbicara dan dia merupakan antara kanak-kanak yang cepat belajar.

“Dekat sini Abut belajar ABC dan mengaji. Abut ada ramai kawan di sini,” jelasnya.

Selain Abut, Sofia juga antara kanak-kanak yang turut menjadi sebahagian daripada penghuni rumah kebajikan tersebut.

Berbeza dengan Abut yang merupakan anak yatim setelah kematian ayah, Sofia masih mempunyai ibu bapa tetapi kerana masalah kemiskinan dia ditempatkan di pusat jagaan itu sejak berumur tiga tahun.

Sofia adalah dalam kategori penjagaan sementara.

Ibu dan bapanya meninggalkan dia di situ sementara waktu dan berjanji untuk mengambilnya setelah kehidupan mereka stabil.

Setelah hampir dua tahun tinggal di pusat jagaan itu dan Sofia belum diambil oleh ibu bapanya.

Dalam pada itu, Pembantu Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Sakinah Tahir, 33, menjelaskan, untuk menjaga kanak-kanak ini bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kesabaran yang amat tinggi.

Jelasnya, dia sudah hampir tujuh tahun menjadi pembantu di rumah kebajikan tersebut.

“Pelbagai tugas saya lakukan di pusat jagaan ini. Saya dan pembantu lain bukan sekadar memantau kanak-kanak ini malahan turut menyediakan keperluan lain.

“Tugas saya termasuklah memasak, mengemas dan menyediakan pakaian untuk anak-anak yang masih kecil.

“Bagi saya menjaga anak-anak yang kurang bernasib baik ini adalah satu kerja yang mulia di sisi Allah dan saya gembira melakukannya,” katanya.

Tegasnya, kanak-kanak yang masih kecil belum mengerti apa yang penyelia cakap dan kadangkala dia perlu bertegas dengan mereka.

Jariah

Dalam membela kanak-kanak kurang bernasib baik supaya mendapat pendidikan yang sewajarnya telah mendorong Asmanira Muhd. Ramly, 38, bersama beberapa rakannya menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Kasih Bestari yang menguruskan Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari.

Asmanira yang juga merupakan pengetua pusat jagaan itu berkata, idea untuk berbuat demikian bermula secara spontan.

“Ketika berbual kami ada berbicara mengenai amal jariah. Kami merasakan perlu melakukan kerja-kerja jariah dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Setelah kata sepakat dicapai kami akhirnya bersetuju untuk menubuhkan pusat jagaan bagi membela nasib kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari sudut pendidikan,” katanya.

Pada tahun 2005, Asmanira dan rakan-rakannya menyewa sebuah rumah teres di Subang Murni untuk dijadikan tempat tinggal anak-anak yang kurang bernasib baik.

Pada mulanya mereka hanya mengambil anak yatim seramai empat orang untuk dijaga.

Tetapi Asmanira memikirkan selain anak yatim, anak-anak fakir miskin juga memerlukan pembelaan dan selepas itu jumlah kanak-kanak di bawah pusat jagaan itu semakin bertambah.

Pada tahun 2010, Asmanira akhirnya mendaftarkan pusat jagaan tersebut di bawah pertubuhan yang sah bagi membolehkan mereka menjaga lebih ramai kanak-kanak.

Sehingga kini pusat jagaan tersebut telah menjadi tempat tinggal bagi 70 kanak-kanak.

Dalam pada itu, Asmanira menjelaskan, tujuan pusat jagaan itu dibuka bukan sekadar mahu berbakti kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Cabaran

Penubuhan pusat jagaan itu juga adalah sebagai satu cara untuk dia membantu mereka yang kaya di luar sana mencari saham akhirat.

“Sebenarnya Malaysia mempunyai ramai orang kaya yang baik hati dan pemurah tetapi mereka cuma tidak tahu untuk salurkannya ke mana. Tetapi setelah pusat jagaan ini dibuka mereka turut membantu kami menggerakkannya,” katanya.

Tambahnya, rezeki anak-anak di pusat jagaan itu murah sekali dan mereka sering dijamu makan.

Asmanira mengakui, sepanjang menguruskan pusat jagaan tersebut dia mengalami pelbagai cabaran.

Tegasnya, bukan mudah untuk menguruskan dan membesarkan anak-anak dalam bilangan yang ramai.

“Setiap daripada mereka memiliki perwatakan berbeza. Saya bersama pembantu yang lain perlu bersabar dalam melaluinya.

“Pusat jagaan ini mempunyai sembilan pembantu dan kesemuanya memiliki jiwa besar kerana boleh bersabar dalam menguruskan hal-hal berkaitan kanak-kanak ini. Ada juga pembantu yang diambil datang daripada golongan yang kurang berkemampuan agar dia boleh menyelami kesusahan kanak-kanak ini kerana mereka juga pernah melalui situasi yang sama,” tegasnya.

Antara cabaran lain yang dihadapi oleh pusat jagaan tersebut adalah dari segi dana untuk mengurus.

Bantuan dana

Asmanira mengakui kadangkala mereka berhadapan dengan kekurangan dana untuk membayar bil-bil bulanan seperti sewa rumah, bil air dan bil elektrik.

“Ada satu masa bekalan elektrik di pusat jagaan kami hampir dipotong. Orang yang bertanggungjawab untuk memotong sudah datang ke pusat jagaan ini tapi dia tidak sanggup berbuat demikian dan hanya memberi amaran supaya kami menyelesaikannya.

“Alhamdulillah dengan bantuan yang diberikan Allah kami mampu membayarnya,” katanya.

Tambahnya, dia amat mengalu-alukan jika ada hamba Allah di luar sana yang ingin membantu dari segi dana untuk dia menguruskan pusat jagaan itu.

Asmanira berkata, dia gembira kerana pusat jagaan itu dapat berbakti dalam mendidik kanak-kanak berkenaan.

Tegasnya, ada juga kanak-kanak yang dibesarkan di pusat jagaan itu dapat menyambung pelajaran ke luar negara.

Bagi kanak-kanak yang tidak dapat melanjutkan pelajar mereka kemudiannya kembali berbakti untuk pusat jagaan tersebut.

Dalam pada itu, Asmanira menjelaskan, ahli-ahli Pertubuhan Kebajikan Kasih Bestari juga mengambil inisiatif membuka sebuah kedai makan iaitu Masyriq Fried Chicken di Subang Impian, Shah Alam sebagai salah satu usaha menjana pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan.

“Kebanyakan pekerja di restoran ini adalah anak-anak dari pusat jagaan ini sendiri yang sudah dewasa,” jelasnya.

- Pemilik: Pertubuhan Kebajikan Kasih Bestari

- Alamat: Lot 5930, Jalan Jati, Kampung Melayu Subang, 40150 Shah Alam, Selangor

- Telefon: 016-251 6515

- E-mel: [email protected]