Menerusi akal fikiran, pelbagai benda bermanfaat dalam kehidupan berjaya dicipta oleh manusia.

Hakikatnya, berfikir merupakan sesuatu yang sangat digalakkan dan dipandang tinggi di sisi Islam.

Disebutkan dalam satu riwayat, merenung sesaat itu lebih baik daripada ibadahmu setahun.

Anjuran untuk berfikir, merenung, menganalisa dan mengambil pelajaran dapat diketahui daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis.

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya ada suatu kaum yang sentiasa memikirkan tentang Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung.”

Sebagaimana anjuran Rasulullah SAW: “Fikirkanlah tentang makhluk ciptaan Allah dan janganlah kamu memikirkan tentang Allah kerana kamu tidak akan sanggup memikirkan-Nya.”

Diriwayatkan daripada Rasulullah, sesungguhnya pada suatu hari baginda keluar menemui satu kaum yang asyik berfikir.

Baginda bertanya: “Kenapa kamu tidak berbicara?” Mereka menjawab; “Kami sedang berfikir tentang makhluk ciptaan Allah.”

Baginda berkata: “Kalau begitu, lakukanlah. Berfikirlah tentang makhluk ciptaan Allah tetapi jangan berfikir tentang Zat Allah.”

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta silih berganti malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang berakal.” (al-Imran: 90)

Kemudian baginda berkata: “Sungguh celaka orang yang membaca ayat tersebut, namun ia tidak mahu memikirkannya.”

Pernah ditanya kepada al-Auza’i: “Apa tujuan memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah? Ia menjawab: “Membaca dan memahaminya.”

Al-Jinaid r.a. berkata: “Majlis yang paling mulia dan mahal ialah duduk sambil berfikir di medan tauhid, menghirup angin makrifat, meminum dengan gelas cinta daripada samudera kasih sayang dan memandang Allah dengan berbaik sangka.”

Makrifat

Ketahuilah, sesungguhnya berfikir ialah menghadirkan dua makrifat di dalam hati untuk menghasilkan makrifat yang tiga. Contohnya adalah memikirkan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal.

Tujuan berfikir ialah menghasilkan ilmu di dalam hati sehingga hal itu menimbulkan keadaan dan tindakan nyata yang menyebabkan keselamatannya.

Keduanya adalah sebahagian daripada hasil ilmu dan ilmu adalah buah fikiran.

Untuk memikirkan zat Allah harus dengan mengingati-Nya. Bagi memikir sifat-sifat Allah, perbuatan-perbuatan-Nya, kekuasaan dan kerajaan-Nya harus dilakukan dengan semaksimum mungkin.

Ia supaya seseorang itu semakin bersemangat untuk mengungkap keindahan Allah. Hal itu harus dilakukan dengan cara memikirkan Allah dalam makna serta sifat-Nya.

Sedangkan berfikir tentang langit, bumi, bintang-bintang dan segala sesuatu selain Allah ialah dengan memunculkan kesedaran bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan semua itu.

Allah berfirman: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di segala wilayah bumi.” (Fushshilat: 53)

“Dan juga pada dirimu sendiri. Maka apakah engkau tidak memerhatikan? (az-zariyat: 21)

Jadi, objek perenungan atau pemikiran ialah diri sendiri dan semua makhluk Allah.

Fahamilah hal itu, nescaya engkau akan memperoleh manfaatnya. Wallahu a’lam.