Sementara menunggu cekak rambut dan dua lagi rantai kunci milik anak perempuan serta anak lelakinya masing-masing berusia 12 dan 17 tahun siap, Hafinar Abdul Talib, 41, mengisi masa terluang untuk meninjau ke meja lain di ruang aktiviti seni tersebut.

Anak perempuan bongsunya pula tidak melepaskan peluang untuk mencuba aktiviti mencanting batik kendalian pelajar kursus Asas Canting Universiti Malaya (UM) di ruang legar berhadapan dengan pentas utama.

“Kami sekeluarga memilih untuk mengunjungi Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017 untuk mengisi masa lapang sambil mencari beberapa baju kemeja batik bagi dipakai suami.

“Saya seronok kerana terdapat banyak pilihan pakaian berasaskan batik yang cantik dijual pada harga berpatutan. Suami juga berjaya mendapatkan dua helai baju kemeja batik di khemah barangan tempatan,” ujar penjawat awam yang menetap di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan itu kepada Kosmo! di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya baru-baru ini.

Keterujaan mengunjungi KLICF 2017 bukan hanya dirasai oleh pengunjung, sebaliknya petugas pameran turut merasai bahang kemeriahannya.

Salah seorang pelajar UM yang bertugas di sudut canting di ruang legar bersebelahan khemah B, J. R. Banupriya, 27, berkata, pengalaman pertama kali terlibat dalam acara berskala besar seperti itu sangat menyeronokkan kerana dia berpeluang berkongsi pengetahuan asas canting bersama pengunjung yang hadir.

Batu loncatan

“Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan sains, saya agak kurang bersosial kerana sering menghabiskan masa di makmal atau bersama rakan dalam kumpulan kecil.

“Kali ini saya bukan sahaja boleh berinteraksi dengan orang ramai tetapi turut diberi peluang untuk berkongsi teknik asas mencanting batik dengan pengunjung yang singgah di meja kami,” akui pelajar semester tiga jurusan bioteknologi yang mengambil subjek Asas Canting sebagai aktiviti kokurikulum di universiti.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu juga tidak menolak kemungkinan untuk terlibat secara aktif dalam industri batik suatu hari nanti kerana ia sesuatu yang menyeronokkan dan mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Sementara itu, pengusaha barangan kraf tangan berasaskan tempurung kelapa dari Langkawi, Kedah, Mahadzir Md. Isa, 42, berkata, dia melihat peluang mengadakan pameran dan jualan kraf tangan di KLICF 2017 sebagai batu loncatan untuk memperkenalkan produknya kepada orang ramai.

Dekorasi

“Saya banyak merujuk kepada majalah dekorasi antarabangsa, mereka suka jika sesuatu barangan itu diperbuat daripada sumber semula jadi.

“Justeru, saya memilih untuk mengkomersialkan tempurung kelapa, cengkerang siput, buluh dan kayu kerana ia juga mudah didapati di Langkawi.

“Alhamdulillah, produk Two Pai Craft yang mula diasaskan pada tahun 2006 kini lebih dikenali dan mendapat banyak permintaan daripada pelancong luar negara antaranya China, Arab Saudi dan India,” kongsi anak jati kelahiran Pulau Langkawi itu.

Produk Two Pai Craft juga boleh didapati di Galeri Produk Langkawi di stesen kereta kabel Langkawi.

KLICF 2017 yang diadakan bermula 23 hingga 26 November lalu merupakan penganjuran ketiga acara seumpamanya sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015.

Acara anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia itu masih mengekalkan tema Kraf Menyatukan Masyarakat walaupun julung-julung kali ia diadakan di Putrajaya berbanding penganjuran di kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada dua tahun sebelumnya.

Lebih 35 negara mengambil bahagian dalam KLICF 2017 yang melibatkan tiga komponen utama iaitu persembahan kebudayaan, demonstrasi kraf tangan dan pameran kraf tangan.

Antara barangan yang terdapat di KLICF 2017 ialah fabrik batik asli, aksesori manik dan kristal, perhiasan barangan perak, permaidani, barangan kayu dan tembikar.