Terlukis riak ceria di wajahnya terutama apabila dapat beriadah bersama dengan orang ramai selepas hampir tiga tahun terlantar sakit.

“Ini merupakan kali kedua saya menyertai acara larian selepas kali pertama di Melaka dahulu. Sesuai dengan namanya, acara larian santau sangat menyeronokkan.

“Sewaktu berada di curam, ramai peserta berkerusi roda mengangkat tangan ke atas dan bergembira,” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! di taman itu baru-baru ini.

Pesakit yang mengalami kecederaan tulang belakang itu mengakui, dia kini lebih yakin untuk berhadapan dengan masyarakat jika dibandingkan tiga tahun lepas sewaktu mula-mula disahkan lumpuh seluruh badan akibat kemalangan yang dialami di tempat kerja pada tahun 2014.

Pada hari berkenaan, Mohd. Nazri bukan sahaja berpeluang menyertai acara larian santai sejauh 3.5 kilometer (km), malah pemuda yang menetap di Sungai Buloh, Selangor itu juga berbangga apabila diminta untuk sama-sama mengendalikan senamrobik dengan lagu, Baby Shark.

“Walaupun kini bergelar orang kelainan upaya (OKU), namun hidup saya kembali bermakna. Tidak dinafikan, isteri banyak memainkan peranan menaikkan semangat saya untuk menjalani rawatan pemulihan.

“Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, saya yang dahulunya tiada upaya seluruh tubuh sudah mampu menggerakkan tangan dan bahagian atas badan serta menyeimbangkannya apabila duduk di atas kerusi roda,” kongsinya akan hasil rawatan pemulihan yang dijalani.

Dana

Isterinya yang juga merupakan pengasas Pasukan Sokongan Pesakit Hospital Sungai Buloh dan Kelab Sahabat Sokongan Rehab Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Norazlina Zakaria, 36, memberitahu, dia mendapat maklumat berkenaan acara Sahabatku Fun Run daripada laman Facebook.

Pengalaman lumpuh selama tujuh tahun akibat kecederaan tulang belakang membuatkan anak kelahiran Lancang, Pahang itu memahami derita seorang OKU mendapatkan akses pengangkutan, lantas dia menghubungi pihak penganjur untuk mengambil bahagian dalam Karnival Prihatin 2017.

“Saya tertarik dengan objektif karnival untuk mencari dana bagi menyediakan van mobiliti OKU dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan golongan tersebut.

“Ia sangat membantu memudahkan pergerakan pesakit terutama mereka yang mengalami kecederaan tulang belakang kerana jika tidak dikendalikan dengan betul boleh menambah kesakitan,” katanya yang telah empat tahun mampu berjalan walaupun masih bergantung kepada tongkat.

Selain menjadi peserta, Norazlina turut menjadi tetamu jemputan dalam sesi perkongsian bersama peserta OKU dan ahli keluarga masing-masing.

Karnival Prihatin 2017 dianjurkan bersempena Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Disember setiap tahun dan merupakan inisiatif Yayasan Prihatin Insan (YPI) untuk mendapatkan dana bagi menyediakan van mobiliti OKU di bawah pengurusan YPI.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Unit Perubatan Rehabilitasi PPUKM, Hospital Rehabilitasi Cheras, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kelab Sahabat Sokongan Rehab PPUKM, Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ABS Edu Solutions Sdn. Bhd., Skuad Penyelamat DBKL, IM4U, Felicity Nursing Home dan IM Global Property Consultants.

Pelancarannya disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Divisyen Pembangunan Komuniti, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wan Noraidah Wan Mohd. Zain sambil diiringi Pengerusi YPI, Ishak Ismail dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Prihatin Insan, Ir. Ismail Abdul Rahman.

Acara kemuncak

Antara pengisian lain yang disediakan sewaktu Karnival Prihatin 2017 ialah persembahan silat cekak Pusaka Hanafi, sukaneka serta gerai pameran dan jualan.

Larian OKU Sahabatku sebagai acara kemuncak karnival bertujuan memberi pendedahan kepada peserta agar saling membantu sekali gus sama-sama menamatkan larian.

Ia disertai 300 orang peserta dan lebih separuh daripada jumlah tersebut merupakan golongan OKU termasuk 60 orang atlit paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN).

Terdahulu, pada Februari 2017, kutipan dana bagi projek van mobiliti OKU telah dilancarkan oleh pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, 31, dan telah berjaya mengumpul RM20,000.

Ia merupakan sebahagian daripada jumlah sasaran sebanyak RM200,000 bagi urusan pembelian, modifikasi dan penyelenggaraan van tersebut.

Sementara itu, pengarah program merangkap Pengurus YPI, Nur Sakinah Mohd. Yusoff, 29, berkata, cadangan untuk menyediakan van mobiliti OKU merupakan idea salah seorang sukarelawan iaitu Omar Abd. Aziz yang turut menggunakan kerusi roda.

“Setelah dikaji selidik, kami mendapati masalah mobiliti merupakan isu yang besar bagi golongan OKU.

“Justeru, kami membayangkan untuk mewujudkan konsep e-hailing iaitu tempahan perkhidmatan van mobiliti OKU secara online pada caj berpatutan agar golongan ini dapat bergerak dengan lebih selesa ke destinasi pilihan mereka,” tuturnya sambil menambah, van mobiliti tersebut juga bakal menyediakan servis pintu ke pintu dan tidak terhad untuk perjalanan ke hospital sahaja.