Walaupun ia pengalaman baharu, namun anak kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu tidak mengalami masalah ketiadaan susu seperti yang dialami kebanyakan ibu baru lain.

Anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu bersyukur kerana sebelum itu dia telah menyertai beberapa sesi kelas antenatal yang dikendalikan oleh hospital dan dua kali anjuran pengusaha barangan bayi Happikiddo serta spa penyusuan Bondahaven.

Ia bagi mendapatkan input berkenaan penjagaan diri dan bayi sewaktu hamil serta sesudah bersalin.

Ia sekali gus memberinya peluang untuk berjumpa dengan lebih ramai pakar dan golongan ibu lain yang turut berada dalam situasi serupa. Malah, isteri kepada doktor pakar kardiologi itu juga berhasrat untuk mencuba perkhidmatan yang ditawarkan di Bondahaven selepas ia beroperasi secara rasmi bulan hadapan.

“Memandangkan saya bersalin anak sulung pada usia yang agak lewat, saya sedar kepentingan untuk mempersiapkan diri dengan pengetahuan asas terutama melibatkan laktasi dan penjagaan bayi bagi mengelakkan berlaku sebarang komplikasi kepada diri dan bayi pada kemudian hari.

“Justeru, sewaktu fasa kehamilan, saya kerap mengikuti kelas antenatal kelolaan hospital tempat saya melakukan pemeriksaan kandungan iaitu di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

“Pada tempoh penghujung kehamilan pula, saya menyertai kelas berbayar bagi mendapatkan input tambahan untuk menguruskan bayi dan diri memandangkan saya perlu berpantang sendiri dan hanya dibantu oleh orang gaji,” kongsinya sewaktu ditemui Kosmo! pada acara Embrace The Bump di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Pengalaman pernah mengalami keguguran dua tahun lepas membuatkan Fransisca lebih berhati-hati dan memilih untuk mengurangkan bebanan kerjanya sebagai konsultan aset.

Masa yang ada bukan hanya digunakan untuk mempersiapkan diri dengan pengetahuan keibubapaan, malah dia juga mengambil kesempatan untuk mencari pengisian rohani dengan menyertai kelas mengaji al-Quran dan mengalunkan kalam Allah itu apabila berkelapangan.

Lumrah bagi setiap pasangan yang telah memeterai ikatan perkahwinan pastinya mengharapkan kehadiran cahaya sebagai pelengkap hubungan kasih yang terbina. Perasaan teruja dan syukur dipanjatkan kepada Yang Maha Esa saat dimaklumkan sang isteri kini berbadan dua.

Tip kehamilan

Ada yang sudah merangka nama untuk si manja, tidak kurang juga yang mula membeli barangan keperluan bayi walaupun usia kandungan masih dalam tempoh trimester pertama.

Kebiasaannya golongan muda banyak bertanyakan tip kehamilan dan berpantang daripada orang-orang tua atau rakan-rakan yang lebih dahulu melalui fasa tersebut. Kebanyakan ilmu ini biasanya diwarisi secara lisan dan bersandarkan kepada amalan zaman-berzaman.

Namun, seiring masa beredar, minda masyarakat juga menjadi lebih terbuka dan tidak hanya terhad kepada persediaan secara tradisional sahaja, sebaliknya mula menggabungkannya dengan sentuhan moden seperti ubat-ubatan dan penggunaan mesin canggih.

Konsep ibu yang sihat menjamin bayi yang sihat sudah jelas menggambarkan bahawa faktor pemakanan ibu memainkan peranan yang penting kepada bayi sejak awal kehamilan.

Pensyarah dan pakar pemakanan Universiti Perubatan Antarabangsa, A. Kanimoli berkata, tempoh kehamilan dan berpantang bukan bermaksud makan dengan banyak sebaliknya makan dengan betul.

Makanan seimbang

“Ibu mengandung dan berpantang hanya perlu mengambil makanan seimbang dengan anggaran hanya 2,200 hingga 2,900 kalori sehari. Secara kasar, pembahagian makanan dalam sepinggan lengkap ialah separuh daripadanya terdiri daripada sayur-sayuran dan buah, satu perempat sumber protein dan baki perempat lagi diisi dengan karbohidrat.

“Selain itu, minum air putih dengan banyak bagi mengelakkan dehidrasi,” jelasnya.

Kanimoli juga sempat berkongsi beberapa tip menarik seperti mengelakkan pengambilan minuman berkafein seperti kopi dan teh sejurus selepas makan makanan yang kaya dengan sumber zat besi kerana kandungan kafein boleh menjejaskan penyerapan zat besi yang berfungsi menghasilkan haemoglobin dan mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh tubuh.

Tambahnya, walaupun pengambilan soya yang merupakan salah satu sumber kalsium sewaktu fasa kehamilan adalah digalakkan, namun elak makan atau minum makanan berasaskan soya secara berlebihan supaya badan tidak menyimpan terlalu banyak air sehingga menjadi sembab.

Tidak hanya berkisarkan ruang lingkup pemakanan, aspek kecergasan dan penjagaan postur tubuh yang betul juga perlu diberi perhatian sewaktu kehamilan.

Menurut Pegawai Fisioterapi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Nor Azieana Zanadia Deraman, aktiviti kecergasan seperti melakukan senaman atau regangan sewaktu tempoh kehamilan perlu dititikberatkan bagi memudahkan proses melahirkan bayi.

“Kebiasaannya apabila telah memasuki fasa trimester ketiga iaitu bermula minggu ke-29, ibu mengandung mula merasakan sakit pada bahagian belakang ekoran lengkungan tulang belakang yang semakin bertambah kerana bayi semakin memberat.

Urutan

“Elak memakai kasut atau selipar bertumit tinggi supaya lengkungan belakang badan tidak bertambah. Atas alasan yang sama, ibu-ibu juga perlu sentiasa berdiri dan duduk dalam postur yang betul,” terangnya.

Antara senaman yang boleh dilakukan sewaktu hamil ialah kegel, gerakan membulat buku lali, mengangkat pelvis, yoga serta regangan betis, paha dan pinggul.

Tidak hanya tertumpu kepada persediaan jangka panjang sejak awal kehamilan, apabila berada pada fasa trimester ketiga, ibu mengandung juga semakin kerap merasakan lenguh-lenguh badan, kejang atau kebas akibat perubahan hormon yang dialami serta bebanan membawa bayi yang semakin memberat. Maka, adalah disarankan untuk memberikan urutan kepada mereka apabila diperlukan.

Pengasas bersama Bidan.my yang menjalankan perkhidmatan urutan, penyusuan dan pantang secara mobil, Suriati Shamsuddin memberitahu, urutan kepada ibu mengandung adalah digalakkan, namun elak melakukannya sewaktu awal trimester pertama kerana keadaan kandungan yang masih lemah pada waktu itu.

“Melakukan urutan sekurang-kurangnya sebanyak dua kali seminggu dapat memberi manfaat kepada ibu mengandung. Ia dapat mengurangkan kepekatan norepinefrin dan cartisol yang menyebabkan tubuh stres dan menjadi mudah penat dan adakalanya mudah marah atau tertekan.

“Urutan dapat meningkatkan kepekatan hormon dopamina dan serotonin yang akan menyebabkan tubuh berasa tenang dan bersemangat. Hormon tersebut dapat mengurangkan masalah dan komplikasi sewaktu proses melahirkan kelak,” jelasnya.

Pada kesempatan yang ada, Suriati dengan dibantu oleh seorang rakannya yang merupakan tukang urut berpengalaman telah melakukan demonstrasi urutan kepada salah seorang peserta sambil diikuti oleh peserta lain iaitu golongan suami mengurut isteri masing-masing.

Ibu mengandung perlu mempersiapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan penjagaan selepas bersalin sejak awal kehamilan bagi mengelakkan sebarang komplikasi mendatang.