Ben Tennyson atau lebih dikenali sebagai Ben 10 contohnya boleh dijadikan teladan kerana mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta tidak mengenal erti takut.

Watak-watak itu juga kadangkala tidak dapat lari daripada mempunyai sikap negatif seperti memandang rendah keupayaan orang lain dan angkuh, namun sesuai dengan perkembangan cerita mereka untuk belajar sesuatu di atas kesilapan yang dilakukan.

Justeru, apa kata bawa anak-anak anda menyaksikan karakter Cartoon Network dengan berkunjung ke Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) di Ipoh, Perak sempena musim cuti sekolah ini.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi Mohd, Azhari berkata, tarikan terbaharu bermula dari 25 November hingga 1 Januari 2018 itu dijangka menarik kehadiran 50,000 pengunjung.

Tiket percuma

“Paling istimewa, kami menyediakan pelbagai aktiviti menarik dengan penampilan khas maskot karakter kartun untuk bergambar dan beramah mesra dengan pengunjung terutamanya kanak-kanak.

“Pengunjung juga tidak perlu bimbang terlepas peluang bertemu watak kegemaran masing-masing kerana sesi itu akan diadakan empat kali sehari.

“Pada majlis pelancaran baru-baru ini, kami turut melepaskan 1,000 biji belon yang diikat dengan tiket emas. Setiap tiket boleh ditebus untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Aktiviti permainan yang menyeronokkan seperti Giant Jenga, Giant Snakes and Ladders, Giant Slingshot, Shuttle Smash, Wheel of Power dan Slow and Steady boleh dimainkan secara berkumpulan, sekali gus mengeratkan hubungan antara keluarga.

Pengunjung juga boleh membeli barangan cenderamata berupa figura, mainan berkualiti dan alas kaki di samping bertih jagung serta gula-gula kapas yang diinspirasikan daripada Cartoon Network.

LWOT turut menjalin kerjasama dengan rakan pengangkutan strategik iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui perkhidmatan kereta api elektrik (ETS).

Peraduan

Dalam hal ini, orang ramai perlu berswafoto di mana-mana poster rasmi Lost World POW Holiday yang diletakkan di sekitar stesen KL Sentral, Gemas, Negeri Sembilan, Ipoh, Sungai Petani di Kedah, Butterworth (Pulau Pinang) dan Padang Besar, Perlis.

Penyertaan perlu dihantar melalui laman web, https://a.pgtb.me/WsSkkd bersama-sama nombor ID tiket ETS di samping butiran peribadi kerana peraduan dibuka bermula 13 November sehingga 31 Disember ini.

Seorang pemenang akan dipilih setiap minggu dan berpeluang mendapat penginapan dua hari satu malam (dua dewasa dan dua kanak-kanak) di Lost World Glamping berserta tiket perjalanan pulang ETS ke Padang Besar.

Selain itu, orang ramai digalakkan membeli tiket secara online untuk menikmati diskaun sebanyak 35 peratus.