Kedua-duanya yang berusia 43 tahun ingin melihat reka bentuk pagar terkini dan mencari idea hiasan yang sesuai untuk kediaman mereka di Bangi, Selangor yang akan diubah suai.

“Rambang mata dibuatnya kerana banyak produk baharu yang kami belum pernah lihat sebelum ini. Niat di hati ingin meninjau rekaan yang berkualiti sesuai dengan bajet kami.

“Saya dan suami telah berkunjung ke Homedec sejak tahun 2008 dan jarang melepaskan peluang untuk mengunjunginya saban tahun sementelah ia diadakan dua kali setahun,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pembukaan rasmi Homedec itu.

Tambah Izalina, dia mahu produk yang mempunyai elemen teknologi dan reka bentuk menarik.

Pameran Homedec yang menyambut ulang tahun ke-15 berganding bahu dengan Pameran Dalaman Reka (RiX) dengan penganjurkan bersama C.I.S Network Sdn. Bhd. dengan tema Rekaan Infiniti-Tiada Sempadan.

Ia menjadi platform kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai kelengkapan rumah dan produk berkaitan ubah suai serta rekaan kediaman di bawah satu bumbung dengan penyertaan lebih 250 syarikat dan 800 tapak pameran.

Infiniti

Antaranya termasuk kabinet dapur, kelengkapan dan aksesori bilik air, sistem keselamatan rumah, peralatan elektrik, landskap, lukisan, fabrik, jubin serta model kediaman pintar.

Presiden Institut Rekaan Dalaman Malaysia (MIID), Chris Yap berkata, konsep infiniti diaplikasikan sebagai pencarian kepada penyelesaian rekaan yang praktikal, penyelesaian masalah dan pilihan yang tidak terbatas.

“RiX ialah pameran reka bentuk pertama Malaysia dengan produk dan objek hiasan dalaman dibuat dalam persekitaran pereka dalaman.

“Ia juga platform bagi golongan profesional dalam industri hiasan dalaman berkongsi idea tentang perkara terkini dan isu-isu berbangkit,” jelasnya.

Pandangan itu selari dengan mesej yang disampaikan perunding jualan produk berasaskan kaca, Salimah Kamaludin yang berpendapat, pada zaman moden, cermin tidak lagi menjalankan fungsi lazim untuk melihat wajah semata-mata.

“Cermin dengan rekaan corak dan warna yang menarik boleh menggantikan kertas dinding dengan kos penyelenggaraan jangka panjang yang lebih murah kerana ia lebih tahan lama dan tidak mudah pudar dan senang dicuci.

“Selain itu elemen kaca juga boleh diletakkan di tangga, pintu, dijadikan penghadang bercermin sekali gus menjadi dekorasi penting di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Presiden C.I.S Network Sdn. Bhd., Datuk Vincent Lim berkata, Homedec sentiasa dihargai kerana keupayaannya memberi inspirasi kepada pemilik rumah untuk mendapatkan idea reka bentuk kediaman idaman mereka.

“Sejak Homedec diperkenalkan pada 2003, kami sentiasa menampilkan kelainan dan menawarkan pelbagai produk yang dapat memenuhi permintaan semasa sekali gus mempromosi kepentingan reka bentuk dalam mencipta ruang yang lebih baik.

“Kami percaya bahawa rumah yang selesa dan memenuhi keperluan penghuninya merupakan tulang belakang dalam membina masyarakat yang sihat dan positif,” ujarnya.