Secara asasnya, kesenangan hidup bererti mempunyai wang banyak dan harta bertimbun-timbun.

Hakikatnya, tidak semua orang bernasib baik untuk mengecapi kekayaan di dunia ini. Ada insan yang terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

Menurut Islam orang miskin itu boleh digolongkan dalam beberapa keadaan.

Salah satunya, zuhud iaitu orang yang tidak menyukai harta dan cenderung menghindarinya.

Kedua, reda iaitu orang yang menghindari dan tidak terlalu menginginkan harta.

Lebih tinggi daripada kedua-dua itu adalah orang yang menganggap ada dan tidak adanya harta sama sahaja baginya.

Ia tidak peduli dan tidak pernah menolak orang yang meminta kepadanya. Ia juga tidak memikirkan keperluan dirinya sendiri (lebih mementingkan keperluan orang lain).

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat, ‘Siapakah manusia yang terbaik?’

Mereka menjawab: ‘Orang yang kaya harta dan mahu menunaikan hak Allah pada diri dan harta yang dimilikinya.’

Baginda menegaskan: ‘Sesungguhnya orang kaya memang baik. Akan tetapi, bukan mereka yang terbaik.’

Mereka bertanya kembali siapakah manusia yang terbaik itu, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: ‘Orang fakir yang menyumbangkan tenaganya ke jalan Allah SWT.’

Disebutkan dalam sebuah riwayat yang masyhur: ‘Orang-orang fakir daripada umatku akan dimasukkan ke syurga 500 tahun lebih awal sebelum orang-orang kaya antara mereka.’ (571).

Dalam riwayat lain disebutkan, ‘Wahai orang-orang fakir, berilah Allah keredaan daripada hati kamu, nescaya kamu mendapat pahala kerana kemiskinan kamu. Kalau tidak begitu, maka kamu tidak akan berhasil.’

Jadi, orang-orang fakir mempunyai keutamaan yang disebut dalam hadis. Namun demikian, agama tidak dilarang kita berusaha untuk mencari harta.

Rasulullah SAW pernah memohon kepada Allah SWT: ‘Ya Allah, jadikanlah makanan keluarga Muhammad dalam kecukupan.’

Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW melarang golongan miskin mengemis kecuali dalam keadaan sangat terpaksa.

Rasulullah SAW berpesan, ‘Sesiapa mengemis dalam keadaan tidak kekurangan, bererti ia membanyakkan mengumpulkan api neraka jahanam.’

Di samping itu, terdapat riwayat yang menunjukkan keringanan untuk mengemis, Rasulullah SAW bersabda: ‘Seseorang yang sangat memerlukan bantuan itu mempunyai hak untuk meminta kepada saudaranya, walaupun dengan menunggang kuda.’

Dengan kata lain, mengemis hanya dibolehkan sekadar untuk memenuhi keperluan. Lebih daripada itu tidak dibenarkan.

Walaupun dalam keadaan memerlukan atau darurat, perbuatan mengemis tetap dianggap sebagai mengurangi darjat.

Justeru sedarlah bahawa golongan miskin tetap dipandang tinggi oleh Islam walaupun hidup dalam kekurangan.

Malah, golongan miskin yang beriman kepada Allah SWT dijanjikan pahala dan ganjaran lebih besar berbanding orang kaya.