Wanita yang bekerja sebagai tukang jahit itu tertarik dengan hebahan di akaun Facebook Sewing World mengenai program mempamer dan menjual produk jahitan selama empat hari bermula 18 hingga 21 Januari lalu. Acara itu turut membariskan kira-kira 102 orang usahawan jahitan daripada pelbagai latar belakang.

“Saya tertarik melihat pelbagai barangan berasaskan jahitan yang terdapat di sini seperti beg, patung lembut, kusyen dan sarung kusyen serta aksesori perhiasan wanita serta kediaman.

“Saya turut mencuba menjahit sarung tisu poket dengan dibantu oleh seorang tenaga pengajar. Ia dapat disiapkan tidak sampai lima minit,” ujarnya sewaktu ditemui di Handmade Market di lobi Sky [email protected] City baru-baru ini.

Program Keusahawanan Minggu Jahitan di Galeri Sewing World merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dengan kerjasama Yayasan Inovatif Mostwell dan Pusat Latihan Kraftangan Epal.

Seramai 102 orang usahawan jahitan yang dikenali sebagai perintis merupakan pelajar Pusat Latihan Kraftangan Epal daripada 14 pusat seluruh negara. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan kurang bernasib baik seperti orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan Orang Asli yang berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup.

Jika dilihat kepada kekemasan hasil jahitan dan kreativiti rekaan produk yang dipamerkan, pasti ramai akan beranggapan ia dilakukan oleh tukang jahit berpengalaman.

Hakikatnya, sebahagiannya baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia jahitan sejak beberapa bulan lalu dan langsung tiada kemahiran menjahit.

Hal itu turut dilalui oleh salah seorang perintis dari Padang Temu, Melaka iaitu Zahari Zakaria, 51.

Lima tahun lalu, bekas kerani bank itu diserang kecederaan tulang belakang membuatkan dia terpaksa mengambil cuti panjang daripada tugas hakiki sehingga akhirnya dia direhatkan.

Bapa kepada tiga orang anak itu kemudiannya tergerak untuk mengikuti kelas jahitan seliaan Pusat Latihan Kraftangan Epal bagi meneruskan kelangsungan hidup memandangkan dia masih perlu menyara keluarga.

“Saya langsung tidak pandai menjahit pada masa itu. Alhamdulillah, modul pengajaran yang kondusif dan kepakaran tenaga pengajar Pusat Latihan Kraftangan Epal Melaka membuatkan saya dapat mengikuti semua sukatan yang telah digariskan dengan jaya.

“Saya memutuskan untuk memfokuskan barangan berasaskan fabrik jean kerana skala persaingannya lebih kecil,” kongsinya.

Akui Zahari, pada awalnya dia mendapatkan bekalan seluar jean yang sudah tidak digunakan daripada keluarga dan kenalan terdekat sahaja. Lama-kelamaan dia terpaksa membeli seluar jean terpakai bagi menampung permintaan pelanggan yang semakin bertambah.

“Seluar jean lelaki dari Jepun merupakan pilihan terbaik untuk membuat beg kerana fabriknya keras dan mudah dibentuk. Sekiranya menggunakan jean lembut, saya perlu meletakkan kain gam terlebih dahulu sebelum menjahit kain alas pada bahagian dalam.

“Saya menjahit pada waktu malam iaitu bermula dari pukul 9 malam sehingga awal pagi kerana suasana lebih tenang pada masa itu,” jelasnya.

Pengisian

Dalam sehari, Zahari mampu menjahit sekurang-kurangnya 10 beg genggam yang telah dipotong lebih awal.

Seluar jean yang telah ditetas terlebih dahulu akan dipotong mengikut bahagian yang diingini. Bahagian poket akan menjadi motif utama produk manakala lebihan kaki seluar akan dicantum menjadi aksesori yang lebih kecil seperti kantung syiling atau bekas pensel.

Antara produk jahitan yang dihasilkan Zahari ialah beg sandang, beg silang, beg genggam, beg messenger, apron, kantung syiling dan bekas pensel. Uniknya, setiap produk yang dihasilkan tidak sama dengan produk lain kerana bahagian dan rekaan seluar jean yang digunakan juga berbeza.

Sepanjang empat hari program tersebut berlangsung, pelbagai pengisian menarik telah disediakan. Antaranya Handmade Market, bengkel seni jahitan kreatif, taklimat usahawan, pameran inovasi dan pertunjukan fesyen.

Pengunjung boleh menyertai bengkel seni jahitan kreatif dengan bayaran RM10 bagi mendapatkan satu kit jahitan. Terdapat tiga pilihan kit jahitan untuk dipilih iaitu sarung tisu poket, alas meja kopi mini atau pemegang kad akses. Mereka juga dibimbing oleh tenaga pengajar Pusat Latihan Kraftangan Epal.

Sementara itu, Pengurus Pusat Latihan Kraftangan Epal Terengganu, Beth Kalitak, 29, memberitahu, dia bangga apabila menjadi sebahagian daripada program yang mengangkat hasil kerja perintis kepada umum itu.

“Saya bangga apabila pelajar dapat menjual produk jahitan mereka sendiri dan mempromosikannya kepada pengunjung kerana kebanyakannya bermula dari bawah,” katanya yang mula menjadi tenaga pengajar sejak lebih sedekad lalu.

Pengalaman selama tujuh tahun sebagai tenaga pengajar dan empat tahun sebagai pengurus membuatkan anak kelahiran Ranau, Sabah itu perlu menguasai semua teknik jahitan untuk dikongsi bersama pelajar. Dia juga perlu memimpin tenaga pengajar lain dan memastikan segala aktiviti yang dirancang di peringkat cawangan dan induk berjalan lancar.

Pada hari terakhir program, telah berlangsung majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh Penaung PSJK, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Selain itu, baginda turut berkenan menyampaikan pengurniaan sijil dan anugerah kepada tiga orang pemenang Anugerah Tokong Cemerlang 3K kategori OKU, junior dan senior, pemenang Pertandingan Inovasi Seni Jahitan Kreatif, sijil Guinness World of Records bagi tiga pencapaian iaitu tas tangan jahit terbesar di dunia, bunga jahitan tangan terbanyak serta peserta menjahit bersama paling ramai.

Usahawan jahitan Pusat Latihan Kraftangan Epal atau dikenali sebagai perintis terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan Orang Asli yang nekad menjadikan bidang jahitan sebagai sumber pendapatan.