Tidak ramai yang mampu mengubah kerjaya profesional kepada sesuatu yang disukai. Namun, tekad dan kesabaran Ng Yee Von berjaya mengejar impiannya menghasilkan karya seni sebagai punca rezeki.

Wanita berusia 35 tahun itu menghasilkan karya ilustrasi bertemakan rimba yang dijadikan produk-produk alat tulis seperti kad nota, hadiah, jemputan dan pelekat. Yee Von menzahirkan kreativitinya di bawah jenama Whimsy Whimsical.

Memulakan bicara, Yee Von berkata, ia bermula dengan koleksi ilustrasi karakter rubah dan arnab yang dijadikannya kad nota pada 2010.

“Saya berazam mahu menjadi ilustrator ketika menyambung pengajian Ijazah Sarjana Seni Reka Grafik di Melbourne, Australia lagi. Apabila saya pulang ke Malaysia pada 2010, saya bekerja sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi pada siang hari dan membangunkan jenama Whimsy Whimsical pada sebelah malam,” katanya ketika ditemui Pesona baru-baru ini.

Idea rawak

Ujarnya, hanya selepas lima tahun menguruskan kedua-dua pekerjaan itu, Yee Von mengambil keputusan untuk menjadi ilustrator sepenuh masa.

“Whimsy Whimsical lahir daripada idea rawak ketika saya yang cuba menghilangkan rasa bosan dengan rutin kerja seharian di pejabat. Ketika itu, saya sedang menghasilkan ilustrasi kanak-kanak perempuan untuk satu projek.

“Saya mengambil inspirasi daripada pengalaman mengikut ayah dan ibu ke kawasan pergunungan dan hutan rimba semasa kecil,” ujarnya yang memberitahu, pengalaman itu memupuk rasa cinta terhadap alam dan haiwan dalam dirinya.

Ilustrasi Whimsy Whimsical kini mempunyai karakter seperti rubah, arnab, tupai, landak dan beruang.

“Saya suka membayangkan haiwan ini sebagai sekawan sahabat. Haiwan lebih mudah untuk digambarkan dan diekspresikan berbanding ilustrasi manusia,” katanya.

Karya Yee Von dihasilkan dengan pen dan dakwat di atas kertas kosong sebelum diwarnakan menggunakan perisian Adobe Photoshop.

Sesiapa yang melihat kad-kad ucapan yang dihasilkan Yee Von pastinya akan tertumpu dengan karakter haiwan comel. Tema rimba yang memonopoli lukisannya diberi sentuhan yang cukup menarik dan halus.

“Kadang-kadang idea lakaran datang dalam beberapa jam namun ada juga mengambil masa berhari-hari.

Pesanan khas

Tambahnya, banyak pesanan dari luar negara diterimanya ketika hari Krismas.

Selain itu, ada juga pesanan khas yang diminta pelanggan untuk keraian istimewa seperti sambutan hari jadi atau majlis perkahwinan.

“Saya mula menjual kad-kad itu secara online di laman Etsy.

“Pelanggan saya pada awalnya adalah dari luar negara seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sebelum diikuti oleh pelanggan tempatan,” katanya.

Selain menghasilkan produk sendiri, Yee Von turut diminta untuk menghasilkan ilustrasi untuk buku kanak-kanak seperti judul Finding Christmas, The Apple Tree dan Circle of Sandcastle yang diterbitkan di AS.

Kini, karya-karya Yee Von turut dijual di kedai-kedai kecil selain kedai buku seperti Border dan Kinokuniya.