Kepayahan dan keperitan ibu tunggal berkenaan untuk menyara keluarga menyebabkan Nor Farizah Aripin terpanggil untuk membantunya.

Kebetulan pada waktu itu, Nor Farizah yang juga seorang suri rumah baru bersalin anak sulung.

Selepas puas berfikir, Nor Farizah akhirnya memutuskan untuk menyertai kelas pembuatan sabun organik. Tenaga pengajarnya merupakan seorang guru dari Taiwan di Ayer Keroh, Melaka.

Ilmu yang diperoleh tidak disimpan sebaliknya dikongsi bersama ibu tunggal yang juga jirannya.

Hasilnya, ibu tunggal muda kematian suami itu dapat menghasilkan sabun organik sendiri sekali gus menjana pendapatan tambahan.

“Peristiwa itu berlaku enam tahun lalu. Saya sangat kasihan melihat orang lain berada dalam kesusahan. Kebetulan waktu itu ada orang beritahu mengenai kelas membuat sabun.

“Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar, ibu tunggal itu mempunyai pendapatan untuk membesarkan anak-anaknya yang masih kecil,” kenangnya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Berkat pertolongannya itu, Nor Farizah berjaya menjadi seorang usahawan serta pemilik sebuah syarikat yang menghasilkan sabun organik. Syarikat itu ialah Fabulove Holdings Sdn. Bhd. (Fabulove) di Melaka Halal Hub, Fasa 2, Serkam tiga tahun lalu

Kilang Fabulove bukan sahaja menghasilkan sabun organik, malah produk kecantikan, sabun mencuci pakaian dan minyak aroma terapi.

Menerusi perusahaan tersebut, wanita yang berasal dari Pasir Gudang, Johor itu meraih pendapatan lumayan setiap bulan serta mengaji 11 orang pekerja.

Di sebalik kejayaan itu, Nor Farizah berkata, dia terpaksa berhabis sebanyak RM3,500 bagi menghadiri kelas membuat sabun organik julung-julung kalinya.

Jelas ibu kepada empat cahaya mata itu, dia telah menggadai seutas gelang tangan emas untuk mendapatkan wang tunai bagi membiayai yuran kelas.

 

Hadiri kelas

“Dengan menggadaikan gelang tangan, saya dapat menghadiri kelas berkenaan dan memperoleh ilmu yang sangat berguna ini,” jelas pemegang Ijazah Kepujian Sains Biomedik dari Universiti Sains Pengurusan (MSU) itu.

Ilmu tersebut digunakan oleh Nor Farizah untuk membuat dan menjual sabun organik secara kecil-kecilan di rumah.

Menariknya, sabun yang hasilkan menggunakan bahan semula jadi yang terbukti halal seperti minyak argan dan rempah ratus di dapur.

Minyak argan diperoleh daripada buah pokok argan (Argania spinosa) yang banyak terdapat di Maghribi.

Ia dipercayai mampu mencerah dan menyegarkan kulit wajah.

Hasil pendapatan tersebut dimanfaatkan oleh Nor Farizah bagi menyertai kelas pembuatan sabun badan, produk kecantikan dan minyak aroma terapi di dalam mahupun luar negara.

Jelasnya, secara keseluruhan dia membelanjakan sebanyak RM200,000 bagi membayar yuran menghadiri kelas sehingga ke Bali dan Jakarta, Indonesia.

“Jumlah itu tidak termasuk kos perjalanan dan penginapan sewaktu ke luar negara. Mujurlah ketika itu perniagaan saya sudah mula mendapat sambutan.

“Saya sanggup ke Indonesia semata-mata untuk menuntut ilmu ini. Di sana ada ramai guru yang bagus dalam pembuatan sabun dan produk kecantikan,” katanya.

 

Tekstur

Menerusi pembelajaran tersebut, Nor Farizah menjadi seorang yang mahir dalam penghasilan sabun dan produk kecantikan.

Dia berkebolehan mengesan bahan-bahan yang digunakan dalam sesuatu sabun organik dan produk kecantikan dengan hanya menyentuh tekstur.

Menerusi kepakaran tersebut Nor Farizah dapat mengembangkan perniagaan dengan mempelbagaikan produk keluaran selain berpindah ke kilang.

Dia memberitahu, kilang Fabulove di Serkam, Melaka boleh menghasilkan lebih 50 jenis produk. Antaranya, gincu, sabun organik, pencuci muka, bedak asas, produk skrub, minyak wangi, jamu, syampu dan minyak aroma terapi.

Selain menjual terus, kilang Fabulove turut menerima tempahan produk daripada sedozen usahawan tempatan.

“Kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada usahawan yang menerajui beberapa jenama kecantikan dan kesihatan terkenal tanah air.

“Biasanya, usahawan ini akan menempah daripada kami apabila berlaku peningkatan permintaan.

“Ada juga yang datang ke sini untuk membuat produk-produk yang tidak dapat dihasilkan di kilang mereka akibat kekurangan teknologi,” jelasnya.

Menurut pemegang sijil Vocational Training Officer tahap tiga itu, cabaran terbesar dalam perniagaan tersebut ialah mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Setiap produk yang dihasilkan perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh KKM bagi mengelakkan pengguna menanggung kesan buruk.

“Kadang-kadang kami menerima pelbagai permintaan daripada para pelanggan. Ada yang minta campuran bahan-bahan kimia pelik. Kalau ia berbahaya buat pengguna, saya tidak akan buat.

 

Mengajar

“Kami tidak mahu ada sebarang masalah dengan KMM sekali gus menjejaskan reputasi syarikat kepada pengguna,” tegas wanita berkulit cerah itu.

Pada masa sama, Nor Farizah tidak sunyi daripada menerima jemputan pihak korporat dan badan bukan kerajaan bagi mengadakan kelas membuat sabun dan produk kecantikan.

Katanya, kelas-kelas tersebut kebanyakan dihadiri oleh golongan wanita yang ingin belajar menghasilkan sabun dan produk kecantikan untuk tujuan komersial atau kegunaan sendiri.

Beliau juga, ada membuka kelas kepada individu yang berminat mendalami ilmu berkenaan di kilangnya dengan bayaran serendah RM100 satu sesi.

“Saya ada menerima jemputan mengajar membuat sabun sehingga ke Kota Bharu, Kelantan,” jelasnya.

Meskipun sibuk menguruskan perniagaan dan menerima jemputan mengajar, Nor Farizah tidak pernah melupakan tanggungjawabnya terhadap suami dan anak-anak.

Dia menambah, rutin hariannya bermula dengan menyiap dan menghantar anaknya ke sekolah terlebih dahulu sebelum masuk ke pejabat.

“Saya sangat bertuah kerana suami, Wan Mohd. Saufiee Abd. Razak, 32, memahami tugas saya sebagai seorang usahawan.

“Dia banyak membantu dalam menguruskan anak-anak dan hal-hal di rumah. Jika berkelapangan dia juga ada membantu kerja-kerja di ke kilang,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nor Farizah akan melabur RM300,000 lebih bagi mengubah suai ruang dalaman kilang.

Jelasnya, pengubahsuaian itu penting bagi membolehkan kilangnya mendapatkan status Amalan Perkilangan Baik daripada KKM.

Keikhlasan Nor Farizah membantu seorang ibu tunggal kesempitan hidup berbalas apabila dia kini menjadi usahawan sabun organik dan memiliki kilang sendiri di Serkam, Melaka.