Masalah itu berlaku disebabkan dia telah kehilangan banyak gigi.

“Manusia secara normal mempunyai 32 batang gigi. Tetapi saya mempunyai 10 batang gigi sahaja pada waktu itu. Gigi saya banyak rosak dan tertanggal.

“Masalah ini menyukarkan saya untuk menjamah makanan terutamanya makanan yang keras dan kenyal,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Melihat kepada masalah yang dihadapinya, salah seorang anaknya menyarankan Mohd. Fadzil menggunakan gigi palsu.

Dia kemudiannya berjumpa doktor gigi bagi mendapatkan nasihat dan memakai gigi palsu.

Kini, Mohd. Fadzil sudah dua tahun menggunakan gigi palsu dan masalah yang dialaminya untuk menikmati makanan kesukaan juga selesai.

“Selain saya dapat makan seperti biasa, saya juga semakin berkeyakinan untuk melemparkan senyuman kepada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada Mohd. Fadzil, Faridah Abdul Rahim, 59, juga turut berhadapan masalah yang sama dengan suaminya itu.

Lebih yakin

Setelah melihat suaminya lebih yakin dengan memakai gigi palsu, dia turut melakukan perkara yang sama.

“Saya telah memakai gigi palsu selama setahun setengah. Saya mempunyai masalah gigi geraham. Gigi geraham saya longgar dan perlu dicabut.

“Pada mulanya gigi palsu ini memberi rasa kurang selesa tetapi lama kelamaan rasa tidak selesa itu akan hilang,” katanya.

Sementara itu, bagi mendidik mereka yang berhadapan dengan masalah gigi, jenama penjagaan gigi utama di Malaysia iaitu Polident telah menganjurkan kempen Senyum Bersama Dengan Yakin.

Pengarah Pemasaran dan Ketua Digital Asia Tenggara Penjagaan Kesihatan Pengguna GlaxoSmithKline (GSK), Venaig Solinhac berkata, kempen tersebut dilancarkan untuk mendidik anak-anak berkaitan keperluan penjagaan gigi palsu orang tua mereka.

“ Gigi palsu mempunyai pengaruh besar terhadap kualiti kehidupan dan keyakinan diri si pemakainya. Sesetengah pengguna gigi palsu mendapati gigi palsu memberi kesan terhadap cara mereka memilih makanan, minuman atau cara berinteraksi dengan orang lain.

“Menerusi kempen ini, kami berharap dapat memaparkan kesukaran yang dihadapi oleh pengguna gigi palsu dan membantu mereka senyum dengan yakin,” katanya.

Tinjauan yang dijalankan oleh GSK terhadap pengguna gigi palsu mendapati, 56 peratus daripada pengguna gigi palsu tidak sedar cara sewajarnya untuk memastikan gigi palsu mereka bersih.

Di samping itu, kira-kira 49 peratus daripada pengguna gigi palsu ini tidak berjumpa dengan doktor gigi secara berkala. Mereka hanya berjumpa doktor gigi apabila ada masalah dengan gigi palsu.

Pensyarah dan Pakar Prostodontik, Pusat Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ho Ting Khee berkata, pesakit seharusnya mengunjungi doktor gigi setiap enam bulan untuk pemeriksaan gigi dan gigi palsu.

“Pesakit dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga gigi dan gigi palsu mempunyai masalah yang serius.

“Saya sentiasa menasihati pesakit mengenai cara penjagaan gigi palsu yang sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, pesakit perlu memberi perhatian kepada kebersihan gigi palsu supaya mencegah pembentukan plak gigi dan kalkulus pada tapak gigi palsu.