WANITA berusia separuh abad itu boleh dianggap sangat bertuah. Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid bukan sahaja dikurniakan rupa paras yang cantik tetapi juga pandai memasak.

Gabungan dua kriteria itu bukan sahaja berjaya menawan hati si suami, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Zinin tetapi turut menawan orang di sekelilingnya.

Dikurniakan kepakaran dalam menghasilkan asam pedas, beriani Yemen, kari kepala ikan dan mi kari, beliau sering menjemput rakan-rakan untuk menikmati hasil air tangannya.

Keenakan masakan Shariffa Nisa bukan sahaja popular dalam kalangan rakan-rakan tetapi turut mendapat perhatian orang kenamaan serta kerabat diraja.

Rentetan populariti yang diterima itu, beliau diberikan slot masakan sendiri di televisyen menerusi program Nona, Selamat Pagi Malaysia, Nasi Lemak Kopi O, Malaysia Hari Ini dan Primadona.

Anak kelahiran ibu kota itu juga sering mendapat undangan mengadakan demonstrasi masakan di luar negara seperti Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Sepanyol dan Brunei.

“Saya sentiasa percaya bahawa makanan boleh menjadi medium penyatuan sesama manusia. Makanan yang sedap mampu menghilangkan tekanan seseorang dan menghadirkan jalinan kemesraan.

“Jadi, apabila melihat wajah-wajah girang orang yang menikmati hidangan yang disediakan, saya berasa sangat puas,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengimbau detik awal penglibatan dalam bidang masakan, Shariffa Nisa memaklumkan, ia bermula sejak usia remaja kerana sering membantu ibunya, Aishah Vandour di dapur.

Cerewet

Beliau memberitahu, peluang masuk ke dapur dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempelajari pelbagai masakan tradisi Arab dan tempatan.

“Ibu saya sangat suka masak untuk kami sekeluarga. Tambahan pula, bapa saya seorang yang cerewet dalam bab makan.

“Jadi, setiap kali ibu berada di dapur untuk memasak, saya adalah orang yang paling sibuk membantu menyediakan bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih dan cili,” jelasnya.

Minat dalam masakan terus dipupuk saat Syarifah Nisa menyambung pengajian di Universiti Sydney, Australia dalam bidang kewangan sekitar tahun 1980-an.

Memandangkan tidak banyak restoran di Sydney yang menjual hidangan Malaysia selain kebimbangan terhadap tahap kebersihan, maka beliau terpaksa masak sendiri di rumah.

Sejak itu, beliau mula menguasai pelbagai masakan tradisi yang diperoleh daripada buku-buku resipi yang ditulis oleh Cef Wan.

“Di sana, bahan-bahan tidak sama seperti di sini. Jadi, saya perlu melakukan eksperimen di dapur bagi menghasilkan juadah tempatan dengan menggunakan bahan-bahan yang ada.

“Alhamdulillah, setiap kali saya cuba melakukan eksperimen, ia mesti menjadi. Rasa masakan tidak pernah menghampakan. Petuanya, saya selalu berselawat terlebih dahulu sebelum ke dapur,” tuturnya.

Selepas mendirikan rumah tangga, Mohd. Bakri menjadi peminat nombor satu masakan beliau khususnya asam pedas.

Maklum balas

Ceritanya, kalau ada asam pedas, suaminya akan lebih berselera untuk makan dan tidak ada orang boleh tegur kerana terlalu menikmati hidangan itu.

“Saya tahu, suami sering tertekan dengan kerja-kerja di pejabat. Jadi, sebolehnya saya akan masak untuk suami terutamanya asam pedas,” ujarnya.

Minat mendalam Shariffa Nisa dalam bidang masakan menyebabkan dia sering mengadakan jamuan kepada kawan-kawan di rumah.

Beliau memaklumkan, rata-rata yang mencuba masakannya akan memberi maklum balas positif dan bertanyakan resipi bagi membolehkan mereka masak di rumah.

Disebabkan terlalu banyak permintaan itu, beliau akhirnya memilih untuk melancarkan buku resipi bertajuk I am Not a Chef pada November 2015.

Buku berkenaan mengandungi 25 resipi ciptaan Syarifah Nisa serta lirik lagu-lagu kegemarannya sewaktu memasak.

Antara resipi-resipi yang dimuatkan dalam buku berkenaan termasuklah udang harimau goreng, stew ekor lembu, kepah tumis dan kambing masala.

“Pada pelancaran buku berkenaan, saya turut memperkenalkan dua pes resipi popular iaitu asam pedas dan kari ikan dengan jenama Nisa Bakri (NB).

“Alhamdulillah, pes berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna di seluruh negara,” jelas ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Sebulan selepas itu, Shariffa Nisa membuka Serasi Cafe di Uptown 3, Damansara, Kuala lumpur yang menyediakan pelbagai hidangan enak ciptaannya.

Menerusi jenama Serasi Cafe juga, beliau berjaya melebarkan sayap dalam bidang penyediaan ketering kepada syarikat korporat dan orang perseorangan.

Platform

“Serasi Cafe terpaksa ditutup pada awal tahun ini bagi membolehkan saya memberi tumpuan penuh kepada penyediaan ketering.

“Bagaimanapun, orang ramai boleh merasai keenakan hidangan ciptaan saya mulai bulan depan di Restoran Nicmann, Kuala Lumpur hasil kerjasama dengan pemiliknya iaitu Datuk Lewre’s,” jelasnya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharu, Syarifah Nisa memberitahu, beliau bersama 10 delegasi baru pulang daripada Minggu Fesyen London (MFL) 2018 di London.

Jelasnya, jenama NB telah diberi kepercayaan untuk menjadi penaja dan pembekal ketering bagi masakan Malaysia dalam salah satu acara fesyen terbesar di dunia itu.

MFL 2018 juga menjadi platform NB melancarkan tiga jenis pes terbaharu iaitu pes gulai sayuran, pes masala ayam dan pes gulai ayam lemak betutu.

“Semuanya bermula selepas saya memenuhi undangan memasak di sebuah restoran milik cef berbintang Michelin di Sepanyol dan disiarkan menerusi saluran Cooking Spain Channel News.

“Tanpa disangka, program itu tular di sana dan menarik perhatian penganjur MFL. Ia merupakan peluang terbaik saya untuk mempromosikan makanan tempatan serta jenama NB di Eropah,” ujarnya.

Disember ini, NB akan melancarkan dua jenis pes sambal iaitu Sambal Rasia dan Sambal Lemak Cili Api yang akan berada di pasaran tempatan serta Indonesia.