Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan sejumlah 911 bayi dibuang dari tahun 2010 hingga Ogos 2018, dengan 585 daripadanya dijumpai sudah mati.

Kefahaman mengenai hubungan intim terhadap remaja wajar dipertingkat. Ini kerana, ramai dalam kalangan remaja tidak menerima pendedahan yang bersesuaian mengenai keintiman antara lelaki dan perempuan. Akibatnya, mereka ‘mempelajarinya’ daripada rakan-rakan tanpa bimbingan yang betul sehingga terjebak dengan perbuatan zina atau seks.

Atas kesedaran itu, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Ampang, Selangor menggerakkan usaha memberi maklumat kepada murid-murid sekolah bagi mengelakkan tindakan berunsur seks yang boleh membawa kepada zina.

Jenis sentuhan

Pakar Obstetrik dan Ginekologi KPJ, Dr. Nurul Khairiyah Khairuddin berkata, kanak-kanak yang sedang memasuki alam remaja perlu diberi kesedaran mengenai perubahan fizikal dan emosi yang membawa kepada rasa cinta.

“Kita mengajarkan kepada murid-murid mengenai jenis-jenis sentuhan, sama ada sentuhan itu selamat atau tidak. Bagi remaja perempuan, kita mendedahkan kepada mereka mengenai proses haid dan ovulasi serta perubahan fizikal semasa akil baligh. Fasa ini turut melibatkan perubahan perasaan dan kecelaruan emosi,” katanya kepada Pesona ketika ditemui pada Program Awal Remaja Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang baru-baru ini. Program itu melibatkan 212 murid tahun enam lelaki dan perempuan sekolah tersebut.

Ujar Nurul Khairiyah, pihaknya turut mendedahkan mengenai akibat daripada zina dan kehamilan yang tidak dikehendaki seperti jangkitan penyakit hepatitis dan AIDS.

KPJ turut menyediakan pembentangan slaid dan buku bagi menerangkan aspek seksual kepada remaja perempuan.

“Pendedahan pula dibuat mengikut tahap kefahaman anak-anak. Bagi murid sekolah rendah, banyak perkara berat terpaksa dikeluarkan daripada slaid kerana belum sesuai diajarkan kepada mereka, manakala topik yang dibincangkan bersama pelajar sekolah menengah adalah lebih mendalam,” jelasnya.

Tanggungjawab bapa

Pegawai Agama KPJ, Abd. Rasydan Mohd. Rusli pula berkata, kanak-kanak yang memasuki usia remaja mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam. Justeru, adalah normal bagi mereka untuk bertanya mengenai perkara seksual kepada ibu bapa mereka.

“Ada yang bertanya mengenai kondom, berkhatan dan sebagainya. Pertanyaan ini perlu dijawab, namun secara bertapis. Apabila kita mengadakan pendidikan seks, kita memberikan mereka garis panduan.

“Berbanding jika mereka disuruh untuk mencari sendiri jawapan. Ia mengundang pendedahan yang tiada batasan terutama di internet,” katanya.

Tambahnya, tanggungjawab menerangkan perkara berkaitan seks kepada anak-anak, termasuklah anak perempuan jatuh kepada bahu seorang bapa.

“Jika anak perempuan bertanya tentang darah haid, sepatutnya ayah boleh menjelaskan perkara tersebut.

“Golongan bapa perlu menyediakan diri dan mendapatkan maklumat untuk menjawab soalan-soalan anak,” katanya.

Ujarnya, sikap acuh tidak acuh dan menganggap isu seksual tidak sesuai dibincangkan dengan anak-anak tidak membantu mereka dalam memahami perubahan pada diri mereka sekali gus lebih memudahkan mereka terlibat dalam zina dan sumbang mahram.

Jelas Abd. Rasydan, umur yang sesuai untuk mula menerapkan kesedaran mengenai seksual itu adalah sekitar lapan hingga sembilan tahun, bergantung kepada kebolehan anak-anak untuk memahami apa yang ingin disampaikan.

Katanya, selain daripada perubahan-perubahan fizikal, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan juga wajar diterapkan.

“Perasaan suka dan rasa tertarik kepada pasangan berlainan jantina adalah fitrah. Walaupun begitu, kita perlu beritahu anak-anak supaya jangan melampaui fitrah tersebut. Contohnya membawa rakan atau pasangan mereka ke tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Kita juga kena beritahu apa akibat hubungan tanpa batasan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ibu bapa juga boleh mendapatkan kaunseling daripada guru sekiranya masih memerlukan bimbingan untuk mendidik anak-anak.