Dia yang ditemani rakan karibnya, Norley Ibrahim, 45, kelihatan sudah tidak sabar lagi untuk menyertai ratusan orang ramai di bahagian dalam stadium berkenaan.

Sebelum bergerak ke dalam stadium, mereka berdua melakukan aktiviti regangan bagi mengelakkan berlaku kekejangan otot.

Sebaik selesai melakukan regangan, mereka berdua terus bergegas masuk ke dalam stadium yang lengkap berpendingin hawa itu.

Selang beberapa minit, ruang dalam stadium yang awalnya terang benderang dengan cahaya lampu bertukar gelap kecuali di pentas utama.

Beberapa wanita berpakaian hiphop mula menaiki pentas utama sebelum menari mengikut irama muzik rancak yang dimainkan menerusi sistem bunyi.

Setiap pergerakan badan wanita di atas pentas dituruti dengan penuh minat oleh Noor Anziela bersama para peserta lain. Aktiviti berkenaan berlangsung selama lebih dua jam.

Itulah sebahagian daripada perjalanan dilalui para peserta yang mengambil bahagian dalam acara Funky Fit Fever (FFF) 3.0.

“Saya sangat teruja dapat menyertai acara FFF buat pertama kali. Saya sanggup datang dari Kuala Perlis, Perlis semata-mata untuk acara ini.

“Ini adalah acara yang sangat ditunggu-tunggu oleh peminat tarian seperti saya,” ujar Noor Anziela ketika ditemu bual Kosmo! di Stadium MABA baru-baru ini.

FFF merupakan sebuah acara yang menggabungkan antara elemen tarian dan senaman sambil diiringi muzik rancak.

Noor Anziela yang merupakan seorang jururawat di Perlis berkata, dia menyertai FFF kerana status dan kelainan yang ditampilkan dalam acara berkenaan.

Jelasnya, konsep FFF berbeza sama sekali dengan acara tarian atau senaman yang pernah disertainya sebelum ini.

“Acara ini sangat menarik kerana ia diadakan pada sekala besar dengan jumlah peserta yang ramai.

“Ia juga menampilkan ramai jurulatih tarian terkemuka di negara ini,” ujarnya yang aktif dalam senaman tarian sejak tiga tahun lalu.

FFF 3.0 dianjurkan oleh sebuah studio tarian terkemuka di ibu negara, Funky Frest Entertainment Network dengan kerjasama jenama fesyen, Youme dan Hunny.

Pengarah Urusan Funky Fresh Entertainment Network, Siti Hadzrah Abd. Rahim berkata, pihaknya menganjurkan acara berkenaan kerana ingin menyebarkan mesej positif mengenai penjagaan kesihatan menerusi aktiviti tarian.

 

Rejim senaman

Jelasnya, aktiviti tarian boleh disifatkan sebagai satu rejim senaman kerana mereka yang menari tetap mendapat manfaat serupa daripada aktiviti sedemikian.

“Kita boleh katakan ia lebih menarik kerana aktiviti tarian disertakan dengan muzik sekali gus membuatkan ia kurang bosan.

“Malah, ia sesuai dilakukan oleh semua peringkat umur termasuk golongan lelaki,” ujarnya yang merupakan salah seorang jurulatih FFF 3.0.

Menurut Siti Hadzrah, pihaknya menyasarkan lebih 80 peratus peserta FFF 3.0 terdiri daripada golongan wanita berkerjaya.

Dia memberitahu, ini kerana golongan tersebut terdedah kepada risiko menghadapi masalah tekanan perasaan selain sering mengabaikan penjagaan kesihatan.

“Kami sedar ramai wanita di luar sana terlalu sibuk dengan tugas harian di rumah dan pejabat sehingga tidak ada masa untuk menjaga kesihatan.

“Menerusi FFF, kami harap mereka dapat mengeluarkan peluh sambil menghilangkan tekanan menerusi pergerakan dan alunan lagu-lagu,” ujarnya.

Beberapa rutin tarian dilaksanakan sepanjang acara FFF 3.0 berlangsung antaranya zumba, hiphop dan salsation dan U-Jam.

 

Jurulatih hebat

Siti Hadzrah memberitahu, pihaknya membawakan beberapa jurulatih tarian terkemuka dari seluruh negara bagi menjayakan FFF 3.0.

Tambahnya, antara jurulatih hebat yang mengambil bahagian ialah Dora Dee, Ewone Lee, Yasmin Radzmi, Hazmiflip, TT Fly dan Zin Yasmin.

“Semua jurulatih ini mempunyai kemahiran tersendiri dalam setiap rutin tarian. Mereka juga memiliki jumlah pengikut yang ramai,” katanya.

Menariknya, sebahagian daripada kutipan tiket FFF 3.0 disalurkan kepada Persatuan Kanser Malaysia.

Sementara ini, mengulas mengenai kehadiran pengunjung, Siti Hadzrah memaklumkan, FFF 3.0 mencatatkan jumlah peserta tertinggi berbanding acara sebelum ini iaitu seramai 700 orang.

Katanya, pihaknya bukan sahaja menerima penyertaan daripada wanita sahaja malah kaum Adam turut mengambil bahagian.

“Meskipun acara ini khusus buat wanita, namun kami tetap membenarkan golongan lelaki untuk mengambil bahagian. Jumlahnya mereka sangat kecil,” katanya.

Salah seorang peserta lelaki yang mengambil bahagian, Qimie Yusoff, 28, berkata, dia menyertai acara berkenaan kerana menggemari aktiviti tarian.

Tambahnya, aktiviti seperti FFF sangat terhad di negara ini terutamanya melibatkan golongan lelaki.

“Ini merupakan kali ketiga saya menyertai acara FFF. Pada mulanya, memang saya rasa agak segan untuk menari bersama peserta wanita.

“Lama-kelamaan perasaan itu hilang. Malah, setiap tahun saya lihat peserta lelaki semakin bertambah.

“Saya harap lepas ini, pihak penganjur dapat membuka penyertaan kepada lelaki,” ujarnya yang merupakan seorang jurutera teknikal di Kuala Lumpur.

Shaidatul Bakish Herman, 48, pula menyertai acara berkenaan semata-mata memastikan tubuh badan sentiasa sihat dan cergas.

Ujar wanita menetap di Seremban, Negeri Sembilan itu, acara berkenaan memberi peluang kepadanya untuk merehatkan minda selepas seminggu bekerja.

“Sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat minyak dan gas, saya banyak memerah otak dalam tugas harian.

“Acara seperti ini menjadi tempat terbaik untuk menghilangkan tekanan sambil bertemu rakan-rakan baharu,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Acara Funky Fit Fever 3.0 yang dianjurkan di hadapan Stadium MABA, Kuala Lumpur baru-baru ini menarik minat orang ramai terutamanya wanita yang mahu tampil sihat menerusi aktiviti tarikan.