Kunjungannya ke pusat konvensyen pada hari minggu itu adalah untuk bersama peserta lain bagi memeriahkan acara Get Active Festival 2018.

Jelas Nuriklima yang tinggal di Pelabuhan Klang, Selangor, dia sememangnya gemar menyertai acara yang berkaitan dengan kecergasan.

“Saya mengetahui tentang acara ini melalui laman sosial Facebook. Saya kemudiannya mendaftar untuk menyertai acara ini bersama tiga rakan yang lain.

“Bagi saya, acara ini sesuatu yang menarik untuk disertai kerana dianjurkan pada hujung minggu.

“Sekurang-kurangnya kami dapat menghabiskan masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Nuriklima menambah, pelbagai program diatur sepanjang acara itu dan ia ternyata memberi keseronokan kepada peserta.

Lebih 10,000 peminat sukan kecergasan yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia berkumpul untuk memeriahkan edisi sulung Get Active Festival 2018 bersama Watsons itu.

Promosi

Sebelum ini, Watsons menganjurkan aktiviti kecergasan secara tahunan dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan itu, Watsons mengambil keputusan untuk menganjurkan Get Active Festival 2018.

Pelbagai aktiviti kecergasan dan program sampingan lain diadakan pada program tersebut.

Pengarah Urusan Watsons Malaysia, Caryn Loh berkata, objektif utama penganjuran acara tersebut adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia melalui senaman fizikal yang mudah serta menyeronokkan.

“Festival ini merupakan salah satu inisiatif daripada kempen kesihatan Watsons untuk terus menyokong gaya hidup sihat dalam kehidupan harian.

“Oleh kerana mendapat sokongan yang baik daripada orang ramai, kami meneruskan program ini untuk tempoh masa yang lebih panjang dan dengan skala yang lebih besar pada kali ini,” katanya.

Tambahnya, kami menawarkan pengalaman yang lebih bermakna kepada orang ramai dengan mengadakan aktiviti sepanjang hari untuk tujuan kecergasan dan kesihatan yang boleh disertai semua lapisan usia.

Dalam pada itu, Caryn menjelaskan, penganjuran acara tersebut mendidik generasi muda terutamanya kanak-kanak tentang aktiviti kecergasan.

Mesra kanak-kanak

“Festival ini turut disertakan dengan aktiviti luar yang mesra kanak-kanak.

“Selain menjadikan aktiviti kecergasan sebagai satu keseronokan untuk keluarga, kami juga ingin menekankan bahawa pentingnya pendidikan dan amalan gaya hidup sihat diterapkan kepada generasi muda,” jelasnya.

Sementara itu, para peserta yang menyertai festival tersebut memulakan acara mereka bersama personaliti Yoga terkenal iaitu Atilia Haron.

Antara acara lain yang diadakan termasuklah tunggangan belon udara panas, mendaki dinding berbatu serta bengkel gaya hidup yang bertemakan kesihatan dan kecantikan.

Selain itu, festival tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti bazar. Selain makanan, pengunjung juga berpeluang mendapatkan produk-produk kecergasan dan kesihatan.

Festival tersebut diakhiri dengan tarian zumba secara beramai-ramai.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Khalijah Abdul Aziz, 26, menjelaskan, dia begitu teruja kerana dapat menyertai acara tersebut.

Tegasnya, menari zumba beramai-ramai dengan peserta-peserta lain ternyata memberi keseronokan.

“Saya berharap acara seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat membentuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.