Pusat beli-belah yang menjadi pilihan Haziq Ali Hisham adalah Galeri Publika, Dutamas, Kuala Lumpur kerana ia terletak berdekatan rumahnya di Jalan Duta.

Destinasi wajib pelajar tingkatan dua itu ketika berkunjung ke pusat beli-belah tersebut ialah kedai buku MPH yang terletak di aras dua.

Bagaimanapun, kunjungan Haziq Ali ke Galeri Publika baru-baru ini ternyata berbeza apabila mendapati buku-buku yang dijual MPH boleh didapati di ruang legar pusat beli-belah berkenaan.

Menariknya, buku yang dijual itu khusus untuk kanak-kanak dan remaja, sekali gus memudahkannya memilih naskhah yang bersesuaian.

“Banyak pilihan buku di sini berbanding di dalam kedai. Ia juga membantu saya mendapatkan komik kegemaran iaitu Lawak Kampus.

“Saya beli buku ini dengan harga lebih murah kerana pihak MPH menawarkan diskaun yang menarik,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Itu adalah sebahagian daripada pandangan positif Haziq Ali sewaktu berkunjung ke Festival Buku Kanak-Kanak (FBK) MPH.

Festival yang berlangsung selama 11 hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik khusus buat kanak-kanak.

Populariti

Menurut Haziq Ali, dia sangat teruja apabila dapat bertemu dan bergambar bersama salah satu watak dalam komik Lawak Kampus iaitu Froggy.

“Selain membeli komik, saya juga dapat berjumpa dengan Froggy. Kebetulan ketika saya ke sini, ia ada sesi bersama pengunjung,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Runcit MPH, Nurhadi Zakaria, 34, berkata, FBK merupakan acara julung-julung kali yang dianjurkan pihak mereka.

Jelasnya, festival itu dianjurkan seiring dengan populariti MPH dalam kalangan ibu bapa sebagai peruncit buku kanak-kanak terkemuka di negara ini.

“Ini kali pertama MPH menganjurkan festival buku khusus buat kanak-kanak. Biasanya, kami mengadakan pesta buku untuk semua peringkat umur.

“Pusat beli-belah Publika menjadi destinasi pertama FBK. Kami memilih lokasi ini kerana masyarakat di sini memiliki kuasa beli yang tinggi,” katanya.

Menurut Nurhadi, festival yang berlangsung di atas tapak seluas 1,254 meter persegi itu mempunyai sebanyak 1.2 juta buah buku.

Dia memberitahu, buku-buku yang diketengahkan dalam FBK merangkumi tiga kategori iaitu pembelajaran awal kanak-kanak, pertengahan dan remaja.

“Kebanyakan buku yang dijual di sini adalah keluaran luar negara dan berbahasa Inggeris.

“Ada buku yang dijual tidak terdapat di kedai-kedai MPH biasa. Antara buku yang laris ialah komik, buku cerita dan novel remaja,” jelasnya.

Menariknya, para pengunjung FBK berpeluang menikmati harga buku dengan potongan antara 10 hingga 50 peratus.

Selain buku, FBK turut mengetengahkan barangan berkaitan kanak-kanak antaranya, peralatan permainan, alat tulis dan beg sekolah.

Nurhadi menambah, pihaknya turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik berkaitan kanak-kanak sepanjang festival berlangsung.

Sumber ilmu

Tambahnya, aktiviti itu dianjurkan bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus memeriahkan suasana FBK.

“Antara aktiviti yang dianjurkan ialah pengucapan awam, pertandingan mewarna, kraf, silap mata, bercerita dan ceramah penjagaan kanak-kanak.

“Uniknya, semua aktiviti itu dikendalikan oleh pihak luar yang dijemput bagi memeriahkan festival ini antaranya Bookrangerz, Eduventor, Inky, Guide Exam.com serta Crayola,” terangnya.

Dianggarkan seramai 30,000 pengunjung memeriahkan FBK kali ini. Jumlah itu cukup memberangsangkan, sekali gus membolehkan pihak penganjur meluaskan festival tersebut ke Pulau Pinang dan Johor selepas ini.

Salah seorang pengunjung FBK yang juga tenaga pengajar Edventure Teachers Academy, Zahratul Wirdah Osman, 28, berpendapat, program ini dapat menggalakkan ibu bapa membeli buku.

Jelas wanita berasal dari Puchong, Selangor itu, kebanyakan ibu bapa di negara ini sering berkira-kira untuk membeli buku, sekali gus membantutkan perkembangan anak-anak mereka.

“Di sini, pengunjung boleh membeli buku pada harga diskaun. Jadi, lebih ramai ibu bapa dapat membeli buku buat anak-anak mereka.

“Saya yakin, buku masih kekal sebagai sumber ilmu utama buat kanak-kanak meskipun dengan kecanggihan teknologi pada masa kini,” jelasnya.

Zuhratul Wirdah menambah, ibu bapa boleh menggunakan buku sebagai medium pengganti buat kanak-kanak yang ketagihan bermain gajet ketika di dalam rumah.