Ilmu Rasm al-Quran dicipta bertujuan untuk memelihara wajah Qiraat yang ditulis daripada Rasm Uthmani tanpa titik dan harakat.

Ia mempunyai kaedah tertentu seperti hazaf, ithbat dan sebagainya. Kebanyakan tulisan tersebut berbeza dengan tulisan kiasi iaitu tulisan Arab, manakala ilmu Dabt tercipta bagi membezakan setiap huruf yang dinamakan huruf mu’jam dan muhmal, juga membezakan bunyi huruf melalui harakat, tasydid dan mad.

Perkara tersebut telah dibincang dalam kitab Dabt al-Quran Inovasi Rasam Uthmani yang telah diterbit oleh pustaka Khadim al-Mushaf Batu Caves Selangor, tulisan Ustaz Mohd. Rahim Jusoh.

Ramai dalam kalangan qari tidak mengetahui rukun al-Quran dan kepentingannya rukun tersebut. Rukun ini dicipta untuk menilai bacaan al-Quran seseorang sama ada sah atau tidak sebagai al-Quran atau bukan al-Quran (Qiraat Syaaz).

Pembaca boleh merujuk kitab Tajwid al-Huruf & mengenal Waqaf karangan Ustaz Mohd. Rahim Jusoh, penerbit pustaka Khadim al-Mushaf Batu Caves Selangor.

Dalil al-Quran secara jelas menuntut supaya al-Quran dibaca bertajwid seperti yang dinaskan dalam surah al-Muzzammil ayat 4 bermaksud: “Bacalah al-Quran secara tartil iaitu tajwid pada huruf dan mengenal waqaf.” Ayat ini menyatakan secara terang bahawa wajib membaca al-Quran bertajwid. Oleh itu tilawah yang tepat seperti bacaan Rasulullah SAW perlu dinilai dan diteliti supaya ia menjadi ibadah.

Dalil daripada hadis bahawa Rasulullah SAW memuji bacaan Ibn Mas’ud iaitu sabdanya: “Sesiapa yang ingin mendengar bacaan seperti wahyu diturunkan ialah bacaan Abdullah Bin Mas’ud.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Rukun tilawah al-Quran merupakan hasil kajian dan pengalaman penulis yang mengajar al-Quran serta soal selidik dalam masyarakat Islam Malaysia. Subjek terdiri daripada kumpulan imam, pelajar, qari dan beberapa peringkat guru al-Quran serta melalui seminar al-Quran & Qiraat yang dianjurkan oleh Persatuan Qiraat Malaysia (PQM) di peringkat kebangsaan bersama institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Teknologi Mara cawangan Raub Pahang.

Bacaan al-Quran adalah ibadah. Setiap ibadah perlu pada rukun atau syarat sah walaupun hanya dengan niat sahaja.

 

Niat

Ia boleh menjadi penentu bagi setiap amalan sama ada menjadi adat atau ibadat. Ini kerana setiap ibadah akan diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Hanya niat sahaja yang membezakan antara ibadat dan adat. Misalnya, mandi sunat dan mandi hanya menyucikan badan. Begitu juga amalan seperti bersugi, beriktikaf di masjid dan sebagainya perlu kepada niat.

Sehubungan itu, setiap individu muslim yang ingin membaca al-Quran perlu menepati tiga rukun tilawah, supaya bacaannya tepat seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW sekali gus diterima sebagai ibadah menurut ahli usul pada definisi al-Quran.

Rukun tilawah al-Quran terbahagi kepada tiga iaitu pertama bertalaqqi dan bermusyafahah. Kedua khatam dengan seorang guru (guru yang sama) dan ketiga menepati teori kaedah ilmu Qiraat.

Rukun pertama ialah cara penerimaan bacaan al-Quran seperti Rasulullah SAW bertalaqqi dengan Jibril. Perkara ini dinyatakan dalam surah an-Naml ayat 6 yang bermaksud: “Kamu wahai Muhammad telah bertalaqqi (menerima bacaan al-Quran) daripada Tuhan yang bijaksana dan mengetahui.”

Rukun kedua ialah bacaan diambil daripada guru yang mursyid tanpa terputus sanadnya. Amalan yang diamalkan oleh para qurra’ ini amat mementingkan bacaan tanpa putus sanad dari awal hingga khatam. Perkara ini diamalkan oleh Imam al-Jazari sendiri yang beliau menceritakannya dalam kitab Munjid al-Muqrein.

Rukun ketiga ialah bacaan tersebut perlu atau mesti menepati kaedah ilmu Qiraat, rukun ini adalah penilai pada dua rukun di atas. Jika seseorang itu telah bertalaqqi & bermusyafahah dan khatam dengan guru yang sama tetapi tidak menepati teori ilmu Qiraat, ia dikira tidak sah kerana dikhuatiri guru tersebut bukan ahli dalam ilmu Quran. Boleh jadi guru tersebut tidak mursyid atau beliau sendiri bertalaqqi tetapi tidak khatam dengan guru beliau atau bersambung khatam dengan beberapa orang guru lain dan sebagainya.

Justeru, ada kemungkinan banyak faktor yang boleh tercemar bacaan tersebut. Rukun yang ketiga tidak diperlukan sebelum pembukuan ilmu Qiraat iaitu sebelum zaman Ibn Mujahed, Imam ad-Dani dan Imam as-Syatibi kerana pada zaman tersebut manusia membaca al-Quran secara yakin kesahihannya. Inilah yang diceritakan oleh Imam al-Jazari dalam kitab an-Nasyr.

Ramai pembaca al-Quran pada hari ini mengaku bertalaqqi dan bermusyafahah serta mendakwa dirinya memiliki sanad yang hampir dengan Rasulullah SAW tetapi setelah dinilai pada rukun di atas, bacaannya tidak menepati kaedah ilmu Qiraat.

Jika ini berlaku yang pastinya ada perkara yang tidak betul ketika menerima dan bertalaqqi bacaan al-Quran.

Siapakah penilai yang layak diberi kepercayaan untuk menilai bacaan seseorang qari terutamanya imam solat yang menanggung bacaan makmum?

Jawapannya ialah ahli Quran iaitu lelaki yang bertaraf al-Muqri yang layak menilai bacaan al-Quran yang menepati tiga rukun di atas. Siapakah al-Muqri? Mereka ialah golongan yang mengetahui Qiraat 10 daripada Toriq al-Jazary. Semua gelaran ahli Quran disebut dalam kitab Tajwid al-Huruf & Mengenal Waqaf.

 

Syarat bertalaqqi

Ilmu Qiraat dan tilawah al-Quran yang betul memerlukan tiga ilmu asas iaitu Rasm Uthmani, Dabt al-Quran dan al-Fawasil. Ilmu-ilmu tersebut bertujuan memelihara bacaan huruf saba’ah atau Qiraat 10 terutamanya ketika waqaf, ibtida’ dan wasal. Kemanisan ilmu ini akan dikecapi ketika proses bertalaqqi dengan guru yang bergelar al-Muqri.Perkara yang perlu diambil kira dalam tilawah al-Quran atau ketika bertalaqqi adalah seperti berikut:

* Mengambil bacaan dengan guru yang betul-betul ahli Quran

* Keadaan talaqqi adalah syadid.

* Tiada ruang untuk memudahkan bacaan dan khatam

* Tiada bentuk perniagaan

Bukan khatam hanya dengan mengikut bacaan guru semata-mata dalam keadaan diri sendiri tidak mampu membacanya

Masa yang diambil ketika bertalaqqi dan khatam dengan guru adalah tempoh yang boleh diterima akal dan bukan dalam masa yang singkat

Ramai dalam kalangan masyarakat kita mengambil mudah dalam pembelajaran al-Quran. Rata-rata hanya mahu khatam dan mendapat sanad semata-mata tanpa mengambil kira apa yang mereka dapat daripada pengajian tersebut. Hal ini amat dikesali.

Perkara ibadah tidak boleh diambil mudah kerana ia diturunkan dari langit disampaikan melalui Rasulullah SAW.

Bagi mendapatkannya, wahyu Allah SWT itu mesti melalui jalan yang betul seperti yang diajar oleh Nabi SAW.

Penulis ialah Pensyarah al-Quran dan Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.