Ia melibatkan 27 helikopter, 11 pesawat angkut, 17 pesawat pejuang selain 16 pesawat Pilatus PC-7 Mk II yang memukau khalayak dengan aksi penerbangan membentuk formasi angka 61.

Seramai 32 juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjayakan pembentukan formasi tersebut. Empat daripada mereka merupakan juruterbang wanita yang cukup berpengalaman.

Persembahan itu dilakukan dalam tempoh 20 saat melibatkan jarak sejauh 1.6 kilometer dengan kelajuan 180 knot seterusnya membentuk angka 61 itu tepat pukul 9.18 pagi.

Seorang daripada krew pasukan Pilatus PC-7 Mk II, Mejar Mardiana Razali, 37, bercerita, beliau mendapat tahu terlibat dalam persembahan tersebut, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.

“Disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu kami mengambil masa selama empat hari untuk membiasakan diri dengan peranan masing-masing,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Pangkalan Udara TUDM Subang baru-baru ini.

Anak kelahiran Kampung Batu Kikir, Negeri Sembilan itu bercerita, beliau memohon menyertai TUDM pada tahun 1999 usai menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Teknik Port Dickson.

Pengalaman

Selepas lulus sesi temu duga beliau ditawarkan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik) di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar, Kedah selama tiga tahun dan kemudiannya mengikuti latihan sebagai juruterbang di Institut Penerbangan 1 KTU, Alor Setar.

Selepas menerima tauliah pada tahun 2005, beliau diserap ke bahagian pesawat pengangkut sebelum menjalani kursus Multi Engine Conversion Unit (MECU). Selepas tamat, beliau pernah ditugaskan di No. 14 Skuadron Pangkalan Udara Labuan dan mengendalikan pesawat C130 Hercules selama tujuh tahun.

“Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika itu ialah ketika mengikuti misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 selama sebulan pada tahun 2014. Ketika itu saya terpaksa terbang dalam liputan awan tebal dan langsung tidak nampak keadaan di bawah selama dua jam.

“Alhamdulillah urusan saya dipermudah dan dapat kembali ke Pangkalan Udara Pearce, Perth, Australia dari kawasan pencarian di Lautan Hindi meliputi jarak 1,000 batu nautika,” imbaunya.

Pernah beliau membuat keputusan membuang minyak sebanyak 6.35 tan selepas satu daripada tiga enjin pesawat yang dikendalikan bermasalah untuk meringankan beban pesawat pada Ops Murni sewaktu banjir besar melanda Kelantan pada 2014.

Pernah juga ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak tidur selama 24 jam ketika menyertai misi kemanusiaan di Tacloban, Filipina yang dibadai Taufan Haiyan pada tahun 2013.

“Bagi perjalanan jauh, kami biasanya dibekalkan dua set krew iaitu apabila satu set bertugas, satu lagi akan berehat dengan waktu bertugas maksimum 12 jam. Cuma ketika itu saya tidak dapat melelapkan mata kerana berehat di dalam pesawat tidak sama di rumah.

“Ketika itu saya dan pasukan berulang-alik membawa barang seperti makanan dan ubat-ubatan melibatkan muatan 9.1 tan. Kami turut merancang apa barang yang ingin dibawa serta berapa banyak yang perlu dimuatkan di dalam pesawat,” jelasnya.

Dalam kesibukan melakukan rutin seharian, hampir setiap hari beliau akan melakukan panggilan video untuk menghubungi anak-anaknya yang berusia antara lima hingga 10 tahun.

“Walaupun jauh di mata, saya sentiasa mengikuti perkembangan harian mereka dan cuba meluangkan masa untuk ke sekolah menghadiri majlis penyampaian anugerah atau mengambil laporan tahunan pencapaian mereka,” tuturnya.

Bagi Mejar Farah Diba Ahmad Rostam, 38, minatnya dalam bidang tersebut timbul berikutan hasrat ayahnya, Ahmad Rostam Mohd. Ibrahim, 60, yang merupakan bekas penuntut Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur ingin melihatnya menjadi juruterbang TUDM.

“Saya mula menyertai TUDM sebagai seorang kadet pada tahun 1998. Kini saya bertugas sebagai jurulatih penerbangan di Institut Penerbangan 1, Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah.

“Tanggungjawab yang digalas adalah berat kerana pelatih tidak mempunyai asas penerbangan. Dalam hal ini mereka diajar melaksanakan dan menguruskan pelbagai operasi penerbangan. Ini adalah persediaan kepada pelatih sebelum mereka layak digelar seorang juruterbang TUDM dalam tempoh yang telah ditetapkan” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata berusia lapan dan 10 tahun itu akan pulang ke Shah Alam, Selangor untuk meluangkan masa bersama keluarga pada setiap hujung minggu.

Menurutnya, tugas sebagai tenaga pengajar membolehkannya meluangkan lebih masa bersama keluarga berbanding ketika menjadi juruterbang operasi kerana jadual penerbangan tidak menentu.

Pengawasan maritim

“Sebelum menjadi jurulatih, saya pernah mengendalikan pesawat yang ditugaskan membawa golongan kenamaan ke sesuatu destinasi. Selain itu, saya juga pernah menerbangkan pelbagai jenis pesawat antaranya Aerotiga MD-3, Pilatus PC-7, CN 235, Fokker 28 (FK 28) dan Falcon 900 (DA-90).

Lain pula kisahnya dengan Mejar Siti Suraida Mazlan, 35, yang berpengalaman mengendalikan pesawat jenis Beechcraft B200T untuk pengawasan maritim sejak 2013.

Anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu berkata, penugasannya di pasukan No. 16 Skuadron yang berpangkalan di Subang turut meronda sehingga ke Laut China Selatan meliputi perairan di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung.

Ia antaranya bertujuan memantau dan melapor aktiviti di kawasan pelantar minyak serta zon menangkap ikan, kegiatan lanun, bot pukat tunda, mengawasi kemasukan pendatang tanpa izin dan pencemaran laut.

“Kami ibarat polis di lautan. Biasanya, kami terbang hanya pada ketinggian 152.4 meter dari permukaan laut dan berlegar rendah di udara untuk melakukan pemantauan. Biasanya kehadiran pesawat peronda digeruni.

“Jika terdapat kapal mencurigakan kami akan cuba berhubung dengan mereka melalui frekuensi komunikasi maritim khas dan menyerahkan laporan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kepada Mejar Nittakorn Chamrat, 35, sambutan Hari Kebangsaan kali ini amat istimewa buatnya kerana berpeluang berada dalam kumpulan penerbangan yang sama dengan suaminya Mejar Ryan MackeithStevenson, 35, untuk menjayakan pertunjukan lintas udara itu baru-baru ini.

“Kami memandu pesawat berbeza. Ia merupakan pengalaman sulung saya manakala suami pula kali ketiga. Ia merupakan detik bersejarah buat kami yang turut disaksikan anak tunggal dan ahli keluarga lain sepanjang acara berlangsung,” tuturnya sambil tersenyum.

Mardiana, Farah Diba, Siti Suraida dan Nittakorn berkongsi pengalaman berkhidmat sebagai juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia termasuk terlibat dalam pertunjukan udara sempena Hari Kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini.