Kehadiran wanita berkenaan bersama tiga anaknya itu disambut mesra oleh barisan doktor pakar dalam bidang penjagaan dan rawatan gigi kanak-kanak.

Bagaimanapun, pada hari tersebut, dia tidak berhasrat untuk mendapatkan rawatan pergigian sebaliknya menghadiri program Hari Terbuka Dental Valet.

Program selama empat jam itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penjagaan gigi terutamanya untuk kanak-kanak menerusi aktiviti yang dianjurkan.

“Saya sangat teruja berpeluang menyertai program seperti ini buat pertama kali. Niat saya datang hari ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai rawatan gigi kanak-kanak daripada doktor.

“Pada masa sama, saya ingin mengetahui kaedah-kaedah yang boleh diambil bagi mencegah kerosakan gigi kanak-kanak,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Wanita berasal dari Kajang, Selangor itu menambah, program berkenaan juga memberi peluang anak-anaknya melihat dengan lebih dekat persekitaran bilik rawatan gigi kanak-kanak.

Intan Syakira memaklumkan, langkah tersebut diharap dapat mengurangkan rasa takut anak-anaknya setiap kali ingin mendapatkan rawatan pergigian.

“Saya ingin biasakan anak-anak dengan persekitaran klinik pergigian. Jadi, apabila ingin mendapatkan rawatan mereka tidak takut seperti saya dulu,” ujarnya.

Dianggarkan lebih 200 orang terdiri daripada warga sekitar Bandar Baru Bangi, Putrajaya, Kajang dan Kuala Lumpur menghadiri Hari Terbuka Dental Valet.

Pakar Perunding Pergigian Kanak-Kanak, Dr. Nazatul Sabariah Ahmad berkata, program Hari Terbuka Dental Valet diadakan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penjagaan gigi kanak-kanak dengan betul.

Jelasnya, masih ramai ibu bapa di negara ini tidak mengambil kisah tentang penjagaan gigi anak-anak mereka.

“Kami sedar masih ramai ibu bapa tidak tahu cara yang betul untuk menjaga gigi anak-anak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun.

“Golongan kanak-kanak sangat berisiko mengalami masalah gigi terutamanya mereka yang sering makan makanan manis,” ujarnya.

Santai

Menurut Nazatul Sabariah, salah satu program yang dianjurkan pada program julung-julung kali itu ialah Oral Health Talk iaitu ceramah tentang penjagaan gigi kanak-kanak.

Dia memberitahu, semasa aktiviti berkenaan, para pengunjung didedahkan dengan pelbagai masalah gigi yang sering timbul dalam kalangan kanak-kanak.

Tambahnya, pengunjung juga diajarkan mengenai cara penjagaan gigi yang betul bagi memastikan gigi kanak-kanak tidak mudah rosak.

“Aktiviti ini diadakan secara santai dan pengunjung boleh bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan permasalahan gigi yang dialami oleh anak-anak mereka,” jelasnya.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik buat seisi keluarga seperti melukis muka, seni pasir serta cabutan bertuah.

Ujar Nazatul Sabariah, aktiviti lain yang dianjurkan termasuklah sesi lawatan ke bilik rawatan pergigian kanak-kanak di Klinik Dental Valet.

Katanya, lawatan tersebut diharap dapat membantu mengurangkan rasa fobia kepada kanak-kanak setiap kali menerima rawatan pergigian.

“Hari ini kami ingin menunjukkan kepada pelawat mengenai pendekatan yang diambil oleh klinik ini dalam mewujudkan suasana kondusif buat kanak-kanak.

“Salah satu yang menarik, kami menggunakan kerusi rawatan berbentuk seperti watak dinosaur dalam cerita animasi selain menyediakan ruang aktiviti buat kanak-kanak,” ujarnya.

Salah seorang pengunjung, Faiz Rizhan, 31, berkata, program Hari Terbuka Dental Valet sangat menarik dan bermanfaat.

Lelaki menetap di Bangi itu memaklumkan, sebagai golongan yang baru bergelar bapa, dia perlu mendalami banyak ilmu berkaitan penjagaan gigi kanak-kanak.

“Pada pendapat saya, program sebegini sangat berfaedah kerana masih ramai orang yang tidak mempunyai maklumat mengenai penjagaan gigi kanak-kanak dengan betul.

“Saya berharap program ini dapat diadakan dengan lebih kerap pada masa depan kerana masyarakat sudah semakin sedar akan pentingnya menjaga gigi sejak kecil,” jelasnya.