Ibu kepada empat cahaya mata itu datang dariTanjung Malim, Perak dengan menaiki perkhidmatan KTM Komuter sambil ditemani dua puterinya, Nurfaridah Mohd. Sazili, 19, dan Nurfazana 7, yang mengambil masa kira-kira sejam.

Sejak tahun 2012, dia yang menjadi pengunjung setia HKK menyifatkan pameran tersebut sebagai lubuk produk kraf unik yang tidak mudah ditemui melainkan seseorang itu pergi sendiri ke tempat asal ia dihasilkan.

“Melawat pameran seperti ini ibarat berkunjung ke serata Malaysia. Maklumlah ia menghimpunkan hasil kraf tangan daripada negeri yang jauh seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

“Jika kita ke sana sekalipun, belum tentu kita akan dapat menjumpai barang yang dianggap paling berkualiti dengan rekaan terbaharu di bawah satu bumbung,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Seorang pengunjung daripada Jepun yang hanya mahu dikenali sebagai Yamazaki, 71, melahirkan rasa minat mendalam terhadap produk berasaskan anyaman seperti tikar dan beg.

Nilai estetika

Baginya, hasil kerja tangan yang halus dan teliti tanpa menggunakan mesin canggih itu mempunyai nilai estetika yang tinggi. Ini kerana tidak ramai orang boleh melakukannya.

Pesara yang menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua itu berpendapat, orang ramai juga boleh menyelami cabaran pembuatan sesuatu produk dengan berinteraksi secara langsung bersama pembuat barangan tersebut.

Sementara itu, seorang peserta, Umar Tumik, 62, berkata, dia berbangga dapat mengetengahkan seni warisan pembuatan gendang Sarawak yang telah dipeloporinya selama lebih dua dekad lalu.

“Gendang Sarawak ini diperbuat daripada kayu berlian tetapi kayu balak jenis itu sudah semakin mahal dan susah didapati. Bahagian mukanya pula menggunakan kulit kambing.

“Instrumen ini biasanya dimainkan pada majlis keraian seperti kenduri perkahwinan, persembahan hadrah dan jemputan penyeri pentas.

“Dari aspek pembuatan, saya sedia mengajar anak-anak muda tetapi susah nak cari orang yang betul-betul minat nak belajar,” tutur anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Fazlin Mohamad Zaki menjelaskan, HKK mengetengahkan seramai 500 usahawan yang menjadikan pameran itu sebagai platform jualan kraf tempatan terbesar di Malaysia.

Pengiktirafan

Produk yang ditampilkan terbahagi kepada lima bidang iaitu tekstil, hasil rimba, tanah, logam meliputi penghasilan aksesori, hiasan, fesyen, landskap dan cenderamata.

“HKK edisi ke-16 kali ini berlangsung dari 22 Mac hingga 1 April dengan tema Ekspresi Kraf Negaraku yang bertujuan menerapkan semangat mencintai produk kraf tanah air.

“Program ini turut diadakan bagi memberi pengiktirafan terhadap penglibatan dan sumbangan penggiat kraf dalam membangun serta memajukan industri kraf negara,” ujarnya.