Ketika itu ‘rakan-rakan pelanduknya’ yang lain kelihatan leka mencari makanan sambil bermain sesama sendiri. Ada ketikanya mereka melompat dan menari girang seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

Perlahan-lahan Lily Maryam mengatur langkah mengikut rakannya yang lain namun masih dalam keadaan bersiap siaga. Telahannya tepat apabila secara tiba-tiba sebelah kakinya terjerut tali yang dipasang pemburu.

Dia meronta cemas. Kawan-kawannya hanya mampu mengelilinginya tanpa berbuat apa-apa. Nafasnya yang pada peringkat awal berombak kencang kian lemah bagai menanti saat nyawa berpisah dari badan.

Namun, seekor anak harimau yang muncul entah dari mana mengubah plot insiden cemas tersebut. Ia pada mulanya tampak teragak-agak dan keliru namun akhirnya membantu pelanduk itu meloloskan diri.

Demikian antara babak pembukaan dramatari Roar! yang dipentaskan seramai 50 kanak-kanak serta remaja berusia semuda empat tahun di Teater KuAsh, Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir mencemar duli, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“Saya sebenarnya memegang watak sebagai ketua pelanduk. Sebagai ketua saya cuba memberi amaran kepada kawanan pelanduk yang lain kerana merasakan ada sesuatu yang buruk akan terjadi. Akhirnya ketua itu sendiri yang terkena perangkap.

“Dalam hal ini, lenggok tarian memberi tumpuan kepada pergerakan tangan, kaki dan kepala yang meniru tingkah laku pelanduk. Elemen tangkas sedikit sebanyak memberi gambaran karakter haiwan berkenaan.

“Kami mengambil masa tiga bulan berlatih untuk membiasakan diri dengan rutin tarian ini,” ujar murid Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail itu ketika ditemui Kosmo! selepas persembahan tersebut.

Tujuh segmen

Sementara itu, Shaista Ayesha Muhd. Zairul Adzuar, 11, yang memegang dua watak iaitu burung argus dan monyet meluahkan rasa

teruja terlibat dalam produksi persembahan berskala besar sebegitu.

“Saya gembira kerana mendapat ramai kawan baru dari sekolah berbeza. Kami turut bertukar-tukar biodata untuk lebih mengenali antara satu sama lain,” tutur penuntut Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) itu.

Pengarah Eksekutif Tunas Tari, Fazlin Abu Hassan Shaari berkata, Roar! mengisahkan kehidupan warga rimba di Hutan Belum-Temengor, Perak.

Ketenteraman kehidupan haiwan liar berkenaan terancam dengan kehadiran pemburu.

“Dramatari ini terbahagi kepada tujuh segmen termasuk 13 unsur tarian tradisional yang diberi nafas baharu dalam persembahan selama sejam.

“Ia turut memaparkan kehidupan seekor anak harimau bernama Jad yang kematian ibu bapa akibat dibunuh oleh manusia.

“Disebabkan trauma atas kehilangan tersebut, anak harimau itu tidak berani untuk mengaum dan hidup terasing daripada haiwan-haiwan lain.

“Begitupun, haiwan-haiwan rimba kemudian bersahabat dengan harimau itu dan bersatu hati melawan pemburu yang kejam,” jelasnya.