Berdasarkan pengalamannya, kebanyakan ibu bapa khuatir mengenai tumbesaran dan kesihatan bayi.

Justeru, ibu kepada tiga cahaya mata itu sentiasa memberi dorongan dan memainkan peranan sebagai kaunselor bagi membantu mereka merungkai kebimbangan yang dihadapi.

Ironinya, beliau terkejut apabila anak lelaki sulungnya, Gabriel menghadapi masalah bayi dilahirkan kecil daripada usia kandungan (SGA) sewaktu trimester kehamilan.

“Jika difikirkan kembali, saya menjalani rawatan pranatal dengan kemudahan terbaik sedia ada. Saya juga mengamalkan pemakanan yang sihat dan memastikan kenaikan berat badan terkawal. Berat Gabriel hanya dua kilogram setelah dilahirkan.

“Doktor menasihatkan kami memantau pemakanan dan berat badannya. Saya yakin boleh mengatasinya kerana faham SGA adalah masalah kesihatan yang boleh dirawat,” ujarnya pada kempen Bukan Sekadar Ketinggian Tapi Juga Kesihatan anjuran Novo Nordisk Pharma (M) Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir pada kempen itu ialah Pengarah Akses Pasaran dan Hal Ehwal Awam, Nordisk Pharma Operations (Baos) Sdn. Bhd., Henrik Bendix serta Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia, Singapura, Brunei dan Sri Lanka, Richard Abela.

Gangguan hormon

Tahun demi tahun, Mun Cheng kerap mengukur tumbesaran Gabriel di samping memantau pemakanannya.

Walaupun sedaya upaya dibantu, Gabriel masih merupakan murid paling rendah di dalam kelasnya sehingga berusia 10 tahun.

Setelah itu, beliau berunding dengan ahli endokrinologi pediatrik yang mencadangkan diet tinggi kalori dan rawatan hormon tumbesaran untuk anaknya. Ia bukan satu keputusan mudah dan mengambil masa untuk dibincangkan.

Seorang lagi ibu, Jeyamany Palanivel bercerita, anak perempuan keduanya, Darshana, 14, yang didiagnosis menghidap masalah gangguan hormon tumbesaran (GHD) melakukan beberapa ujian darah sebelum melalui rawatan hormon selama lima tahun yang perlu disuntik setiap hari.

“Ketika berusia 11 tahun, pakar pediatrik memberitahu dia (Darshana) berada di luar julat tumbesaran normal. Sejak itu, saya dan suami berusaha menangani masalah tersebut. Kini, ketinggiannya mencapai 150sentimeter dengan ketinggian akhirnya dijangka mencapai 155sm,” tuturnya.

Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Pakar Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Muhammad Yazid Jalaludin berkata, tumbesaran seorang kanak-kanak tidak boleh dinilai menerusi penampilan luaran semata-mata.

Tambahnya, tumbesaran adalah penanda aras yang utama kepada seseorang kanak-kanak dari aspek kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Justeru, ibu bapa serta pakar perlulah mengukur dan merekodkan dengan tepat tentang perkembangan ketinggian anak-anak dalam laporan tumbesaran. Ia perlu dilakukan dengan teliti untuk memudahkan pengesanan awal masalah tumbesaran.

“Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak menjadi rendah. Misalnya, genetik, penyakit, ubat-ubatan, pemakanan, hormon dan persekitaran psikososial.

“Tumbesaran perlahan pada kanak-kanak biasanya jelas kelihatan antara usia dua hingga lima tahun,” ujarnya.

Selepas berusia lima tahun, seorang kanak-kanak lazimnya membesar kurang daripada 5sm setahun atau kadar tumbesaran menurun sebanyak dua peratus atau lebih jika dilihat daripada carta tumbesaran mereka.

Katanya, kebiasaannya ibu bapa sering mengamalkan sikap tunggu dan lihat serta beranggapan anak-anak mereka tidak mencapai paras ketinggian normal adalah disebabkan faktor keturunan, genetik atau mengandaikan anak-anak akan mencapai ketinggian normal suatu hari nanti.

Pandangan pakar

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua Jabatan Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya menggalakkan ibu bapa meminta pandangan daripada pakar pediatrik supaya mereka dapat mengesan masalah tersebut pada peringkat awal.

Jika kanak-kanak disyaki menghadapi masalah hormon, maka anak itu harus dirujuk kepada pakar endokrinologi pediatrik.

Menurutnya, ujian darah yang dilakukan bertujuan menentukan garis dasar dan ujian rangsangan boleh dilakukan untuk menilai jika tumbesarannya perlahan disebabkan oleh kekurangan hormon tumbesaran.

Hormon pertumbuhan ialah sejenis protein yang dihasilkan pituitari yang merupakan kelenjar kecil terletak di bawah otak di tengah kepala di belakang hidung.

Ia merangsang tumbesaran ketinggian kanak-kanak dan remaja serta membantu tumbesaran tubuh seperti penjagaan otot dan jisim tulang, penurunan tisu lemak, di samping mempengaruhi tahap lipid darah seperti kolesterol dan trigliserida (sejenis lemak).

Selain daripada GHD dan SGA yang dikenal pasti dengan ketinggian tidak normal, sindrom Turner turut boleh menyebabkan kanak-kanak tidak cukup tinggi.

Ia merupakan keadaan kromosom yang mempengaruhi perkembangan wanita dengan ciri ketara ialah kurang ketinggian.

Beliau turut mengingatkan, rawatan terbaik ialah sebelum seorang kanak-kanak itu mencapai peringkat akil baligh.

Katanya, bagi kanak-kanak perempuan pada tahap buah dada mula berkembang, mereka hanya tinggal tiga hingga lima sentimeter untuk membesar.

“Jangan tunggu sampai usia 12 tahun kerana seawal usia lebih baik untuk memulakan rawatan. Biasanya kami nasihatkan umur 5 hingga 7 tahun kerana pada usia itu, ibu bapa akan nampak anak mereka rendah jika dibandingkan dengan rakan sebaya.

“Kanak-kanak yang gemuk dan rendah lebih dibimbangi menghadapi masalah hormon berbanding mereka yang kurus dan rendah mungkin boleh dibawa jumpa pakar nutrisi dahulu untuk melihat situasi awal.

“Namun, harus diingat bukan semua kes kanak-kanak rendah boleh sewenang-wenangnya disimpulkan menghadapi dengan masalah hormon,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan pengambilan suplemen dan faktor tumbesaran daripada buah-buahan yang dijual dalam pasaran boleh menambah ketinggian, beliau berpendapat, keberkesanan produk sedemikian tidak dibuktikan secara saintifik.

“Kanak-kanak juga perlu melakukan aktiviti fizikal setiap hari sekitar 15 hingga 30 minit. Apa sahaja aktiviti pun boleh seperti berlari, berenang atau berbasikal asalkan berpeluh. Ia menggalakkan pengeluaran enzim endorfin yang penting untuk pembesaran.

“Selain itu, mereka perlu mendapatkan tidur yang cukup dan mengamalkan diet seimbang dengan keperluan tubuh,” katanya.