Sebelum berangkat pulang ke ibu negara, Nurhafizah Tan bersama tujuh lagi wakil media singgah seketika di Kampung Bukit Debu, Kuala Terengganu.

Persinggahan tersebut bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat bengkel tenunan kain songket Terengganu yang diusahakan oleh Zainab Mamat.

Sebaik melangkah masuk ke bilik tenun berkeluasan 50 meter persegi yang lengkap berpendingin hawa itu kelihatan kelibat beberapa wanita sedang asyik menenun.

Menariknya, wanita-wanita itu menenun secara tradisional dengan menggunakan kek tenun yang diperbuat daripada kayu dan buluh.

“Saya sangat teruja kerana dapat melihat sendiri proses tenunan songket secara tradisional.

“Ini adalah kali pertama saya melihatnya. Sebelum ini, saya hanya dapat tengok dalam televisyen,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Terengganu terkenal dengan hasil tenunan songket yang berkualiti tinggi di negara ini serta dunia.

Kain songket adalah hasil tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama benang emas atau benang perak.

Selain menenun, bengkel tersebut turut menempatkan pekerja yang melakukan tugas mencelup, melerai, menganeng, menyapuk dan menggulung benang.

Nurhafizah yang juga wartawan Bernama berkata, lawatan tersebut membolehkannya mengetahui serba sedikit proses pembuatan songket.

Jelasnya, proses pembuatan songket sangat rumit, maka tidak hairanlah harga songket dalam pasaran sangat tinggi.

Anak jati Taiping, Perak itu juga berkesempatan mendalami cara mengesan songket tiruan yang dibuat di luar negara.

“Rupa-rupanya terdapat banyak perbezaan antara songket tempatan dan luar negara. Walaupun motif yang digunakan sama, namun kualiti kainnya berbeza,” jelasnya.

Motif songket

Menurut sejarah, kain songket dipakai oleh golongan bangsawan seperti kerabat diraja dan orang besar negeri.

Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar.

Zainab yang berusia 76 tahun berkata, dia mengusahakan perusahaan Songket Terengganu sejak empat dekad lalu.

Katanya, dia memilih untuk membuka bengkel tersebut selepas melihat potensi besar yang ada pada songket.

“Sebelum ini, saya menenun songket untuk orang. Selepas modal yang disimpan mencukupi, saya mengambil keputusan membuka bengkel ini.

“Ternyata, ia satu langkah yang tepat kerana perniagaan ini semakin berkembang dari masa ke masa,” katanya.

Kini, Zainab dapat menggaji tujuh orang pekerja tetap di bengkel dan sedosen pekerja sambilan di sekitar rumahnya.

Malah, songket keluaran bengkelnya turut mendapat permintaan daripada para pemimpin besar negara.

Wanita yang memiliki enam cahaya mata itu memaklumkan, pembuatan songket memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Jelasnya, kedua-dua sifat tersebut sangat penting dalam menghasilkan tenunan songket yang halus dan bermutu tinggi.

“Bagi menyiapkan songket sepanjang empat meter ini, biasanya kami mengambil masa lebih dua bulan. Ia bergantung kepada motif yang dibuat.

“Jadi, tidak hairanlah sekiranya harga songket Terengganu ini mampu mencecah puluhan ribu ringgit sehelai,” katanya.

Tambahnya, songket paling mahal yang pernah dijual olehnya adalah berharga RM22,000.

Menurut Zainab, motif dan reka corak songket keluarannya kebanyakan diilhamkan oleh unsur alam semula jadi seperti bunga-bungaan dan kerawang.

Salah seorang pekerja sambilan di bengkel Zainab, Faezah Zakaria, 26, berkata, dia memilih pekerjaan sebagai penenun songket kerana minat.

Jelasnya, walaupun pekerjaan tersebut kurang popular dalam kalangan masyarakat, namun hasilnya cukup lumayan.

“Saya mendapat asas menenun songket di sebuah institusi pengajian awam. Daripada situ, minat saya terhadap tenunan songket meningkat.

“Jadi, saya mengambil peluang untuk bekerja di sini sambil mendalami teknik penghasilan songket daripada Zainab,” ujar wanita yang masih belum berumah tangga itu.