Wanita berusia 39 tahun itu mengimpikan untuk bersua muka dengan penggemar dan pembiak kucing.

Impian itu tercapai dia berkunjung ke program Pets Lover Fiesta (PLF) 2018.

Program yang berlangsung di Kompleks Kraftangan Malaysia, Kuala Lumpur itu mengumpulkan lebih 100 ekor kucing daripada pelbagai spesies.

“Sudah lama saya berhajat untuk datang ke program seperti ini tetapi tidak berkesempatan.

“Alhamdulillah, akhirnya impian itu menjadi kenyataan. Saya sangat teruja melihat kucing-kucing yang cantik ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

PLC 2018 dianjurkan oleh Karirush Cats dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia serta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Suryati yang berasal dari Rawang, Selangor memaklumkan, dia ingin bertemu penggemar dan pembiak kucing bagi mendalami teknik penjagaan si comel yang betul.

Jelasnya, sebagai seorang pemeliharaan kucing, dia sentiasa berusaha untuk menambah pengetahuan terutamanya berkaitan kebersihan.

“Saya mula membela kucing sejak dua tahun lalu. Ia selepas seekor anak kucing datang dan meminta makan di rumah saya.

“Kucing saya ini berbulu panjang, jadi bulunya sering gugur dan kusut. Bagi mengatasi masalah ini, saya perlu bertanya kepada mereka yang berpengalaman,” jelas wanita yang bekerja sebagai kerani itu.

Tambahnya, para penggemar dan pembiak kucing di lokasi itu tidak lokek berkongsi ilmu selain melayan setiap pertanyaan yang diajukan.

Selain kucing, program itu turut menghimpunkan penggemar arnab, burung, ikan laga, hamster, guinea pigs, tikus belanda, ayam katik dan burung merpati.

Dunia fantasi

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, PLF dianjurkan bagi memberi pengetahuan kepada masyarakat berkaitan haiwan peliharaan.

Jelasnya, pada masa sama, ia juga diharap dapat memupuk rasa tanggungjawab manusia kepada haiwan.

“Acara yang julung-julung kali diadakan ini menghimpunkan lebih 500 haiwan peliharaan dengan menjadikan suasana lokasi seperti dunia fantasi haiwan.

“Acara ini berkonsepkan mesra keluar selain dipenuhi dengan pelbagai aktiviti serta pameran menarik,” katanya.

Pelbagai acara diaturkan sepanjang sembilan hari pesta itu berlangsung. Antaranya, pameran dan pertandingan kucing, pertunjukan fesyen kucing, pertunjukan busana batik bermotifkan kucing, pameran, jualan kraf, zoo mini serta petting zoo.

Menurut Khalid, sebuah taman bebas dalaman yang indah seperti satu penempatan khas dunia haiwan turut dibina di tapak pesta.

Taman bebas dalaman itu dipenuhi dengan pelbagai keseronokan kepada kucing seperti kolam mandi, laman air pancut, taman permainan, klinik dan kedai jualan serbaneka haiwan.

“Selain melihat gelagat haiwan, para pengunjung juga dapat melawat sebuah galeri khas yang mempamerkan koleksi lebih 5,000 artifak kucing.

“Sebagai nilai tambah kepada kanak-kanak, satu persembahan Cats The Musical diadakan di panggung mini.

“Persembahan berkonsepkan muzikal dan pemakaian kostum kucing oleh kanak-kanak ini berlangsung selama 45 minit,” ulasnya.

PLF turut diserikan dengan Pertandingan Kucing Antarabangsa, Pertandingan Arnab Antarabangsa, Pertandingan Cavy Antarabangsa serta Pertandingan Haiwan kesayangan.

Sentiasa aktif

Pertandingan kucing dikelaskan kepada beberapa kategori, antaranya Maine Coon, Siberia, Norwegian Forest, American Curl, Turkish Angora, Bengal, British Short Hair dan British Long Hair.

Salah seorang peserta pertandingan, Md. Zakibullah Nakibullah, 42, memberitahu, PLF menjadi platform untuk mengetengahkan kucing peliharaannya.

Lelaki berasal dari ibu negara itu menambah, pada pertandingan tahun ini, dia mempertaruhkan tiga ekor kucing baka Maine Coon iaitu Avana, Christela dan Zikhafri Sabretooth.

“Saya memelihara lebih 50 ekor kucing dan sentiasa aktif memasuki pertandingan sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Pada pertandingan kali ini, saya tidak terlalu mengharapkan kemenangan kerana ia lebih kepada pertunjukan,” katanya memiliki sebuah kedai haiwan.

Md. Zakibullah berkata, PLF juga membantu mengeratkan silaturahim antara ahli Kelab Kucing Malaysia sambil berkongsi pengalaman masing-masing.