Idzina berkata, seramai 15 orang ahli Perwakilan dijemput menyertai kelas itu bersama-sama dengan ahli persatuan Pasangan Ketua Misi Diplomatik ke Malaysia (SOHOM) anjuran Majlis Makanan Laut Norway (NSC) bersama Kedutaan Norway di Kolej Universiti KDU, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Katanya, ia merupakan satu pengalaman baharu memasak ikan itu dengan menu tradisional, selain memperkenalkan resipi dan rempah tempatan kepada orang luar.

“Menerusi program seperti ini, ahli-ahli SOHOM dapat belajar mengenai budaya baharu, masakan tempatan dan berkenalan dengan ahli Perwakilan.

“Kami dapat mengeratkan lagi silaturahim antara Perwakilan dan SOHOM,” katanya ketika ditemui Pesona baru-baru ini.

Selain itu, tambahnya, mereka juga dapat belajar mengenai produk negara luar.

Kaya nutrisi

“Pada awalnya, kita ingat ikan salmon dan trout ini tidak boleh dipotong kecil seperti kebiasaan makanan tempatan, namun kita dapati ikan itu boleh dimasak seperti cara tradisional Melayu.

“Mungkin kita (rakyat Malaysia) boleh mencubanya,” katanya.

Kelas itu turut disertai 20 ahli SOHOM.

Ikan salmon dan ikan trout dari Norway semakin disukai ramai di kalangan rakyat Malaysia sebagai pilihan menu ikan serta kaya dengan nutrisi. Kedua-dua ikan ini sesuai dengan beberapa cita rasa, sama ada Barat atau Asia.

Duta Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset dan pasangannya, Dr. Christian Gartmann menjadi hos untuk acara ini bersama Pengarah NSC Asia Tenggara, Jon Erik Steenslid.

Kelas memasak dikendalikan oleh Cef Kedutaan, Jimmy Chok dengan demonstrasi dua resipi iaitu salmon dan trout goreng yang dihidangkan dengan kentang, hancuran dill, jeruk timun dan mayonis limau. Satu lagi resipi ialah gulai tumis ikan salmon.

Menurut Steenslid, salmon dan trout keluaran negara Scandinavia itu dihasilkan dari perairan Norway yang sejuk dan bersih. Produk itu dieksport ke lebih 100 buah negara di seluruh dunia.

“Kami berharap, melalui kelas memasak ini, kita dapat memupuk persahabatan dan mengukuhkan hubungan dua hala melalui cinta kami terhadap makanan.

“Ikan salmon Norway adalah satu sumber terkaya asid lemak Omega 3 dan berdasarkan fakta daripada Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA), satu hidangan biasa ikan salmon seberat 150 gram memenuhi keperluan mingguan Omega 3 seseorang,” katanya yang menambah, ikan salmon juga kaya dengan sumber iodin, selenium dan nutrien utama lain.

lkan Trout Norway kelihatan serupa dengan ikan salmon tetapi dagingnya berwarna merah jingga yang mendalam dengan warna putih iaitu corak lemak yang memberikan rasa yang enak.

Negara berkenaan merupakan pengeksport kedua terbesar makanan laut dan merupakan pengeluar terbesar kedua-dua ikan tersebut.