Bagaimanapun, cinta kepada manusia tidak akan kekal dan ia berubah seperti ombak yang sentiasa merubah pantai.

Hakikatnya, cinta kepada Allah SWT merupakan kasih abadi yang perlu ada dalam diri setiap orang Mukmin.

Allah berfirman: “Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.” (surah al-Baqarah:165)

Disebutkan dalam sebuah riwayat yang masyhur bahawa Nabi Ibrahim pernah berkata kepada malaikat maut yang datang menemui baginda untuk mencabut nyawa: “Pernahkah engkau melihat seorang kekasih mematikan kekasihnya?”

Allah lalu mewahyukan kepada Ibrahim: “Pernahkah engkau melihat seorang kekasih tidak suka bertemu dengan kekasihnya?”

Ibrahim berkata: “Wahai malaikat maut, sekarang ambil nyawaku.”

Erti cinta kepada Allah ialah seseorang yang secara naluri cenderung kepada-Nya kerana ia memperoleh kenikmatan jika dapat merasainya.

Ini kerana Allah adalah maha pencipta dan maha pemberi asal fitrah. Dialah penyebab kelangsungan, kekekalan dan keselamatan manusia.

Dialah yang bagus lagi baik kerana pada hakikatnya setiap yang indah dan baik adalah tanda-tanda daripada kemurahan-Nya.

Manusia mencintai para Nabi, para sahabat dan imam-imam kerana mereka memiliki sifat-sifat kebaikan.

Padahal setiap kebaikan itu berasal daripada-Nya. Jadi, Dialah pemilik sejati daripada segala keindahan.

Ketahuilah, sesungguhnya manusia paling bahagia di akhirat kelak ialah orang yang kuat cintanya kepada Allah.

Alangkah besar kenikmatan yang dirasakan oleh seorang yang sedang bercinta ketika ia dapat bertemu dengan yang dicintai setelah lama merindui-Nya.

Ada dua perkara yang boleh menambahkan rasa cinta iaitu mengosongkan hati daripada selain dicintai.

Kedua ialah kesempurnaan makrifat seperti membersihkan tanah daripada rerumputan liar, sebelum meletakkan benih di dalam tanah tadi.

Benih tadi boleh tumbuh dan menghasilkan pohon makrifat iaitu kalimat baik sebagaimana firma Allah: “Akarnya kukuh dan cabangnya di langit.” (surah Ibrahim:24)

Justeru, orang beriman harus berusaha melakukan semua suruhan dan meninggalkan larangan yang disampaikan menerusi kekasih-Nya.

Wallahu a’lam.