Apabila hatinya seiring dengan lidah ketika berzikir, maka dia beroleh kegembiraan rohani bersama Tuhannya.

Bagi mentahkik atau membuktikan martabat ihsan, seseorang hamba Allah SWT wajib melaksanakan apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:

“(Ihsan itu ialah) kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka (sedar dan ingatlah) sesungguhnya Dia melihatmu.”

Justeru, Imam Ibnu ‘Atha’illah menyebut dalam kitab Hikamnya yang berbunyi:

“Apabila Allah menjadikan kamu rasa tidak seronok, jemu dan tidak tenang dengan makhluk-Nya, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Dia mahu membuka untukmu pintu perasaan tenang, gembira dan tidak kesepian dengan-Nya.”

Syeikh Ibnu ‘Abbad juga pernah menyebut, pintu perasaan tenang dan tidak sunyi bersama Allah akan terbuka kepada seseorang hamba dengan adanya rasa jemu, tidak tenang serta tidak seronok bersama manusia.

Menurut beliau, perasaan tersebut akan wujud jika seseorang itu sentiasa muraqabah (amalan menjaga ingatan hati semata-mata kepada Allah) dan memiliki hati yang selalu muhasabah untuk kebaikan diri sendiri.

Dalam hal ini, apabila seseorang hamba berasa tenang dengan Allah dan tidak tenang bersama makhluk, maka itu merupakan petanda Maha Pencipta membuka pintu untuknya.

Makrifat

Rasa seronok, tenang dan tidak kesepian dengan manusia adalah salah satu tanda kemuflisan atau kekurangan iman dan makrifat (pengetahuan tinggi) kepada Allah.

Ia selaras dengan kata-kata Syeikh Ibu ‘Atha’illah dalam munajatnya yang mengungkap:

“Engkaulah (ya Allah) yang menenang, menghibur dan menghilangkan kesunyian mereka di tempat serta waktu seluruh makhluk meresahkan mereka.”

Abu al-Lait berkata, sifat takut kepada Allah terbukti dengan tujuh perkara iaitu menjaga lidah daripada dusta, mengumpat dan bicara sia-sia dan haram lalu digunakan untuk berzikir kepada Allah, membaca al-Quran serta mempelajari ilmu.

Menjaga perut dengan cara tidak makan kecuali yang halal dan sekadar memenuhi keperluan dan tidak berlebihan.

Perkara ketiga, menjaga penglihatan dengan tidak melihat perkara haram dan tidak melihat dunia ini kecuali sekadar peringatan.

Keempat, menjaga tangan daripada maksiat serta melangkah ke tempat yang tidak diredai Allah.

Kelima, menjaga hati dengan cara membersihkannya daripada hasad dengki, iri hati dan sebagainya, kemudian diisi dengan kasih sayang kepada sesama Muslim.

Terakhir ialah menjaga amalan taat supaya ia benar-benar tulus ikhlas kepada Allah dan selamat daripada sifat riak serta nifak (sifat orang munafik).

Syeikh al-Buthi berkata, bahawa dua perasaan tenang iaitu tenang bersama Allah dan tenang bersama manusia tidak mungkin berhimpun serentak.

Perasaan liar dan tidak tenang bersama Allah serta bersama manusia. Jika salah satu wujudnya, maka yang satu lagi akan hilang.

Begitupun, bagi orang soleh dan ulama, mereka boleh menjadi teman yang menghilangkan rasa jemu dan kesunyian kerana duduk bersama mereka boleh mengingatkan kita kepada Allah.