Pengaturcara komputer dari Subang Jaya, Selangor yang hanya ingin dikenali sebagai Amal, 32, itu kemudiannya mencapai salah satu daripada botol tersebut dan membaca label yang tertera dengan penuh teliti.

“Memang sudah menjadi kebiasaan saya sejak dahulu lagi. Tidak kira apa sahaja produk yang ingin dibeli terutamanya barang penjagaan diri seperti gel mandian, pembersih muka, krim kulit dan barang solek isteri, saya akan periksa dahulu.

“Kami memang mengutamakan barangan penjagaan diri yang tidak mengandungi bahan kimia berbahaya. Selain itu, isteri saya juga menghadapi masalah alergi dan kulit sensitif,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada Bengkel Ringkas dan Selamat Untuk Kanak-Kanak di KidzBangi, Bangi Selangor anjuran produk kecantikan Sutrina baru-baru ini.

Program itu memberi pendedahan kepada ibu bapa dan anak-anak tentang cara-cara membuat bedak bayi serta sabun secara Do It Yourself (DIY).

Amal bercerita, itu kali kedua mengikuti bengkel seumpamanya dan dia berasa teruja kerana dapat menghasilkan kedua-dua barangan tersebut dalam tempoh sepantas 30 minit.

“Ini merupakan kali pertama saya mengikuti kelas menghasilkan minyak pati tetapi ia lebih menarik kerana dapat melibatkan anak sulung berusia tiga tahun untuk sama-sama membantu sementara isteri boleh mengawasi anak bongsu kami yang masih bayi.

“Pendek kata, ia merupakan aktiviti keluarga yang bermanfaat dan memang bagus apabila sekali sekala dapat meluangkan waktu pada hujung minggu bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Auni Hamimi Idris, 35, berkata, sebelum ini dia langsung tidak bersolek kecuali memakai gincu bibir dan mula tertarik menggunakan kelengkapan solek yang mengandungi bahan organik serta mesra alam sejak akhir-akhir ini.

“Saya memang sudah lama menyimpan hasrat untuk pergi kelas belajar buat barang solek seperti bedak dan gincu. Saya akui ada melihat cara-cara di internet tetapi belum yakin membuatnya sendiri.

“Saya juga ada terfikir jika dapat berkongsi membeli bahan beramai-ramai, kita mampu menghasilkannya dengan banyak dan kos yang lebih rendah,” tutur ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Bahan kimia

Auni Hamimi yang sedang menyambung pelajaran di peringkat doktor falsafah dalam bidang farmaseutikal itu menambah, peserta turut berpeluang membawa balik sebotol bedak bayi dan sebekas sabun bertema dinosaur yang dijangka dapat bertahan sehingga sebulan.

Dalam pada itu, Instruktor DIY Sutrina, Nur Aqma Madiha Mazelan menjelaskan, sejak lebih setahun lalu dia aktif menghasilkan barangan DIY seperti cecair penyembur penghilang bau karpet dan cadar sebelum beralih membuat barangan keperluan harian seperti pelembap bibir, bedak serta sabun.

Sejak itu, dia mula menganjurkan sesi pembelajaran kepada mereka yang berminat dalam kumpulan kecil mengikut permintaan.

“Sebenarnya anak perempuan sulung saya gemar bermain barangan solek saya. Justeru, saya mula mencari cara menghasilkan bahan solek yang lebih selamat.

“Ia bukan bertujuan menggalakkan anak bersolek pada usia muda tetapi sebagai langkah berjaga-jaga terhadap bahan kimia yang mungkin akan memudaratkan kulit mereka.

“Pelembap bibir buatan saya sendiri contohnya hanya menggunakan bahan seperti lilin lebah, mentega sayur dan minyak kelapa.

“Selain itu, bedak pula menggunakan tanah liat bentonit yang diambil daripada bahan semula jadi. Barang-barang ini boleh diperoleh dari kedai kraf atau premis berkonsep DIY,” kongsinya.