Tanpa perlu menunggu lama, Pengarah Urusannya, Leong Dee Lu muncul tepat pada masa yang dijanjikan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu langsung tidak menampakkan dirinya sebagai individu yang menggemari aktiviti lasak.

Namun, siapa sangka bahawa wanita yang berkelulusan peringkat ijazah dalam bidang perniagaan antarabangsa dan pemasaran dari Kolej Hood, Maryland, Amerika Syarikat (AS) itu sebenarnya seorang yang aktif dalam aktiviti luar.

“Perniagaan yang saya ceburi ini sememangnya datang daripada minat yang sangat mendalam dalam sukan dan aktiviti lasak.

“Kerana terlalu cintakan bidang ini, saya sanggup menggunakan wang simpanan bagi membina empayar perniagaan ini dengan bantuan dan sokongan seorang rakan baik iaitu Sharon Tan kira-kira 13 tahun lalu.

“Kini, saya sudah boleh berbangga dengan perniagaan ini kerana ia dibina hasil titik peluh dan kesungguhan saya sendiri,” katanya ketika memulakan bicara.

Bercerita lanjut mengenai dirinya, dia yang lebih mesra disapa Dee Lu berkata, minatnya terhadap aktiviti lasak bermula ketika di bangku sekolah lagi.

Setiap kali musim cuti sekolah, dia dan rakan-rakannya akan melakukan aktiviti perkhemahan di Pantai Kerachut yang terletak di dalam kawasan Taman Negeri Pulau Pinang, Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Disebabkan terlalu meminati aktiviti perkhemahan, dia akan melakukannya hampir setiap minggu.

Tambahnya, dia bernasib baik kerana gurunya, Liau Lay Hwa yang merupakan Pesuruhjaya Pandu Puteri di sekolah lamanya turut aktif dalam aktiviti berkenaan dan kerap memberi tunjuk ajar kepadanya.

“Semasa di tingkat empat, saya menerima anugerah Queen Guide bagi pasukan beruniform Pandu Puteri. Ketika di tingkatan lima pula, saya diberi anugerah All Rounder Student kerana saya sangat aktif dalam kokurikulum termasuklah pelbagai jenis sukan.

“Ketika melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat, saya masih melakukan aktiviti lasak bersama rakan-rakan di kolej seperti mendaki gunung bersalji, memanjat gunung berbatu dan berkayak arus deras,” katanya.

Kursus

Selain menghabiskan cuti semester untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti lasak, dia turut mengikuti pelbagai kursus aktiviti luar bagi memperoleh sijil kelayakan sebagai tenaga pengajar.

Mengulas mengenai perniagaan miliknya itu pula, Dee Lu mengakui ia bukan satu perkara yang mudah kerana dia bukan datang daripada keluarga yang memiliki perniagaan.

Namun, berbekalkan minat dan usaha yang tidak pernah jemu, akhirnya jenama Corezone mula memasuki pasaran negara pada tahun 2005.

Bagaimanapun, sebelum memulakan perniagaan itu, dia terlebih dahulu bekerja sebagai pendaftar di sebuah kolej swasta di Damansara, Selangor sebaik menamatkan pengajian di AS sebelum berhijrah ke Johor Bharu, Johor untuk memulakan kerjaya di sebuah syarikat berkaitan pengkomputeran.

“Sebaik ditukarkan ke cawangan di Kuala Lumpur, saya kembali aktif dalam melakukan aktiviti lasak terutamanya apabila lokasi tempat saya bekerja itu terletak berhampiran dengan sebuah gimnasium bagi aktiviti mendaki dinding batu yang dibina di dalam bangunan.

“Di situlah saya berkenalan dengan Sharon yang ketika itu bertugas sebagai jurulatih,” katanya sambil memberitahu, dia banyak menghabiskan masa di gimnasium itu terutamanya selepas waktu bekerja dan cuti hujung minggu.

Ketika dalam tempoh cuti sakit selepas terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan tangannya patah pun dia menghabiskan masanya di lokasi itu.

Disebabkan minat yang terlalu mendalam pada aktiviti lasak, dia kemudiannya ditawarkan bekerja di pusat berkenan dan diberi tanggungjawab melakukan promosi serta jualan bagi peralatan mendaki dinding batu sebelum dilantik sebagai pengarah urusan selain bertindak sebagai ketua jurulatih.

Berbekalkan pengalaman yang ditimba selama empat tahun di pusat tersebut, dia mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan sendiri dengan memilih Petaling Jaya, Selangor sebagai lokasi pertama operasi Corezone.

“Ketika memulakan Corezone, saya mendapat sokongan yang kuat daripada rakan-rakan terutamanya Sharon yang juga merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti lasak dan seorang lagi rakan, Lum Yuet Mai yang sangat mahir dalam aktiviti mendaki dinding batu.

Jenama antarabangsa

“Pada peringkat awal, Corezone hanya membekalkan peralatan mendaki dinding batu dan kayak selain beberapa jenama peralatan aktiviti lasak yang lain.

“Kini, selepas operasi kami berpindah ke Sungai Buloh pada awal tahun 2018, kami sudah menjadi pembekal utama kepada lebih 30 jenama antarabangsa bagi pelbagai peralatan sukan lasak selain muncul sebagai satu-satunya premis yang membekalkan paling banyak jenama antarabangsa di negara ini,” katanya.

Antara jenama yang dipasarkan oleh Corezone ketika ini termasuklah Millet, Lafuma, Eider, Original Buff, Sea To Summit, La Sportiva, Komperdell, Kuhl, Igloo, Camelback, Lifestraw dan Suunto.

Dalam pada itu, Sharon ketika ditemui menyifatkan, rakan baiknya itu sebagai seorang yang sangat cekal mengharungi cabaran dalam bidang perniagaan.

Dee Lu juga sanggup mengambil risiko untuk berpindah daripada premis yang kecil ketika di Petaling Jaya ke sebuah premis yang lebih besar di Sungai Buloh walaupun terpaksa mengeluarkan pelaburan yang besar.

“Dalam keadaan ekonomi yang masih lembab dan permintaan yang agak rendah daripada pembeli, dia (Dee Lu) masih mampu berfikiran positif dan sentiasa beranggapan pasaran bagi barangan aktiviti lasak tetap ada.

“Ternyata apa yang dirancangnya menjadi kenyataan apabila dengan premis baharu yang berkeluasan kira-kira 2,000 meter persegi ini, lebih banyak produk serta jenama antarabangsa dapat dibawa masuk ke negara ini dan dipamerkan.

“Lebih membanggakan apabila permintaan terhadap barangan aktiviti lasak yang dipasarkan di Corezone juga semakin meningkat dari masa ke masa,” katanya.