Senyuman adalah satu kebaikan yang paling mudah untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Begitu pun, senyuman manis yang ditawarkan itu tidak sempurna jika tidak datang bersama sepasang gigi yang cantik, bersih dan putih.

Oleh itu, penjagaan kesihatan gigi amatlah penting kerana ia merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia.

Penjagaan kesihatan gigi yang baik dapat mencegah daripada berlakunya kerosakan gigi serta penyakit gusi.

Kesihatan gigi yang baik juga mampu memberi keyakinan yang tinggi kepada seseorang apabila berkomunikasi dengan orang lain.

Doktor Pergigian, Dr. Norhuda Daud berkata, kesedaran terhadap penjagaan mulut dan gigi harus ditingkatkan lagi agar semua masyarakat di negara ini lebih peka dengan kesihatan gigi mereka.

Jelasnya, tidak dapat dinafikan kesedaran mengenai isu itu boleh dikatakan rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kesihatan mulut yang terabai boleh mengganggu rutin seharian dan memberi simptom gusi berdarah, mulut berbau, gigi berlubang, gusi bernanah dan sebagainya.

“Masalah ini boleh dicegah melalui penjagaan gigi yang baik,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan pesakit yang datang berjumpa doktor gigi setelah berhadapan dengan masalah yang serius.

Gusi berdarah

Sebaiknya, masyarakat harus datang berjumpa dengan doktor-doktor gigi lebih awal walaupun tidak sakit untuk melakukan pemeriksaan dan mendapatkan konsultan tentang penjagaan mulut dan gigi.

Dalam pada itu, Norhuda menjelaskan, masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan masyarakat adalah gusi berdarah ketika memberus gigi.

Masalah itu, jika tidak dirawat awal, ia boleh menjadi lebih teruk sehingga gigi tertanggal.

“Punca utama gusi berdarah adalah disebabkan pemberusan gigi yang tidak efisien. Apabila gigi tidak diberus dengan sempurna, sisa-sisa makanan yang tinggal akan membentuk menjadi plak pada kawasan celahan gigi yang kemudiannya mengeras membentuk kalkulus.

“Untuk menanggalkan kalkulus ini ia tidak boleh dilakukan secara memberus gigi sebaliknya anda perlu datang ke klinik untuk melakukan scaling atau cucian gigi bagi membuangnya dengan alatan khas,” katanya ketika ditemui Pesona di Klinik Pergigian Qaseh di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Tambahnya, sebaiknya scaling gigi dilakukan enam bulan sekali.

Oleh itu, pemberusan gigi yang sempurna dan efisien dapat menghalang daripada masalah itu berlaku.

Didikan

Setiap individu perlu mengamalkan memberus gigi dua kali sehari dengan menggunakan ubat gigi berflorida.

Norhuda menambah, bagi mereka yang gemar memakan makanan manis, selepas makan amalkan berkumur untuk menanggalkan sisa-sisa di celah-celah gigi.

Dalam pada itu, Norhuda berkata, ibu bapa juga memainkan peranan untuk mendidik anak-anak supaya menjaga kebersihan mulut dan gigi.

Jangan biarkan anak kecil berusia bawah enam tahun memberus gigi tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.

“Ibu bapa harus mendidik anak-anak cara memberus gigi dengan teknik yang betul kerana ia mampu menghalang gigi mereka daripada rosak.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu membawa anak-anak ke klinik supaya mereka tidak takut dengan doktor gigi. Jika dari kecil, amalan melakukan pemeriksan gigi secara berkala dilakukan, apabila kanak-kanak ini besar mereka akan menjadikannya sebagai satu perkara yang wajib untuk dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Norhuda menjelaskan, jika generasi muda di luar sana ingin memakai pendakap gigi untuk mendapatkan susunan gigi yang cantik, pergilah ke klinik yang berlesen.

Jelasnya, ada kes individu yang ingin memakai pendakap gigi pada harga murah memilih untuk mendapatkan perkhidmatan daripada mereka yang tak bertauliah.

“Ini adalah sesuatu yang amat membahayakan kerana ia mungkin akan mengundang masalah lain.

“Saya pernah merawat mangsa yang giginya longgar akibat memakai pendakap gigi daripada pihak yang tidak bertauliah,” jelasnya.