Kesilapan yang dilakukan oleh manusia terbahagi kepada dua iaitu dosa kecil dan dosa besar.

Bagaimanapun, kesalahan-kesalahan ini akan terhapus seandainya seseorang Mukmin bertaubat dan tidak mengulangi dosa itu lagi.

Menurut riwayat Ibnu Majah, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Penyesalan adalah taubat.”

Dalam riwayat yang lain disebutkan, “Sesungguhnya Allah SWT lebih gembira dengan seorang hamba mukmin yang mahu bertaubat atas dosa-dosanya.

Firman Allah SWT, “Dan bertaubatlah kamu kepada Allah, wahai orang-orang beriman supaya kamu beruntung.” (Surah an-Nur ayat 31)

Para ulama sepakat bahawa hukum bertaubat itu adalah wajib.

Meninggalkan tindakan maksiat itu hukumnya adalah wajib yang perlu dilakukan secara berterusan.

Hal ini kerana tidak ada seorang pun yang terlepas daripada perbuatan dosa, baik menggunakan anggota badan mahupun suara hati.

Bertaubat daripada dosa juga merupakan tradisi yang dilakukan oleh para Nabi, shidiqin dan orang-orang yang tidak rela hidupnya tanpa manfaat.

Ketahuilah, jika sudah memahami makna taubat, maka jangan ragu bahawa setiap taubat yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh pasti akan diterima oleh Allah SWT.

Mereka yang bertaubat juga tahu bahawa api penyesalan akan membakar noda dosa tersebut manakala cahaya kebaikan akan menghapuskan kegelapan dosa di dalam hati.

Namun, kegelapan maksiat tidak akan mampu melawan cahaya amal kebaikan. Sebagaimana, kegelapan malam tidak akan mampu melawan cahaya siang.

Dengan bertaubat dosa-dosa akan lenyap kecuali apabila kesalahan yang dilakukan telah merosakkan bentuk hati akibat terlalu lama dibiar secara terus-menerus.

Namun, ada pendapat mengatakan, “Bukanlah dosa kecil lagi kalau dilakukan secara terus-menerus. Tidak pula disebut sebagai dosa besar jika selalu disertai dengan memohon keampunan kepada Allah.”

Bagaimanapun, dosa-dosa yang berkaitan menzalimi hak orang lain tidak akan boleh terhapus kecuali dimaafkan oleh orang tersebut.

Jika berlaku kesukaran untuk bertaubat, takutkan hati dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi akan nasib yang akan dilalui orang-orang berdosa.

Justeru, perlulah kembali melakukan taubat kepada Allah SWT supaya terlepas daripada azab api negara. Wallahu a’lam.

Sumber: Ringkasan Ihya ‘Ulumiddin oleh al-Ghazali