Wanita yang mesra dipanggil Thila itu tidak pernah terfikir akan bekerja bersama syarikat itu. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Penulisan, Universiti Malaya, Thila menghadiri temu duga di syarikat berkenaan atas ajakan rakannya selepas setahun menamatkan pengajian.

“Semasa temu duga, saya dikatakan terlebih layak untuk apa-apa jawatan yang ada di syarikat berkenaan, walaupun tidak mempunyai pengalaman kerja sepenuh masa.

“Akhirnya saya diterima sebagai ejen kawalan kredit secara kontrak di bahagian kewangan DHL Malaysia pada tahun 1995,” tuturnya mengimbau kenangan mula-mula bekerja di situ.

Setelah bekerja di beberapa bahagian seperti operasi dan perkhidmatan selama beberapa tahun, berkat kesabarannya, Thila menaiki tangga kariernya selangkah demi selangkah sehingga menjawat jawatan Pengarah Pintu Masuk (Gateway) DHL Malaysia empat tahun lalu.

Jawatan itu memerlukan Thila menyelia enam Pintu Masuk DHL iaitu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan jumlah pekerja seramai 273 di bawah tanggungjawabnya.

Katanya, dia banyak belajar semasa menjadi penganalisis di bahagian operasi.

“Saya membuat analisis data mengenai tempoh masa penghantaran, kelewatan, audit dan cara untuk menambah baik perkhidmatan. Saya juga akan membuat susulan sekiranya sesuatu penghantaran itu mengalami kelewatan atau gagal sampai kepada penerima,” katanya yang dipilih sebagai Pekerja Terbaik DHL pada tahun 2017. Gateway di bawah seliaan Thila juga memenangi Gateway Terbaik di Rantau Asia Tenggara pada tahun lalu.

Ujarnya, faktor berlakunya kegagalan ialah penghantaran yang tidak mengikut jadual selain dokumentasi yang tidak dilengkapkan pelanggannya.

Disemak

Namun, pengalaman yang sukar dilupakannya adalah semasa bertugas di bahagian Perkhidmatan Pelanggan.

“Ada masanya pelanggan kami mahu menghantar barangan mereka secara tiba-tiba dan disebabkan perkara-perkara teknikal, barangan itu tiba ke destinasi lain.

“Dalam keadaan begitu, saya akan berkomunikasi dengan pasukan DHL di negara tersebut bagi menghantar semula barangan berkenaan ke destinasi asalnya, kadang-kadang sehingga lewat malam kerana perlu mengikut zon waktu negara tersebut,” tambah ibu tunggal kepada dua anak itu.

Kata Thila, tugas utamanya ialah memastikan bungkusan-bungkusan tersebut diluluskan untuk penghantaran kepada penerima.

Pihaknya perlu memastikan semua dokumen telah disemak dengan ketepatan 100 peratus selain membuat susulan untuk dokumentasi daripada pelanggan. Selain itu, pihaknya perlu mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk kelulusan sesuatu bungkusan.

“Untuk pergerakan fizikal penghantaran di pintu masuk, pasukan yang bertugas perlu memastikan semua bungkusan yang tiba dibawa ke stesen penghantaran dalam tempoh yang singkat.

“Semua bungkusan perlu dijaga kualitinya bagi memastikan pelanggan menerimanya dalam keadaan yang sama ketika ia mula-mula dihantar,” ujarnya.

Ini ditambah lagi dengan kesemua pintu masuk syarikat itu beroperasi 24 jam sehari, yang memerlukan ketekunan dan ketepatan dalam mengasingkan bungkusan mengikut kategori masing-masing.

Sebuah Gateway DHL mampu memproses 100,000 bungkusan setiap bulan.

Menurut Thila, perniagaan online yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini melibatkan peniaga kecil-kecilan juga menjadi cabaran bagi syarikat kurier seperti DHL.

“Banyak syarikat kecil mungkin tidak biasa dengan proses dokumentasi, invois dan prosedur menyebabkan barangan tersebut terpaksa dihantar semula kepada pihak pengirim,” ujarnya.

Jelas Thila, antara bungkusan yang memerlukan regulasi yang ketat ialah alkohol, rokok dan ubat-ubatan yang memerlukan permit tertentu.

“DHL mempunyai langkah ketat memeriksa bungkusan secara manual dan menerusi imbasan X-ray untuk mengenal pasti barangan yang diletakkan di dalam kotak bungkusan.

“Kawalan tersebut memastikan hanya barangan yang dibenarkan mengikut peraturan dibenarkan keluar masuk,” katanya.

Liku yang dihadapinya bukanlah mudah, namun sokongan yang diberikan keluarga dan pengurusan menjadikannya kuat dan tabah untuk menghadapi cabaran dalam kerjaya.

“Contohnya, ketika suami saya meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira dua tahun lalu, pihak syarikat membenarkan saya mengambil dua minggu cuti untuk menenangkan diri sebelum kembali bekerja,” tambahnya yang menyifatkan tindakan syarikat itu sebagai memahami situasi pekerja ketika berdepan musibah.

Kini, Thila turut menggalakkan penyelia di bawahnya untuk memberikan motivasi kepada pekerja masing-masing.

“Pasukan kami mengadakan sesi dialog prestasi antara penyelia dan pekerja antara 10 minit hingga 15 minit setiap hari untuk berkongsi permasalahan di tempat kerja.

“Kami juga bertemu secara empat mata dengan peringkat pengurusan bagi berbincang secara mendalam bagi meningkatkan motivasi kepada pekerja,” jelas Thila.

Ujarnya, pengalaman paling manis buat dirinya adalah apabila dapat melatih kakitangannya serta melihat mereka matang dalam kerjaya.

“Paling penting bagi saya, kita kena bertanya sama ada kita gembira atau tidak, itulah yang membuatkan tekad saya tidak luntur dalam kerjaya ini,” katanya menutup bicara.