Seawal pukul 9 pagi, Abu Zahier Zakwan Abu Bakar sudah berada di Masjid Lama Batu 6, Gombak, Selangor yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Kunjungan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu ke masjid tersebut kali ini berbeza berbanding sebelumnya.

Biasanya, dia berkunjung ke masjid yang berusia 87 tahun itu untuk menunaikan solat fardu lima waktu secara berjemaah.

Kali ini, Abu Zahier bersama jemaah lain bergotong-royong membersihkan ruang dalam serta luar masjid berkenaan.

“Saya selalu berkunjung ke masjid ini untuk menunaikan solat. Jadi, apabila ada program seperti ini, saya terpanggil untuk turut serta.

“Saya yakin, menjaga kebersihan masjid merupakan sebahagian daripada ibadah kepada Allah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Program yang dikenali sebagai Gotong-Royong Perdana Ambang Ramadan itu disertai lebih 50 orang jemaah yang tinggal di sekitar Gombak.

Ramadan adalah salah satu bulan dalam kalendar Hijrah. Sepanjang bulan tersebut, umat Islam diwajibkan berpuasa pada siang hari.

Bulan tersebut juga merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat serta membuat kebajikan.

Sepanjang program selama tiga jam itu, Abu Zahier membantu membersihkan kepingan-kepingan tingkap, kipas dan siling masjid.

Pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor itu memberitahu, dia tidak kisah meskipun program tersebut disertai ramai golongan dewasa dan kanak-kanak.

“Saya sedar, tidak ramai golongan remaja yang ingin terlibat pada program-program seperti ini.

“Penglibatan saya pada program ini diharap mampu menarik minat remaja lain untuk turut serta pada masa depan,” jelasnya.

Program tersebut dianjurkan oleh pihak pengurusan Masjid Lama Batu 6 bagi meraikan kedatangan Ramadan.

Ia juga bertujuan mengingatkan para jemaah supaya tidak lupa berkunjung ke masjid untuk bersolat berjemaah sepanjang Ramadan.

Program tahunan

Setiausaha masjid berkenaan, Abu Bakar Mat, 56, berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti masjid tersebut sempena Ramadan.

Jelasnya, program tahunan itu dianjurkan bagi memastikan masjid berada dalam keadaan bersih dan ceria sebelum menyambut kedatangan jemaah.

“Program ini memasuki tahun kedua penganjuran. Alhamdulillah, ia mendapat sokongan dan maklum balas positif daripada para jemaah.

“Meskipun program ini sukarela dan tidak mendapat sebarang ganjaran, kehadiran peserta sangat menggalakkan,” ujarnya.

Gotong-royong berkenaan melibatkan pembersihan karpet, kipas, tingkap, siling, lantai, ruang wuduk, buku, al-Quran, landskap luar masjid dan sejadah.

Sebagai penghargaan, para peserta disediakan sarapan pagi berupa nasi lemak dan teh tarik.

Menurut Abu Bakar, kebersihan sangat penting memandang masjid tersebut akan menjadi lokasi ibadat dan aktiviti bermanfaat sepanjang Ramadan.

Katanya, aktiviti yang akan diadakan itu termasuklah solat sunat tarawih, tadarus al-Quran, berbuka puasa, qiamullail dan sahur.

“Hampir setahun kipas dan siling di masjid ini tidak dibersihkan. Ia sangat berhabuk dan kotor.

Diberkati

“Saya yakin, ibadah yang dilakukan pastinya lebih diberkati andai dikerjakan dalam suasana bersih,” katanya.

Menjaga kebersihan masjid sangat dituntut oleh Allah. Malah, insan yang sering membersih masjid dijanjikan pahala besar.

Riwayat Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa mengeluarkan kotoran daripada masjid, maka Allah akan membina untuknya sebuah rumah di syurga.”

Abu Bakar menambah, program tersebut turut menjadi medan pertemuan para jemaah terutamanya mereka yang jarang-jarang berkesempatan menunaikan solat di masjid.

Jelasnya, ia sedikit sebanyak dapat mengeratkan silaturahim antara jemaah sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa mahupun warga emas.

“Program ini terbuka kepada semua jemaah termasuk kanak-kanak. Ini dapat mendidik mereka supaya menjaga kebersihan di masjid,” katanya.

Ia turut mendapat penyertaan daripada golongan wanita. Mereka bertanggungjawab membersih ruang solat jemaah wanita.

Masjid Lama Batu 6 Gombak mempunyai keluasan 600 meter persegi dan mampu memuatkan seramai 400 orang jemaah pada satu-satu masa.

Salah seorang peserta program, Zaimah Endut, 65, berpendapat, gotong-royong tersebut sangat baik kerana memberi peluang kepada jemaah berbakti kepada masjid.

Jelasnya, tanpa program seumpama itu, sukar untuk para jemaah meluangkan masa membersihkan masjid terutamanya secara bersendirian.

“Saya sangat bersyukur dapat sama-sama membersihkan masjid ini. Ia satu aktiviti yang sangat baik dan boleh menambah pahala,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu memaklumkan, program tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kerja siak.

Jelasnya, tugas berkenaan tidak sepatutnya dibebankan kepada siak memandangkan ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Saya rasa, kalau siak hendak buat semua ini tidak terdaya dia. Jadi, jemaah perlu turun membantu memudahkan kerjanya,” katanya.

Zaimah berharap program seumpama itu dalam diadakan dengan lebih kerap dan tidak perlu menunggu waktu menjelang Ramadan.

Seramai 50 orang jemaah hadir membersihkan Masjid Lama Batu 6, Gombak, Selangor sempena program Gotong-Royong Perdana Ambang Ramadan masjid berkenaan baru-baru ini.