Dapat dilihat sosok lebih 10 orang lelaki ahli agama yang terdiri daripada ilmuwan tempatan serta luar negara sedang duduk di barisan hadapan menghadap jemaah muslimin dan muslimat yang dianggarkan berjumlah lebih 400 orang yang hadir dalam program Maulid Akbar: Majlis Rasulullah SAW Malaysia bertemakan Pentingnya Hati Mengagumi Rasulullah SAW Sebagai Umatnya.

“Saya mulai menghadiri majlis agama sejak tiga tahun lalu. Begitu pun, pengisian kali ini sedikit berbeza kerana keseluruhan kuliah berkisar kemuliaan pemimpin agung umat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW bersempena hari keputeraan baginda pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

“Walaupun telah diterapkan dengan sirah nabi sejak di bangku sekolah rendah lagi, namun saya tidak pernah jemu mendengar kisah baginda,” ujarnya sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kongsi anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, antara kisah sirah nabi yang berbekas kuat dalam hatinya ialah mengenai seorang wanita suku Bani Diar yang telah datang menghampiri rombongan muslimin yang ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke kota Madinah selepas tewas dalam perang Uhud. Wanita tersebut bertanyakan tentang suami, bapa dan anaknya yang turut menyertai Rasulullah SAW dalam Perang Uhud.

Cemburu

Apabila diberitahu bahawa ketiga-tiga mereka telah syahid di medan perang, wanita itu menahan perasaan sedih dan hibanya, sebaliknya terus bertanyakan keselamatan Rasulullah. Walaupun diberitahu bahawa Rasulullah selamat, wanita tersebut tetap mendesak untuk membuktikan perkara tersebut, lantas sahabat membawanya bertemu dengan Nabi Muhammad SAW.

Setelah melihatnya maka wanita itu kelihatan gembira kerana Rasulullah dalam keadaan selamat. Katanya, dia reda walaupun semua ahli keluarganya syahid asalkan Nabi Muhammad SAW selamat.

“Saya cemburu melihat kecintaan umat Nabi Muhammad SAW pada zamannya kepada baginda.

“Pada masa sama, ia menjadi pendorong kepada saya untuk menjadi umat yang lebih baik, bermuhasabah dan sentiasa berpegang dengan ajaran baginda walaupun tidak pernah bersua muka,” tutur anak kelima daripada enam orang adik-beradik itu yang kini bekerja di sebuah syarikat pemaju hartanah di ibu kota.

Bercakap pada majlis tersebut, antaranya ialah penceramah terkenal Ustaz al-Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar al-Hamid.

Cinta

Katanya, sebagai umat akhir zaman yang hanya mengenali Rasulullah SAW menerusi penceritaan dan kisah sirah yang disampaikan zaman-berzaman, kita juga tidak terkecuali untuk mengamalkan ajaran dan meninggalkan larangannya.

“Ada banyak cara untuk kita menyemai rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Amalkan berselawat setiap masa bagi memuji kebesaran baginda, ikuti sunah, patuh segala suruhan kerana ia juga merupakan suruhan Allah SWT dan jauhi larangannya kerana ia boleh membinasakan,” rumusnya mengenai sebahagian daripada intipati yang disampaikan pada malam tersebut.

Dalam perkembangan berbeza, pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi memberitahu, akhlak Rasulullah adalah yang terbaik dan menjadi cahaya bagi menerangi zaman jahiliyah yang kelam.

“Allah SWT memuji akhlak Rasulullah dengan mengatakan sesungguhnya Muhammad mempunyai akhlak terbaik.

“Kepimpinan baginda bukan sahaja diakui oleh orang yang beriman, malah bukan Islam juga turut mengakuinya.

“Seorang penulis berketurunan Yahudi, Michael H. Hart telah menyenaraikan Rasulullah di tempat pertama daripada 100 manusia paling berpengaruh dalam sejarah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mencintai Rasulullah ujar Pahrol, menjadi jalan kepada cinta Allah kerana Nabi Muhammad SAW adalah kekasih-Nya. Justeru, mana mungkin mencapai tujuan jika tidak melalui jalannya.

“Kita perlu mengenali siapakah sebenarnya Muhammad dengan menyelusuri sirah baginda maka, baharulah akan terbit rasa cinta.

“Kita perlu ada rasa rindu untuk bertemu Rasulullah di syurga dengan melakukan sebanyak mungkin kebaikan, meninggalkan dosa dan perkara yang dibenci baginda,” terangnya.

Beliau juga mengajak orang ramai agar memperbanyakkan selawat bagi menambah rasa cinta kepada Rasulullah.

Baginda sangat menyayangi umatnya dan akan memberi syafaat di akhirat kelak. Sedangkan pada waktu yang sangat kritikal itu semua manusia termasuk nabi-nabi dan rasul-rasul hanya memikirkan diri dan nasib masing-masing.